Jelaskan Salah Faham Mereka!

Sebuah Kisah Dari Seberang

Beberapa hari lepas, seorang user ILuvIslam meluahkan pengalaman/permasalahannya di salah sebuah thread di sana. User tersebut, twee_cute, merupakan seorang pekerja di luar negara. Justeru, beliau banyak menghabiskan masa dalam persekitaran yang majmuk, bercampur dengan pekerja lain berbangsa Cina, berbangsa India, termasuklah rakyat tempatan.

Diceritakan bahawa pada suatu hari, sedang beliau bersama seorang rakan berbangsa india dan seorang rakan berbangsa cina sedang makan malam bersama. Sedang mereka berbual, antara topik yang dibualkan adalah mengenai ketuhanan. Rakan India beliau berkata, bahawa tuhan orang India adalah lembu, dan kerana itu orang India tidak boleh makan daging lembu.

Terdengarkan sedemikian, rakan Cina beliau lantas berkata, bahawa tuhan orang Islam itu khinzir agaknya, kerana orang Islam tidak boleh makan khinzir!

Jadi user twee_cute merasakan sangat terkejut dengan salah faham yang terjadi pada rakan Cina beliau tersebut, namun beliau tidak melatah dan terus memarahi rakannya itu. Beliau mengambil langkah berhati-hati dengan meminta pendapat rakan-rakan di ILuvIslam.com mengenai cara terbaik untuk berhadapan dan menjelaskan salah faham tersebut kepada rakan Cina beliau itu.

Dan alhamdulillah, saya telahpun menyuarakan pendapat saya kepada beliau di thread berkenaan. Namun bukanlah kes spesifik user twee_cute yang ingin saya bawakan di sini, sebaliknya suka saya bawakan secara umum, mengenai teknik dan sikap kita dalam berhadapan dengan salah faham sama ada oleh orang bukan Muslim, mahupun oleh Muslim sendiri.

Filem Fitna, kemuncak manifestasi salah faham terhadap Islam

.

Berhadapan Dengan Salah Faham

Tidak dinafikan, memang banyak salah faham dalam kalangan masyarakat bukan Islam, terhadap Islam. Ada antara salah faham tersebut, berasal dari kejahilan atau atas dasar tidak tahu. Ada juga salah faham yang sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan masyarakat dunia sebagai satu bentuk serangan terhadap Islam. Ada juga salah faham tersebut, yang ditimbulkan/disebabkan oleh umat Islam itu sendiri sama ada sedar atau tidak.

Pun begitu, walau dari mana pun asal-usul salah faham tersebut, kita umat Islam kena ada common ground dalam menghadapi tanggapan dan salah faham mereka tersebut. Sering saya sebutkan, bahawa kita tidak dapat mengawal apa yang mereka fikirkan/lakukan, tetapi kita dapat mengawal bagaimana cara kita bereaksi apabila berhadapan dengan mereka.

Antara common ground yang dapat saya fikirkan adalah:

.

1. Jangan melatah.

Salah faham dalam kalangan masyarakat bukan Islam ini, memang banyak. Sesetengahnya memang membuatkan kita rasa terganggu, offended dsb. Contohnya, salah faham oleh rakan twee_cute itu, yang pada menyangkakan tuhan bagi umat Islam itu adalah babi. Banyak juga, saya pernah mendengar salah faham yang agak sensitif dan offending ini. Salah satunya yang saya pernah dengar (mungkin agak censored sikit), “Lelaki Islam ini anunya semuanya kontot2, kerana telah berkhatan!” Disturbing, bukan?

Teringat saya akan sebuah hadis Rasulullah yang mengatakan, gagahnya seorang lelaki bukan kerana kekuatannya bergusti, tetapi pada keupayaannya mengawal diri dari marah.

Sesetengah mereka, gemar memprovok. Sengaja mengapi-apikan dan membuat kita marah. Dalam kes ini, kita kena bersabar lah. Orang putih kata, “Don’t stand down to their level“.

.

2. Jangan judge niat mereka.

Ada sesentengah tu, bila ditanyakan soalan yang provocative, membalas atau memandang sinis akan persoalan tersebut. “Ala dia tu saja je tanya nak provoke, bukan betul2 nak tahu pun.

Bagi kita, kita anggap mereka sama. Kalau betul mereka sengaja nak provoke pun, kita layan mereka dengan baik. Kalau betul mereka jujur nak tahu, kita pun layan mereka dengan baik juga. Bukan hak kita, untuk menghakimi apa niat mereka. Sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab kita, untuk berlaku adil, serta menjelaskan mengenai apa jua persoalan yang diajukan.

Walaupun kadang-kadang ayat yang mereka gunakan, sememangnya ayat yang berbentuk provokasi, yang membuatkan kita ingin marah. “Korang kata kami bodoh sembah tokong, korang lagi bodoh sembah kotak batu kat arab” (contoh ayat yang provokasi). Elakkan dari terpengaruh dengan emosi, dan hendaklah kita bersabar. Pertama sekali, minta maaf dulu kepadanya, bagi pihak muslim yang memanggilnya bodoh itu. Kemudiannya, barulah kita cuba terangkan konsep kaabah dalam Islam.

Sama ada dia dapat terima atau tidak, bukan kita yang menentukan. Bagi kita, kita cuma menyampaikan. Sama ada mereka menerima hidayah ke tidak, biar Allah yang tentukan.

.

3. Jangan memandai-mandai.

Sememangnya diakui, kita ini bukan muslim yang sempurna, yang tahu serba-serbi. Tambah-tambah pula, jika kita ini bukan ustaz, bukan lulusan timur tengah dan sebagainya, iaitu bukan ahli dalam bidang-bidang agama ini. Namun begitu, berhadapan dengan masyarakat bukan Islam, bukan lagi merupakan pilihan. Tambah-tambah dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa ini. Mahu atau tidak, mereka akan menjadi rakan sekerja kita, mereka akan menjadi jiran kita dan sebagainya.

Justeru, setiap daripada kita mestilah bersedia untuk memberi kefahaman Islam yang sebenarnya. Tanggungjawab “berdakwah” bukan lagi terletak di bahu ustaz-ustaz sahaja, namun tergalas pada pundak kita semua. Namun begitu, dalam keadaan pengetahuan agama kita yang terhad, maka hendaklah kita merujuk kepada mereka yang ahli (ustaz-ustaz, ulama’ dsb).

Maka atas sebab itulah, jika kita ditanyakan soalan-soalan yang kita tidak tahu jawapannya, maka sewajarnya lah kita mengakui bahawa kita tidak tahu. Bak kata pepatah Inggeris, “there’s no shame in admitting what we don’t know.”

Malahan, sebenarnya pengakuan bahawa kita tidak tahu itu memberi gambaran bahawa umat Islam itu jujur. Ia juga memberi tanggapan bahawa umat Islam tidak boleh memandai-mandai memberi jawapan, serta bahawa kita ini berpegang kepada kebenaran, bukannya semata-mata hendak menang dalam perdebatan!

Pun begitu, janganlah pula tinggalkan persoalan individu tersebut tergantung tanpa jawapan. Rujuklah ustaz atau mereka yang lebih mengetahui, dan setelah mendapat jawapan baru kita olah agar dapat disampaikan kepada individu tersebut dengan seringkas dan seoptimum mungkin dengan kefahamannya.

.

4. Jangan merendah-rendahkan @ offend agama mereka.

Kadang-kadang, kita ni bersemangat sangat nak cerita macam-macam sampai tidak sedar yang kita offend agama mereka. Contohnya, seperti persoalan yang ditimbulan rakan twee_cute di awal post ini tersebut. Jika kita menjawab “eh taklah, takkanlah babi tu tuhan kitorang, u all orang cina sembelih pun dia tak melawan. takkan binatang jadi tuhan“. Dalam tak sedar, kita dah offend rakan twee_cute yang beragama Hindu tersebut.

Hormat agama orang lain. Kita tidak disuruh mengakui @ mempercayai agama mereka, tapi kita disuruh menghormati agama mereka. Dalilnya, rujuk surah al-an’am ayat 108. Begitu juga dengan surah Al-Kafirun.

Surah Al-An'am, ayat 108

Surah Al-An'am, ayat 108

Jalan yang baik, adalah dengan menceritakan mengenai Islam, cukup. Tak perlu nak banding-bandingkan dengan agama2 lain. Kalau nak sentuh mengenai agama lain juga, perlulah berhati-hati dan “berlapik”.

.

Permudahkanlah, jangan kamu susahkan!

Antara punca berlakunya salah faham terhadap Islam, adalah kerana banyak persepsi negatif yang ditonjolkan dan difokuskan mengenai Islam. Seolah-olah itulah asas kepada Islam. Hasilnya, agama Islam dilihat sebagai sebuah agama yang mengongkong, agama yang menunjukkan keganasan, yang menyekat kebebasan, yang menindas gender dan sebagainya.

Pengalaman peribadi, berbual dengan seorang remaja bukan Islam yang menghubungi saya melalui contact-form blog saya ini, menzahirkan mengenai minat beliau terhadap Islam. Siapa sangka, soalan pertama beliau, adalah mengenai khatan! “Berkhatan itu, sakit ke?”

Sesungguhnya, Islam itu agama yang indah. Agama yang mempermudahkan, bukan menyusahkan. Namun dikesali, adanya segelintir umat Islam yang gemar menakut-nakutkan. Suka benar, menceritakan mengenai azab kubur, mengenai seksaan di neraka, mengenai balasan kepada orang yang berdosa, dan sebagainya.

Sungguhpun atas niat untuk mencegah kemungkaran dan sebagainya, namun konsep pahala dan dosa itu mestilah diterangkan dan difahami terlebih dahulu! Menceritakan mengenai azab balasan dsb kepada orang yang baru mendekati Islam atau yang baru bertatih hendak kembali ke pangkal jalan, hanya memberikan impressi kepada mereka bahawa Islam itu zalim! Bahawa Tuhan itu kejam!

Teringat saya akan sebuah penulisan Ustaz Hasrizal (Ke Syurga Bukan Dengan Jantina) yang ada mengupas mengenai salah satu daripada salah faham ini. Akibat terlalu gopoh dalam dakwah, menyebabkan ada yang mengatakan Islam itu gender-biased kerana adanya hadis bahawa perempuan adalah yang paling ramai masuk ke neraka.

Justeru itulah, sekiranya kita berhadapan dengan audiens yang kefahamannya terhadap Islam adalah minimal – contohnya mad’u yang baru nak berjinak-jinak dengan Islam, non-muslim yang baru nak mengenali Islam dan sebagainya, sewajarnya lah kita memperlihatkan keindahan Islam itu dengan menceritakan perkara-perkara yang baik dan indah. Bukan menggula-gulakan, tetapi adil (kena pada tempatnya), iaitu sesuai dengan kefahaman audiens.

.

Islam itu mudah!

Banyak sebenarnya perkara-perkara yang mudah dalam Islam ini. Banyak sebenarnya, perkara-perkara yang indah dalam Islam ini.

“Barangsiapa memberikan petunjuk kepada kebaikan, maka baginya adalah seperti pahala orang yang melakukan kebaikan itu.”

“Mendamaikan dua orang itu sedekah, menolong mengangkat barang orang itu sedekah, membersihkan jalan dari halangan itu sedekah”

“Barangsiapa yang mendoakan mu’min laki-laki atau perempuan miscaya Allah akan memberi pahala kebaikan dari setiap mu’min laki-laki dan perempuan yang didoakan”

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Al-Quran maka ia akan mendapat sepuluh kebaikan dan setiap kebaikan memilki sepuluh kelipatan pahala. Aku tidak berkata Alif Laam mim itu satu huruf tapi Alif satu huruf, Lam sati huruf, dan mim satu huruf”

Serta pelbagai lagi offer, rewards, bonus dan sebagainya yang ditawarkan kepada umat Islam! Tunjukilah kepada orang Islam dan kepada sesama Islam itu sendiri, bahawasanya Islam itu mudah sebenarnya!

“Permudahkanlah, dan jangan menyusahkan. Gembirakanlah, dan jangan menakutkan.” (HR Bukhari no. 69)

.

Jom buat latihan sedikit!

Bagi mengakhiri penulisan ini, saya sertakan beberapa contoh mengenai salah faham yang sering berlaku terhadap Islam. Jom kita sama-sama cuba fikir, apa yang akan kita jawab/terangkan untuk menjelaskan salah faham ini. Para pembaca boleh berkongsi jawapan di ruangan komen.

1. Umat Islam sembah Kaabah?
2. Nabi Muhammad itu Pedophile?
3. Lelaki umat Islam itu gila seks, sebab boleh kahwin empat?
4. Umat islam menyekat kebebasan wanita (aurat, hijab, niqab dsb)?
5. Umat islam membenci kafir, kalau jumpa orang kafir kat mana je kena bunuh mereka (rujuk surah taubah ayat 5), kalau jumpa kena pancung mereka (rujuk surah muhammad ayat 4)

Sekian, sekadar buah fikiran dari saya. Wallahua’lam. Wassalam.

22 thoughts on “Jelaskan Salah Faham Mereka!

  1. inshaallah moga diipermudahkan..Alhamdulillah saya ada sahabat2 yang selalu membincangkan topik ini..Artikel ini juga banyak membantu menjelaskan lagi..

  2. MasyaALLAH! Mabruk!
    Jzkk atas perkongsian..
    very enlighten!
    maaf ingin bertanya…
    saya nak tahu..macam mana ye sampai boleh berhujah begini…
    macam mana nak bahagi masa..
    mintak tunjuk ajar
    jzkk

    • hujah, ilham semuanya datang dari Allah. banyakkan berfikir. huhu.

      Berfikir sesaat lebih baik dari beribadah 70 tahun.

      (Disebutkan oleh Imam Ghazali, diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Ibnu Hibban namun di-maudhu’kan oleh Syeikh Ihsan bin Muhammad bin A’yis al-Utaibi)

  3. Pingback: Zina Hati? Tangan? Kaki? Mulut? Mata? « Leokid's Life

  4. Salam. wah! bagus2. nak buat latihan yg diberikan, tapi xsemua la yg nak dijawab.

    Soalan no 3: Lelaki umat Islam itu gila seks, sebab boleh kahwin empat?

    Islam adalah agama yang menggalakkan monogami dan bukan menggalakkan poligami. Poligami dibenarkan tetapi tidak digalakkan. Sebab utama adalah kerana pada zaman Rasullulah s.a.w. terdapat ramai balu tentera Islam dan juga ramai anak yatim yang kehilangan suami tempat bergantung disebabkan perang, bukan kerana suami tidak dapat menahan hawa nafsu.

    Walaupun poligami dibenarkan, tetapi dikenakan syarat yang ketat, sesiapa yang ingin berpoligami perlu halusi situasi diri dan keluarga sebelum melaksanakannya. Sebagai contoh Rasulullah hanya ada seorang isteri iaitu Siti Khadijah hinggalah Siti Khadijah meninggal dunia. Siti Khadijah dan anak-anak dapat perhatian sepenuhnya daripada Rasullulah.

    Nabi Muhammad sendiri mengahwini beberapa wanita berdasarkan sebab-sebab tertentu seperti mengahwini janda yang kehilangan suami dlm peperangan. Di akhir 13 tahun hayat Rasullulah, baginda mengahwini balu rakan-rakannya yang meninggalkan banyak anak.

    Lagipun, Islam tidak menggalakkan perkahwinan lebih2 lagi poligami sekiranya tidak mampu untuk memberi nafkah zahir dan batin.

    “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” (Annisaa’:3)

    Soalan no 5 : Umat islam membenci kafir, kalau jumpa orang kafir kat mana je kena bunuh mereka (rujuk surah taubah ayat 5), kalau jumpa kena pancung mereka (rujuk surah muhammad ayat 4)

    Petikan Surah Muhammad : “Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir.” (Muhammad:4)

    Ayat ini menceritakan tentang membunuh kafir di medan perang, iaitu apabila mereka menentang Islam. Sesungguhnya Islam hanya akan bertindak balas andainya orang kafir itu menyerang umat Islam dahulu. Siri peperangan sewaktu zaman Rasulullah boleh dijadikan rujukan bahawa Islam tidak sesekali akan membunuh orang kafir melainkan sekiranya terancam.

    Begitu juga halnya pada Surah At-Taubah. Perlu diingatkan bahawa Surah At-Taubah diturunkan sesudah Nabi Muhammad s.a.w. kembali dari peperangan Tabuk yang terjadi pada tahun 9 H. Jadi, penilaian dan penafsiran tidak wajar dibuat dengan hanya memetik sebahagian ayat, perlulah dirujuk keseluruhan ayat, surah dan juga sejarahnya.

    ***Sekadar mencuba. Betulkan yang mana salah. =)***

    • @alberangque

      InshaAllah. Akhlak terbaik untuk kita contohi tentulah akhlak Rasulullah. Lama sebelum wahyu diturunkan, Rasulullah telahpun “berdakwah” dengan akhlaknya kepada para penduduk Makkah yang berbilang kaum dan agama ketika itu.

      Terima kasih kerana berkunjung!

  5. salam ya akhi,tak jumpa kat ILI,jumpa lat sini,,,smile,..cuma sedikit yang saya mahu luahkan,kami ynag berada di zon selesa ni,dari kecil sampai masuk uia sekalipun,cuma bergaul dengan melayu islam,jadi,kondisi seperti yang diceritakan tak pernah dialami.kalian yang berada dalam kondisi di atas,jangan putus asa sebarkan AYAT2 CINTA ALLAH

    InshaAllah. Walaupun selama ini dalam “zon selesa”, kalian juga haruslah sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan ilmu agar jika ditakdirkan Allah kita step out of that comfort zone, we’re already prepared!

  6. harapnya begitu.Kerana apa,tak semua muslim dapat menerangkan miscoception about islam kepda nonmuslim dengan baik.Dan tak ramai muslim yang ambil peduli hal ni,sikap “asalkan aku islam” dan memegang “islam warisan” ,saya kira punca utama pembantutan dakwah islam.Apapun,syukran kerana sudi berkongsi entri yang sya kira bermanfaat juga untuk non muslim.

  7. salam..great post..
    tq..banyak membantu untuk kefahaman diri..
    n utk jwb exam mlm ni.. :)
    “salah faham dalam Islam”..
    semoga Allah memberkati anda..

  8. salam…memang agak susah bila berkerja didalam kelompok yang berlainan bangsa dan agama. sy sendiri merasainya sekarang. bekerja dlm majoriti di dominasi kaum cina. sy tidak nafikan sesetengah daripada mereka yang okay, namun agak sedih apabila boss rata2nya discriminates against other religions and race. mereka pandang rendang pada kaum melayu terutamanya. sedih juga bila persekitaran dikelilingi oleh tidak sama bangsa, sukar mencari tempat makan halal, malah tempat untuk bersolat pun tidak disediakan….

  9. mohon penjelasan..
    Tahap beza umur yang bagaimana, baru digelar pedophile?

    luar topik,hehehe:P

    Seorang lelaki dewasa yang mempunyai sexual interest terhadap kanak-kanak yang belum baligh

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s