Kerana Ini Jalan Pilihanku

Karya asal oleh: Muharikah, Dakwah.info
Diolah kembali oleh: Mohd Syamirullah Rahim – sekadar karya saduran, tiada kaitan dengan yang masih hidup mahupun yg telah pulang ke rahmatullah.

_______________________________________________________________________________________________________

     Berapa kali aku kata aku bukan belajar di Moscow ! Aku belajar di Nizhniy, di salah satu tempat di Russia !

    ‘Abah dah habaq kat hang banyak kali dah! Kalau pergi Moscow tu jangan buat perangai tak elok! Jangan malukan mak abah! Hang pergi sana untuk belajar. Bukan untuk jadi pendakwah!’

    Nizhny abah, Nizhny! Bentak hatiku. Aku tak mengerti mengapa semua orang Malaysia menganggap jika belajar di Russia itu maksudnya adalah belajar di Moscow .

    ‘Tak mengapa Sham, aku dok belajar di Ireland ni pun mak aku kata aku belajar di London.’ Teringat kata-kata Izzul, teman serumahku di saat kami berbual.

    Aku mengeluh di saat gagang telefon belum ditutup. Abah masih meneruskan ceramahnya yang panjang lebar. Terasa bingit apabila suara garaunya menembusi gegendang telingaku.

    ‘Abah dah habaq kat hang, dok Moscow tu belajar. Buat apa nak enjoy-enjoy sangat. Bukan senang nak pergi overseas itu, tahu? Semua orang kampong ni tahu yang anak abah pergi Moscow . Mana abah nak letak muka kalau hang balik tak bawak apa2 selain bini hang tu je?’

    Aku masih tidak berkata apa-apa. Membiarkan si abah memuntahkan segala isi hatinya yang terbeku. Padanya abah tidak mengerti apa-apa yang dialaminya di bumi berhawa dingin itu.

    ‘Usrah-usrah tu bukan tak bagus. Abah suka anak abah jadi anak soleh. Tapi jangan sampai berlebih-lebihan. Jangan sampai hang tak study langsung. Nak belajar Islam itu belajar juga, tapi janganlah berlebihan. Islam itukan wasatiah. Berpada-pada. Kita jangan terlalu ekstrim. Biar Islam kita Islam hadhari’

    Teringat dulu abah pernah bertanya kepadaku erti wasatiah. Dia jumpa dalam buku kitab kuning katanya. Aku katakan itu bermakna berbuat sesuatu biar pada kadarnya, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

    ‘Abah memang kecewa dengan hang, Sham. Kau tak kasihan ke pada mak abah. Macam mana nanti kami nak tanggung malu kalau hang balik tak bawak apa-apa? Hang nak cari kerja macam mana nanti? Nak tanggung anak bini hang lagi. Hang nak bagi depa makan pasir ke?’

    Aku merenung lantai di bawah telapak kakiku. Kosong. Di sisiku, bidadari yang menerangi rumah tanggaku duduk bersimpuh sambil menanti-nanti ucapan dari bibirku. Kasihan dia, tentu dia gundah melihat reaksiku berbicara dengan abah di balik telefon.

    Setiap kali aku mahu menjawab kata-kata ayahku, si bidadari menyentuh lembut bahuku dan membuka ayatNya yang menyirami api amarah hatiku;

    ‘Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa.Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah keduanya perkataan yang baik’ ( Al-Isra’: 23)

    Benarlah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Aku melirik dengan hati yang tenang pada wajah bercahaya si bidadari. Dia bukanlah dikalangan wanita yang dikatakan sebagai jelita. Hidung sedikit sepet, kulitnya sawo matang. Badannya kecil molek. Tapi aku tidak melihat kesemua itu kerana di saat aku ditanya oleh abang usrahku akan kriteria calon isteri pilihanku, jawapanku hanyalah;  Dia seorang akhwat yang mengikuti tarbiyah dan melaksanakan ajaran Islam. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah menyesal membuat pilihan itu.

    ‘Abah…’ ujarku dengan nada yang lembut sambil menahan gelojak di hati yang tersinggung dek tuduhan-tuduhan si abah.

    ‘Abah, Sham sebenarnya bukan fail exam keseluruhan ayah. Sham cuma fail zachot sahaja.’

    ‘Sama jelah . Kalau dah fail tu fail juga…’ Abah memotong.

   ‘Bukan begitu. Maknanya Sham boleh ambil balik zachot itu dan lulus. Tak perlu pun nak kena ulang tahun.’

    Aku membayangkan betapa terkejutnya abah tatkala menerima surat keputusan peperiksaanku di kampung. Ditambah lagi abang sulungku pulang dari US tanpa membawa balik segulung ijazah. Hanya sebatang kara. Kini dia hanya menolong ayah menguruskan cyber cafe di kampung. Sedangkan dahulunya abang adalah pelajar terbaik sewaktu sekolah menengahnya.

    ‘Abang ikut tabligh kot, Abg Sham.. Balik rumah asyik pakai baju putih je’ begitu kata adik bongsuku tatkala ditanya. Abang enggan berbicara denganku. Aku sendiri tak mengerti kenapa. Mungkin berasa malu.

    Barangkali kerana itu abah melenting dan terkejut. Tapi Sham tak ikut tabligh abah! Sham ikut tarbiyah!

    ‘Zachot before periksa itu zachot terakhir Sham kena ambil. Tapi waktu periksa hari itu, Sham kene demam panas. Sham pergi juga ambil periksa waktu itu, walaupun tak dapat nak jawap soalan periksa betul-betul.’

    Abah berdengus kasar. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapanku.

    ‘Apapun, abah tak nak hang gagal lagi. Hang kalau ikut-ikut usrah pun jangan sampai tak belajar. Kita biasa-biasa sudahlah. Tak perlu sampai nak jadi pendakwah.’

    Kadang-kadang aku kecewa mengapa ramai menganggap bahawa faktor utama kegagalan seseorang yang aktif menghadiri pertemuan-pertemuan ilmu itu adalah kerana kesibukannya. Ramai lagi manusia yang gagal dalam pelajaran tapi mereka itu sibuk dengan kefoyaan mereka berhibur serta menghabiskan masa dengan perkara yang langsung tidak berfaedah.

    Pertemuanku dengan seorang sahabat yang memberi cahaya kepada kehidupanku kini adalah pertemuan yang paling membahagiakan hidupku. Sahabat itulah yang menjadi naqib usrahku dan menjodohkanku dengan dia. Saat aku jatuh cinta dengan tarbiyah, saat itulah aku mengetahui erti kepada makna kehidupannya di atas muka bumi ini.

    ‘Kau sanggup berkorban duit dan masa semata-mata nak pergi usrah Sham? Get a life man! Takkan masa muda kau ni nak habiskan masa baca Quran je? Kau tak bosan ke dengar ceramah-ceramah? Ke hulu-hilir pergi entah kemana-mana entah. Kau boleh tolak tau kalau orang ajak kau. Kau jangan paksa diri Sham,’ Itulah kata-kata teman serumahku di kala mereka selalu melihat aku hilang dari bilikku.

    ‘Tapi aku tak jumpa ketenangan dan kebahagian bila aku buat apa yang kita buat selama ini. Usha awek cun, main game, tengok wayang dan lepak-lepak. Mula-mula aku rasa best lah. Tapi lama-lama aku rasa boringlah.Hidup takde tujuan. Buat camtu pun aku rasa buang duit dan masa juga.’

    ‘Kau memang dah berubahlah, Sham.’  Dan di saat itu, aku mula merasakan hubunganku dengan teman serumahku semakin renggang. Nyata jalan kami adalah dua jalan berbeza. Pemikiran kami berbeza. Kesukaan kami begitu juga.

    Aku berasa bahagia tatkala berjumpa dengan teman seperjuanganku namun aku sedih melihat teman serumahku masih leka dengan kefoya-foyaan sementara. Duhai teman, jika dikau mengetahui betapa nikmatnya jalan yang berliku namun penuh cahaya ini tentu kamu takkan tersilau dengan hiburan sementara di atas dunia ini. Kehidupan yang kau lalui sekarang ini adalah jalanyang gelap, yang tidak bermakna apa-apa walaupun kelak kita sama-sama pulang membawa segulung ijazah, kerana kehidupan sedemikian menjanjikan suka sebentar, tetapi duka selamanya di akhirat nanti.

   ‘Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi,’(Al-A’raf: 7)

    Aku berdoa agar keluargaku dan sahabat-sahabatku akan mendapat pancaran hidayah ini. Aku berdoa agar mereka menyintai ilmu, menyintai Islam dan mahu beramal dengannya. Kerana hidup di bumi Russia ini, perbezaan antara kafir dan Islam adalah terang dan jelas. Minum arak, pergaulan bebas, pergi kelab malam dan makan babi adalah nyata perkara haram. Tetapi di Malaysia sangat sukar untuk menilai manakah Islam manakah yang bukan kerana orang Islam sendiri minum arak, pergi ke kelab malam dan berfoya-foya. Oleh kerana itu tidak hairan jika ramai graduan luar negara apabila pulang ke tanahair akan lebih dekat dengan Allah, kerana keadaan kehidupannya menjadikan dia sedemikian. Dia memerlukan Allah untuk hidup. Dia memerlukan Allah untuk menjadikan dia kuat menahan cabaran kekufuran. Sebab itu di saat sahabat-sahabat seperjuangan mengajaknya untuk belajar tentang agama Allah, hatinya tidak menolak, kerana dirasakan bahagia di saat hatinya dekat dengan Allah. Dan dia buntu memikirkan bagaimanakah lagi dia boleh membawa teman serumahnya mengikuti jalan yang dia ikuti kini.

   ‘Wahai orang-orang yang beriman. Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu,’ (Anfal:24)

    Kerana itu Sham ikut usrah abah! Kerana Sham mahu merasai cahaya itu! Dan Sham mahu orang sekeliling Hisham turut merasai cahaya keimanan tersebut. Kegagalan yang Sham hadapi sekarang ini bukanlah kerana kesibukan Sham tapi adalah semata-mata kerana Allah mahu menguji Sham. Sebab semakin Allah sayangkan hambanya semakin Allah berikannya ujian. Jangan abah salahkan usrah hanya kerana Sham gagal!

    Mahu sahaja dilontarkan kata-kata itu kepada abahnya yang separa uzur. Dia mahu abahnya memahaminya walaupun sukar. Dan dia berazam untuk berbakti kepada abah tatkala dia pulang nanti. Dia mahu tunjukkan bahawa apa yang dia dapat di negara orang putih ini adalah perkara yang terbaik pernah berlaku pada dirinya.

    ‘Abang…’ Lamunannya terhenti selepas sahaja dia meletakkan gagang telefon.

    ‘Result abang dah dapat dah ini..’ Dia berlari-lari anak sambil membawa sampul putih ke arahku.

    Aku membuka sampul itu dengan penuh hati-hati dan perlahan-lahan..

    ‘Alhamdulillah….’ Sambil menoleh ke arah isteriku dengan senyuman penuh makna.

    Pantas jemariku mengambil telefon kelui di atas katil sambil menekan punat dial.

    ‘Assalamualaikum abah, Sham dapat Red Diplome!’

Dan di saat itu dia merasakan bahawa angin-angin sepoi bahasa di luar sana turut merasai keriangan hatinya…

3 thoughts on “Kerana Ini Jalan Pilihanku

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s