Kembara Ilmu : Ibrah Perjuangan Enam Tahun

Artikel ini disumbangkan kepada sidang redaksi majalah The Letter of Avicenna terbitan Persatuan PERUBATAN Cawangan Iskandariah, Mesir. Makluman lanjut, boleh rujuk: http://wp.me/p1hsCR-1SJ

 

     “Anda ditawarkan menjalani Kursus Ijazah Perubatan di Nizhniy Novgorod State Medical Academy, Russia.”

Ayah saya terkebil-kebil menyebut nama universiti saya tersebut. Novgorod? Nizhniy? Terlalu aneh bunyinya, seaneh bayangan-bayangan yang menerpa ke dalam kepala tatkala nama negara terbesar di dunia itu dibaca.

Mungkin bagi ayah saya yang sudah hampir setengah abad umurnya itu, negara Russia masih berdaki dengan komunisma. Nama-nama dan istilah-istilah seperti Mikhail Gorbachev, perang dingin, Soviet Union, konflik Soviet-Afghanistan 1979 yang menyaksikan penentangan puak Mujahideen dan sebagainya masih menghantui minda. Juga terbayangkan Sputnik dan Yuri Gagarin dan mungkin senjata Kalashnikov dan pesawat Sukhoi.

Itulah agaknya yang bermain di fikiran ayah saya ketika mengetahui bahawa anak lelakinya ini akan dihantar ke negara tersebut.

Sedangkan saya ketika itu, apalah sangat yang diketahui mengenai negara ini. Sehabis mungkin pun, terbayangkan kenderaan artileri V2 dalam permainan terkenal zaman muda remaja, Red Alert. Juga bahasa mereka yang pelik, hatta accent mereka ketika bertutur bahasa Inggeris. Atau jelitanya Maria Sharapova jaguh tenis dunia.

Dengan keadaan jahil dan tidak tahu apa yang perlu dijangkakan tersebutlah, pada tahun 2006, saya menjejakkan kaki ke bumi Russia ini.

Continue reading

Mencari Iman Di Topkapi

Aside

“Mencari Iman di Topkapi”

Kita dahulunya dari kaum yang hina,  
Maka Allah muliakan kita dengan Islam.

Barangsiapa mencari kemuliaan selain dengan Islam,  
Nescaya akan dihina oleh Allah.

Kehijauan dataran Topkapi,  
Selat Bhosphorus disinari mentari,  
Tatkala silaunya mengenai mata sang Sultan,  
Alpa dan leka dek kurniaan Tuhan.

Utuh menara Galata,  
Tatkala Sultan memerhati wilayah jajahannya,  
Ke mana lagi harus dikerahkan bala tentera?  
Timur dikuasainya, Barat ditaklukinya  
Selatan, Mekkah dan Madinah yang barakah,  
Utara, gunung ganang dan kaum gasar yang tiada megah.

Khilafah tidak lagi terbenteng iman,  
Tatkala rakyat mula sinis terhadap Sultan,  
Megah tahtanya dihiasi permata, intan dan berlian,  
Tiada lagi yang bersimpuh di Masjid Sofia, bertemankan Tuhan.

Bangkitnya sekularisma membawa harapan,  
Kamal Attarturk diangkat, simbol perjuangan,  
Menundukkan hedonisma dan kemewahan Sultan,  
Menyanggah kesombongan dan totalitarian agamawan.

Khilafah lebur di tangan penjajah,  
Empayar Islamiyah habis dijarah,  
Tiada lagi mewah, tiada lagi megah,  
Apabila yang disangka penjajahan,  
Rupa-rupanya satu pengkhianatan.

Inni, mimma akhofu alaikum min ba’di,  
Ma yuftahu alaikum, min zahrati dunya..  
Wa zinatiha..

Tangisan Al-Fateh tenggelam dalam sorakan zaman,  
Keringatnya meruntuhkan Constantinople,  
kering sepertimana keringnya jiwa insan.

Ungkapan Umar Al-Khattab itu,  
Bergema merentasi zaman;  
Berdengung melangkaui sempadan;  
Berapa ramai yang –  
mahu mendengarnya,  
mahu membacanya,  
mahu melihatnya,  
mahu memikirkannya?

Mencari iman di Topkapi,  
Tidak kutemuinya di balik Aya Sofia,  
Mahupun indahnya kubah Sultanahmet,  
Walau ku selam ke dasar Bhosphorus,  
Atau ke puncak Pierre Lotti,  
Mahupun jauh ke selatan Faralya,  
Dicelahan butiran pasir Olúdeníz,  
Diufuk mentari senja Mediterranean,  
Atau meredah kesaljian Cappadocia,  
Tiada dijumpai iman itu.

Kerana iman itu,  
Terbit dari hati yang yakin denganNya,  
dan HanyaNya,  
Mencari iman;  
dalam diri sendiri, tempatnya.

Mohd Syamirullah Rahim.  
Topkapi Palace,  
4 Februari 2012  
12:48pm

 

 
 

Final Lap

Bismillahi tawakkaltu ala Allah.

Saat awal ketibaanku di bumi salju ini, aku sering mengira-ngira hari. Ketika di dua minggu pertama keberadaanku di sini, aku mengira aku sudah menghabiskan 0.5 peratus dari perjuanganku. Tinggal 99.5% peratus lagi yang berbaki. Hanya dengan nilai 0.5 peratus itu pun aku sudah cukup gembira.

Minggu lepas, Jumaat lepas setepatnya, merupakan hari terakhir aku bagi semester pertama tahun terakhir. Sepatutnya dijangkakan tamatnya kelas pada hujung minggu ini, namun memandangkan jabatan perubatan kanak-kanak perlu bersiap sedia untuk menguruskan sesi peperiksaan pelajar tahun kelima, maka kami diberi pelepasan awal. Syukur alhamdulillah, daripada 12 semester pengajianku di sini, aku telah lalui 11 dengan jayanya.

11 semester, 11/12 dari keseluruhan perjuanganku, hampir 92 peratus telah aku selesaikan. Subhanallah. Lucu terkenangkan tatkala aku baru sampai, mengira-ngira kalendar dan hari tersebut.

Rupanya sudah terlalu lama masa berlalu..terlalu cepat juga. Continue reading

Unpredictable Spark

Terjaga aku dari tidur di pagi Selasa itu. Ketukan di pintu bilik bertubi-tubi mengejutkanku dari lamunan mimpi. Dilihat pada jam, baru pukul 6.30 pagi. Sedangkan subuh pun, pukul 8 baru masuk. Aku terpinga-pinga, mataku digosok-gosok. Pintu bilik dibuka.

“Abang Kid, abang Daus ada? Dia kata nak pergi Moscow kalau ada tempat kosong, ada satu tempat kosong ni!” Nasir bertanya kepadaku yang masih dalam keadaan mamai. Muizz pun ada sekali. Sebenarnya aku tidak pasti sama ada Muizz atau Nasir yang bertanya. Maklumlah blur di pagi hari. Daus pun terjaga dari tidurnya, dalam mamai juga menjawab, tidak.

“Daus kata dia tak mahu pergi, Muizz.”

Terngiang-ngiang hadis yang aku ucapkan kepada seseorang sebelum aku tidur malam tadi. Man salaka thoriqan yabtaghi fiihi ilmu, sahhalallahu lahu thoriqan ilal jannah. Berebut-rebut ke syurga, aku tidak mahu ketinggalan. Aku tahu aku perlukan ini.

“Abang jelah pergi, boleh?”

“Betul ni? Boleh, boleh, tapi kena bersiap cepat-cepat sedikit lah. Bas menunggu pukul 7 pagi.”

Aku mencapai tuala dan terus masuk ke bilik air, bersiap-siap. Aku kurang mengambil port mengenai program Konvensyen Pelajar Muslim Malaysia anjuran organisasi Azam Russia tersebut. Ada aku lihat posternya berulangkali melalui newsfeed rakan-rakanku. Khabarnya seorang pakar perbidanan dan sakit puan, konsultan dari Hospital KPJ akan datang menyampaikan perkongsian. Mungkin seperti biasa, mengenai perihal kerjaya, bagaimana hidup seorang doktor, fiqh perubatan, etika perubatan, benda-benda yang sememangnya biasa disampaikan oleh speaker-speaker jemputan ke bumi Salju ini. Sebab itu aku kurang ambil port agaknya.

Aku memasukkan iPad ke dalam beg sandang, dan iPhone ke dalam poket. Mujurlah kedua-duanya telah di-cas sempurna. Aku diberitahu yang kami akan pulang sejurus selepas program berakhir, maksudnya bermalam didalam perjalanan sahaja. Alhamdulillah. Lantas bertolak keluar bersama Muizz dan Nasir, dua orang juniorku.

Didalam bas, setelah mengambil tempat duduk, Ezwan pula duduk di hadapan. “Eh Kid, join jugak engkau?” “Two things come unexpected – Opportunity, or trouble” selorohku. Kami berdua sahajalah pelajar tahun akhir yang menyertai rombongan tersebut. Bas sudah dipenuhi dengan para pelajar. Hampir 3/5 bas dipenuhi pelajar wanita. Penuh. Semenjak dua hari lepas sudah ada sebilangan pelajar yang bertolak sendiri ke bandaraya Moscow tersebut menaiki keretapi. Ada yang bercadang untuk bersiar-siar di bandaraya besar tersebut sebelum program bermula, dan ada juga yang kerana tiada lagi tempat duduk kosong didalam bas tersebut.

Aku boleh dikatakan langkah kanan. Seorang juniorku tidak dapat menyertai rombongan pada minit terakhir, kerana itu ada kekosongan. Alhamdulillah.

“Man salaka thoriqan yabtaghi fiihi ilmu, sahhalallahu lahu thoriqan ilal jannah. Biiznillah.” Bisikku perlahan tatkala bas memulakan perjalanannya, memecah kegelapan pagi Nizhniy di hari itu.

Continue reading