Korban & Ikhlas

Sambutan Eidul Adha baru sahaja berlalu, dan kita sering memperkatakan tentang pengorbanan yang di lakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun sejauh manakah kita mengambil pengajaran melalui kisah-kisah itu. Jarang-jarang sekali kita mengorbankan kehendak kita, kesukaan kita dan kepentingan kita untuk Allah; malahan, ada yang berpendapat jika kita lakukan sesuatu (amalan) bukan dengan penuh kecintaan, dan senang hati untuk melakukannya, ia adalah sesuatu yang ditolak dan dikeji.

Selalu kita dengari alasan-alasan seperti “hati masih belum terbuka”; “beramal tapi kalua tak ikhlas tak guna jugak” ; “kalua buat tak diterima, kalau x buat pun sama je..baik x yah buat” dan lain-lain lagi sebagai alasan untuk kita melarikan diri daripada menunaikan kewajiban agamanya. Ramai dikalangan kita yang menyangka bahawa jika kita beramal dengan perasaan berat hati adalah sesuatu yang tertolak.,dan kerana itulah mereka meninggalkannya. Kerana itulah masih ramai yang masih menunggu hatinya terbuka untuk bertudung. Kerana itulah ada yang hanya bersolat apabila terasa “ikhlas” untuk bersolat. Malahan ada yang mengatakan sesiapa yang biasanya tidak bersolat, dan tiba-tiba rasa ingin bersolat adalah ikhlas yang sebenar!

Namun lain pula halnya jika kita melakukan sesuatu yang kita tidak sukai demi orang yang tersayang (iaitu kekasih kita) . Jika kita sanggup mengenepikan kepentingan diri kita, dan melakukan sesuatu yang tidak kita sukai demi kekasih kita, ia dikatakan sangat ikhlas. Dan dia dikatakan mencintai kekasihnya dengan penuh keikhlasan (kerana sanggup lakukan apa sahaja walaupun tidak disukainya demi kekasihnya). Namun mengapakah pendangan kita sangat berbeza jika kita berkorban untuk Tuhan kita yang sepatutnya menjadi “Kekasih Agung” kita.

Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya kerana Allah taala. Adakah Nabi Ibrahim sangat berbesar hati untuk melaksanakan perintah tersebut? Di dalam al-Quran sendiri menceritakan bahawa Nabi Ibrahim bingung, sedih dan berat hati Nabi Ibrahim untuk melaksanakan perintah Allah itu lalu ditanyakan hal ini kepada Nabi Ismail sendiri. Hal ini diceritakan di dalam 37:99-111. Bahkan, ada riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim pernah berkata ketika meninggalkan Ismail dan ibunya di kawasan yang terpencil, “Jika tidak diperintahkan oleh Allah, tidak mungkin aku akan meninggalkan kamu di sini”.

Di sini jelas bahawa Nabi Ibrahim sendiri juga merasa berat hati untuk melaksanakan perintah Allah, namun kerana mentaati Allah, Nabi Ibrahim tetap melaksanakan perintah tersebut. Dan atas pengrorbanan besar Nabi Ibrahim itu, Allah telah menaikkan darjatnya dan mengelarkan Nabi Ibrahim sebagai Khalilur-Rahman iaitu sahabat ar-Rahman.

Oleh itu, apakah pengertian ikhlas yang sebenar?

Pengertian Ikhlas

Perkataan ikhlas yang diguna pakai di dalam pertuturan seharian Bahasa Melayu adalah dipinjam daripada perkataan Arab. Namun, menurut pengguanaan bahasa Melayu ikhlas menurut kamus dewan membawa erti :

(dengan) hati yang suci, tidak menipu, tulus,sangat jujur dan rela hati.

Namun sebenarnya maksud ini adalah kurang tepat. Ikhlas berasal daripada perkataan Arab iaitu “akhlasa” yang bermaksud “membersihkan”. Menurut syara’, apabila disebut perkataan ikhlas ia membawa maksud kalimah tauhid, iaitu ucapan:

Tiada tuhan selain Allah”

Kerana itulah surah ke-112 di dalam al-Quran dinamakan surah al-Ikhlas kerana surah ini memperkatakan tentang mentauhidkan Allah.

Di dalam istilah usuluddin, ikhlas bermakna:

“Membersihkan atau memurnikan akidah daripada mempersekutukan Allah dengan makhluk-Nya”.

atau

“Mentauhidkan Allah dalam pengabdian atau ta’abbud kepada-Nya”

Dalam pengertian tauhid pula, ikhlas bermaksud:

“MengEsakan Allah atau hanya menyembah Allah dan mengibadahi Allah Yang Maha Esa dan meninggalkan segala bentuk kesyirikan dan perkara yang bertentangan dengan sunnah”

Dr Yusuf Al-Qaradhawi pula berkata bahawa ikhlas membawa maksud ‘iradah wajhallahu ta’ala bil’amal wa tasfiatu min kulli shaubin zaatin au dunyawin’ yang bermaksud “mengkehendaki keredhaan Allah S.W.T dengan amal dan membersihkan amalan itu dari kecacatan yang bersifat diri sendiri (spt. nafsu, sifat malas dan lain-lain) atau yang bersifat duniawi (spt. harta benda, puji-pujian).

Adakah sesuatu amal yang kita dilakukan akan diterima oleh Allah jika kita membenci untuk melakukannya atau jika kita memaksa diri kita untuk melakukannya?

Contohnya, adakah seseorang yang tidak suka untuk memakai tudung, namun memaksa dirinya untuk memakai tudung kerana tahu akan kewajipannya (iaitu kerana Allah taala)? Pada kebiasaannya, kita akan berkata bahawa amalan tersebut adalah tertolak kerana si pelaku adalah tidak ikhlas kepada Allah. Dan kerana itulah, ramai diantara umat Islam sekarang cuma menunggu untuk hati mereka “terbuka” untuk berubah berbanding berusaha untuk berubah. Di sini saya ingin mengajak pembaca untuk memahami sepotong ayat daripada al-Quran

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu… [surah al-baqarah 2:216]

Di dalam kisah yang diceritakan di dalam ayat ini, apabila disyariatkan kepada orang2 mu’min untuk berperang dan terdapat diantara mereka yang tidak suka akan peperangan. Oleh itu Allah telah menurunkan ayat ini untuk menyuruh mereka tetap turun berperang. Dan apakah Allah akan menolak amalan jihad mereka sedangkan mereka telah mengenepikan kepentingan diri mereka hanya kerana Allah taala? Dengan sifat Maha Adil-Nya, Allah tidak kan mengurangi sedikitpun amalan dan usaha mereka seperti mana disebut di dalam al-Quran:

“..Dan jika kamu taat pada kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun amalanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyanyang” [surah al-Hujurat 49:14]

Bahkan jika kita memahami ayat penuh di atas, orang-orang badwi itu masih belum beriman tetapi tetap tunduk patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah tetap menjanjikan mereka balasan atas amalan mereka.

Syarat amalan yang ikhlas

Seperti mana definisi ikhlas iaitu mentauhidkan Allah, syarat ikhlas adalah mentauhidkan dan memurnikan ketaatan kita kepada  Allah di dalam setiap amalan kita. Ikhlas bermula dari niat yang bersumber dari hati. Oleh itu yang paling penting di dalam mencari keikhlasan adalah niat hanya kerana Allah. Seperti mana yang disebut oleh Rasulullah :

“sesungguhnya segala amalan itu bermula dengan niat”
[riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi]

Setiap amalan hanya ikhlas jika dimulakan dengan niat hanya kerana Allah  seperti mana di dalam setiap ibadah di niatkan “kerana Allah taala” (lillahi ta’ala). Ucapan ikhlas ini di jelaskan lagi di dalam hadith sahih:

“Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah : Sesiapa yang menuntut ilmu yang mana sepatutnya kerana mencari keredaan Allah tetapi tidaklah ia menpelajarinya kecuali kerana untuk mendapat kejayaan (kepentingan) dunia. Pasti ia tidak akan dapat mengharapkan (apa pun) dari syurga di Hari Kiamat, maksudnya tidak akan dapat baunya”
[Riwayat Abu Dawud di dalam al-Ilm dan Ibn Majah di dalam al-Muqaddimmah]

Kerana itulah, ikhlas telah dijadikan subtopik dibawah hadith pertama (Bab Niat) di dalam Kitab Matan Arba’in, Imam Nawawi. Ini kerana, asas kepada keikhlasan adalah mentauhidkan Allah atau meniatkan sesuatu amalan kepada Allah tanpa mengira kita suka ataupun tidak kerana Allah lebih mengetahui apa yang baik bagi kita {2:216].

Kesimpulan

Oleh itu, marilah kita mempergiatkan amalan kita. Taat kepada Allah atas segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya walaupun perkara tersebut tidak kita sukai atau senangi. Kerana yang penting, bukan apa pendapat kita, tetapi apa pendapat Allah. Marilah;

saudara-saudara dan rakan-rakanku yang tidak bertudung untuk mula memakai hijab walaupun itu adalah sesuatu yang engkau tidak senangi. Kerana jika engkau memakainya kerana tahu bahawa Allah telah mensyariatkannya, maka engkau telah ikhlas (mentauhidkan Allah).

saudara-saudaraku dan rakan-rakanku yang tidak bersolat untuk tetap melakukan solat tak kira bertapa malasnya engkau untuk melakukannya. Kerana jika engkau tetap melawan nafsumu dan menunaikan solat kerana sedar akan kewajibannya yang telah Allah tetapkan, maka engkau telah ikhlas (mentauhidkan Allah).

sahabat-sahabatku untuk terus berusaha memperbaiki amalan mu, walaupun ia amatlah berat. Jika engkau melakukannya kerana ia adalah suruhan Allah menurut al-Quran dan Sunnah yang sahih. Maka engkau telah ikhlas(mentauhidkan Allah)

Janganlah kerana fahaman kita yang silap menghalangi kita daripada memperbaiki diri kita walaupun ia kelihatan lebih benar; kerana Allah telah mengingatkan kita di dalam al-Quran: Dan syaitan memperindahkan kepada mereka apa yang mereka lakukan [al-an’aam 6:43]. Akhir kata, penulisan ini adalah hasil kajian dan pemahaman penulis, dan sebagai manusia, penulis tetap melakukan kesilapan. Jika terdapat pemahaman yang silap, maka perbaiki lah, dan tegurlah kesilapan itu. Jika pemahamanku silap, aku menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku.

*Nukilan oleh kenalan jauh Faisal Arbain sebagaimana yang disiarkan di http://al-isra.blogdrive.com. Lawati juga di Leokid.Com untuk membaca mengenai Kisah-Kisah Korban!

3 thoughts on “Korban & Ikhlas

  1. Pingback: 7 Syarat | Leokid's Life

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s