Sekilas – Sesejuk Salji Silwan

Sesejuk Salji Silwan - Berita Minggu 21 November 2010

Sesejuk Salji Silwan - Berita Minggu 21 November 2010

Saya bukanlah seorang yang puitis, malah saya lebih gemar menganggap diri saya sebagai orang yang “straight to the point“. Namun dalam pada itu, ramai sebenarnya yang tidak menyangka bahawa saya banyak berkarya sejak dari dahulu lagi.

Era Kebudak-budakan

Masih segar dalam ingatan saya, seawal ketika Tingkatan Tiga, saya sering menghasilkan karya berupa puisi dan sajak secara “syok sendiri” dan diselitkan di meja tulis. Percubaan menulis cerpen saya bermula seiring dengan berkecimpungnya saya dalam arena blogging, sekitar tahun 2004. Tapi ketika itu, tentulah, selaku remaja yang masih berhingus, cerpen-cerpen yang saya hasilkan adalah cerpen-cerpen cinta picisan sahaja. Haha!

Puisi juga lebih kurang begitu sahaja kualitinya. Ada, saya muatkan di sini, sebuah puisi yang saya hasilkan di ambang menempuhi peperiksaan SPM ketika itu. Rasa lucu juga, terkenangkan zaman itu.

Era Blog

Rakan-rakan yang mengikuti Leokid’s Life juga pasti tahu, ada masa-masa tertentu saya berpuisi di dalam blog saya ini. Puisi seperti Mencari Kejayaan dan Bila Diserang Mavi Marmara, begitu juga dengan puisi dalam bahasa Inggeris seperti Fresh Start.

Jujurnya, saya berpuisi semata-semata untuk syok sendiri. Berpuisi adalah ketika saya ingin mengekspresikan sesuatu namun saya buntu hendak menzahirkannya dengan tulisan yang panjang-panjang (seperti yang biasa saya lakukan, hehe). Dalam keadaan sebegini, berpuisi melahirkan satu ketenangan dalam diri saya.

Cerpen? Saya menyedari, bercerpen bukanlah forte saya. Huhu. Seperti yang saya sebutkan, saya jenis yang biasa direct to the point. Namun, pernah juga lah, saya mencuba-cuba bereksperimen menulis cerpen sebelum ini. Contohnya, seperti cerpen 14 Februari Menjadi Saksi yang pernah saya hasilkan suatu ketika dahulu. Ya, agak kebudak-budakan, kan?

Era 2010

Sejak awal tahun ini, saya banyak menghabiskan masa di Facebook. Selaku medium komunikasi dan sosial terkenal, saya mendapat kesedaran untuk memanfaatkan Facebook sebaiknya. Ramai orang menghentam Facebook, kononnya sebagai alat Yahudi yang menjerumuskan ramai pemuda Islam dalam kancah lagha, hiburan, dan sebagainya. Saya sedar, Facebook itu perlu dimanfaatkan.

Atas kesedaran itulah, saya banyak meng-add dan like rakan-rakan Facebook yang terdiri daripada tokoh-tokoh terkenal dan ustaz-ustaz, contohnya seperti akaun Ustaz Hasrizal (Saifulislam.com), Ustaz Zaharuddin, Ustaz Emran, Dr. MAZA, termasuklah juga tokoh-tokoh tanah air seperti Dato’ Hussamuddin Yakub, Pengarah Kumpulan Karangkraf dan Encik Tarmizi Mohd Jam, Pengarang akhbar Harakah.

Perkenalan saya dengan mereka, membawa saya lebih dekat kepada komuniti yang cukup menekankan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi di dunia siber, yang memotivasikan saya untuk lebih prihatin dan menjaga penulisan saya. Individu-individu seperti Puan Ainon Mohd (Pengerusi Kumpulan Syarikat PTS) dan suaminya Profesor Abdullah Hassan (tokoh terkenal memperjuangkan Bahasa Melayu), termasuklah juga penulis terkenal seperti saudara IrfanJani (SangPelangi), saudara Azree Hanifiah (StudioMuslim), Ustaz Asyraf Hafdzan, tak dilupakan Puan Nisah Haron (masih ingat Annyss Sophillea?), di-add saya sekaligus membuatkan saya lebih menghargai Bahasa Melayu.

Saya juga meng-“add” rakan Facebook seperti Ustaz Maszlee Malik, Ustaz Ahmad Irfan (Abidfana) dan akaun Lifeline4Gaza, yang menjadi sumber maklumat saya yang berterusan mengenai isu Palestin. Saya tidak mahu menjadi pembela Palestin bermusim, kerana sesungguhnya kekejaman negara haram Israel ke atas Palestin itu tidak bermusim! Sungguh, Al-Aqsa tidak pernah melupakan kita!

Sesejuk Salji Silwan

Sehinggalah pada awal bulan ini, ketika Biro Tarbiyah dan Kerohanian Persatuan Perubatan Islam Malaysia, sebuah organisasi Islam di Nizhniy Novgorod ini, menganjurkan pertandingan menulis cerpen bertemakan pengorbanan bersempena sambutan Aidiladha, ia mencetuskan suatu perasaan di dalam diri saya.

Segala kenangan saya berkarya yang telah saya tinggalkan suatu masa dahulu, terimbau di ingatan saya. Saya lantas mengambil pena dan kertas, mencoret-coret idea. Palestin, menjadi fokus saya, kerana saya sedar penulisan saya tersebut bertujuan dakwah, dan dalam suasana sekarang apa lagi yang penting melainkan memperingatkan kita semua akan Palestin yang semakin sayup dari ingatan.

Sungguhpun di ambang peperiksaan subjek Tuberculosis, otak saya ligat memikirkan idea-idea. Plot dirangka, watak dan latar dikaji. Saya jarang membuat persediaan sebegini. Selalunya, ketika menulis (tidak kiralah entri di blog mahupun karya lainnya), saya menulis secara spontan. Mungkin kerana mahukan Sesejuk Salji Silwan menjadi karya terbaik saya, maka saya meletakkan sepenuh persediaan ke arahnya.

Akhirnya pada pagi itu, 10 November 2010, saya terjaga awal dari tidur. Otak saya ligat, di pagi hari itu. Saya mencapai keyboard Macbook, melancarkan perisian penulisan Ommwriter, dan mengarang! Hampir dua jam kemudian, draf awal Sesejuk Salji Silwan dihasilkan!

Beberapa hari diambil, saya menunjukkan draf saya tersebut kepada beberapa orang rakan saya secara peribadi. Pelbagai komen diterima, dari segi jalan penceritaan, dari segi watak. Rata-rata responsnya positif. Malah hinggakan ada juga yang benar-benar menganggap Suhayl itu merupakan watak realiti! Sungguh, Suhayl itu hanya imaginasi saya, ya. Hehe.

Akhirnya, saya menunjukkan draf tersebut kepada abang kandung saya, Nasron Sira Rahim, yang merupakan seorang novelis baru di dunia sastera tempatan. Karya beliau seperti novel Enigma dan Nama Atas Kertas, diterbitkan oleh syarikat Jemari Seni dan menerima sambutan hangat daripada para peminat novel bergenre thriller dan penyiasatan. Setelah direviu oleh beliau, beliau ada menasihati saya dari segi gaya penceritaan, penggunaan kosa kata dan sebagainya. Secara keseluruhan, beliau menilai cerpen saya tersebut sebagai “OK” dan “Lulus”, lantas dengan lafaz basmalah, saya menghantar cerpen saya tersebut ke Editorial Sastera akhbar Berita Harian.

Terbit!

Sungguh, saya tidak menyangka cerpen saya tersebut lulus untuk diterbitkan. Pertama-tama sekali, saya bukanlah seorang penulis berpengalaman. Tidak pernah karya saya diterbitkan di mana-mana media cetak tanah air (sepanjang pengetahuan saya lah). Tambahan pula, hiatus beberapa tahun tidak menulis pasti mengaratkan kemahiran saya, terutamanya dari segi kosa kata dan tatabahasa. Begitu juga panjang cerpen tersebut 15  mukasurat, di luar kebiasaan cerpen yang diterbitkan akhbar berkenaan yang biasanya hanya menerima 6 hingga 10 mukasurat sahaja.

Justeru, sungguh, saya langsung tidak menaruh harapan ke atas cerpen tersebut. Sasaran saya, adalah untuk dihantar ke pertandingan anjuran BTK tersebut sahaja, agar manfaatnya diterima oleh para pelajar disini, seterusnya diterbitkan di blog Leokid’s Life dan Leokid.My untuk tatapan para pelawat. Syukur alhamdulillah, pihak Editorial Sastera Berita Harian sudi menerbitkan karya saya tersebut dalam satu setengah mukasurat ruangan Sastera akhbar Berita Minggu bertarikh 21 November 2010.

Perasaan saya? Rasa teruja dan bersyukur, apabila mengetahui bahawasanya berjuta-juta pembaca akhbar berkenaan dapat mengambil manfaat dari penulisan saya tersebut. Itu sahaja. Saya tidak mahu menempah nama dan populariti di dunia sastera, bukan cita-cita saya. Meskipun menghadapi “masalah kewangan” (setelah MARA memotong elaun bermula bulan ini..huhu), saya tidak berhasrat menjadikan penulisan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Cerpen “Sesejuk Salji Silwan”, adalah satu eksperimen ke atas diri saya sendiri, sebagai cabaran kepada diri saya. Dan alhamdulillah, saya berpuas hati dengan hasil yang saya dapat dari percubaan saya ini. Saya menganggap dengan tersiarnya cerpen ini, menjadi satu permulaan bagi diri saya. InshaAllah, saya akan terus menghasilkan karya-karya terutamanya memfokus kepada isu Palestin di masa akan datang!

====

Nota Sampingan:

1) Untuk membaca cerpen “Sesejuk Salji Silwan”, boleh rujuk di Me.Leokid.My ini. [Link akan aktif selepas 1 Disember 2010]

2) Akhirnya, setelah 3 bulan blog ini terbiar!

8 thoughts on “Sekilas – Sesejuk Salji Silwan

  1. Assalammualaikum,

    saya ada membaca sesejuk silwan di utusan ahad lepas.Teruja saya ketika mengetahui saudara yang menulis nya kerana ini pertama kali saya membaca cerpen tulisan saudara kerana saya baru sahaja sebulan yang lepas mengikuti tulisan saudara di blog.
    Saya agak kagum kerana saudara berjaya menulis dan cerpen saudara sangat menarik.
    Teruskan tulisan saudara dalam puisi dan cerpen walaupun ia nya syok sendiri kerana itu lah tulisan yang paling jujur.Kerana ia lahir dari hati.

    Er, Berita Minggu. hehe. Terima kasih.

  2. bolehkah saya copy dan letakkan di blog sy leokid….akan sy rujukkan link ke sini dan nama anda…karya yg menarik untuk dikongsi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s