Of Smallpox, Sacrifice and Suicide

Smallpox (saya tidak pasti dalam Bahasa Melayu ianya diterjemahkan sebagai apa) merupakan sejenis penyakit berjangkit bawaan virus yang cukup berbahaya. Jika seorang kanak-kanak dijangkiti Smallpox, ada 80% kemungkinan kanak-kanak tersebut akan meninggal dunia dalam tempoh dua minggu sahaja, dengan keadaan terseksa.

 

 

Sekadar rujukan, penyakit Smallpox ini ada ditunjukkan secara ringkas didalam siri terkenal House MD Episod 7 Musim 7 yang disiarkan bulan lepas. Walaupun diagnos akhirnya (spoiler alert) bukanlah smallpox, namun ia menunjukkan betapa seriusnya penyakit tersebut.

Smallpox menjadi bukti kejayaan program imunisasi/pemvaksinan. Sejak vaksin terhadap Smallpox ditemui oleh saintis terkenal Edward Jenner pada tahun 1796, ia telah diaplikasikan di seluruh dunia sehinggalah pada tahun 1979, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa penyakit Smallpox telah pupus secara total.

Kisah penemuan vaksin Smallpox oleh Edward Jenner juga merupakan satu kisah yang menarik untuk diketahui. Pada sekitar tahun tersebut, Jenner tersedar akan satu trend – mereka yang bekerja sebagai pemerah susu lembu tidak pernah dijangkiti dengan Smallpox. Jenner mendapati, bahawa mereka (pemerah susu lembu) ini dijangkiti dengan Cowpox, iaitu variasi Smallpox yang khusus kepada lembu sahaja. Bagi manusia, Cowpox ini hanya mendatangkan kudis di tangan, tidak seperti penyakit Smallpox yang cukup menakutkan tersebut (rujuk foto di atas). Oleh kerana mereka telah dijangkiti Cowpox, maka mereka tidak akan dijangkiti Smallpox.

Bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu, Edward Jenner menjalankan eksperimen yang cukup berbahaya. Beliau mengambil bisa/cecair dari kudis seorang pemerah susu lembu, Sarah, dan memasukkannya/melukakannya kepada anak tukang kebunnya, James yang berusia 8 tahun!

Seminggu selepas itu, James mengalami demam-demam yang membimbangkan Edward, bahawa kemungkinan teorinya itu tidak berjaya. Mujurlah selepas itu, James kembali sihat. Edward memulakan fasa kedua eksperimennya pula, iaitu dengan menyuntik James dengan Smallpox! Sekiranya teorinya ini tidak tepat, maka James akan dijangkiti Smallpox yang boleh membawa maut!

Namun, hipotesis Edward Jenner terbukti tepat apabila James tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti Smallpox. Edward meneruskan eksperimennya dengan 23 subjek ujikaji lain, termasuklah terhadap anak kandung beliau sendiri. Setelah penemuannya dilaporkan, beliau sendiri menghadapi tekanan dari masyarakat yang menuduhnya gila, hilang akal dan bodoh kerana eksperimennya yang berbahaya serta kesanggupannya menjadikan anaknya sebagai bahan ujikaji.

Namun kini, hampir 300 tahun selepas penemuan Edward Jenner, vaksin digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit dan terbukti keberkesanannya. Kita boleh lihat sendiri betapa saintis Edward Jenner sanggup mengambil risiko yang cukup berbahaya demi membuat satu penemuan yang cukup bermanfaat buat umat manusia keseluruhannya.

Namun cukup mengecewakan apabila abad ini, adanya golongan yang memandang skeptik terhadap program imunisasi dan vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan. Skeptik mereka yang berasaskan kepada artikel-artikel dan video-video teori konspirasi yang entah siapa menulisnya, dengan mengatakan program vaksinasi itu sebagai perancangan Yahudi dan Freemason dan Illuminati merupakan satu penghinaan ke atas usaha yang telah dibuat Edward Jenner 300 tahun lampau.

Tambah pula, apabila skeptik itu dimanifestasikan kepada keengganan ibu bapa muda tersebut untuk mendaftarkan anak mereka ke dalam program imunisasi kebangsaan, ianya merupakan satu kebodohan yang membinasakan. Ini kerana mereka meletakkan anak mereka dan anak orang lain kepada risiko dijangkiti penyakit berbahaya seperti Polio, Rubella, dan sebagainya.

Atas usaha pemvaksinan, penyakit Smallpox diisytiharkan pupus pada tahun 1979. Mahukah anda mengetahui, kisah tragis kes jangkitan Smallpox terakhir dalam sejarah?

Tahun 1978, Profesor Henry Bedson, merupakan ketua mikrobiologis di Birmingham Medical School sedang menjalankan kajian mengenai virus Smallpox di makmalnya. Betul-betul di atas makmalnya adalah bilik seorang jurugambar perubatan, Janet Parker.

Ditakdirkan, kerana kegagalan Profesor Henry untuk menjaga keselamatan kajiannya, virus Smallpox tersebut terdedah dan disebarkan melalui saluran aliran udara ke tingkat atas, iaitu ke bilik Janet. Janet yang tidak pernah divaksinasi sebelum itu, menyedut udara tersebut dan dijangkiti penyakit Smallpox. Ruam-ruam mula timbul pada badan Janet, lantas beliau dimasukkan ke hospital dan disahkan dijangkiti Variola Major, iaitu strain Smallpox yang paling berbahaya. Janet akhirnya meninggal dunia sebulan kemudian. Ayahnya juga meninggal dunia kerana serangan jantung ketika melawatnya, kerana terkejut dengan situasi yang tidak dijangka itu.

Namun yang turut menyayat hati, seminggu sebelum Janet meninggal dunia, Profesor Henry telah membunuh diri dengan mengelar lehernya kerana tekanan psikologi di atas kejadian yang menimpa Janet. Beliau menyalahkan dirinya kerana menyebabkan Janet dijangkiti penyakit tersebut, dan dalam nota terakhirnya ditulis,

“I am sorry to have misplaced the trust which so many of my friends and colleagues have placed in me and my work.”

(Saya meminta maaf kerana telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh sahabat-sahabat dan rakan-rakan sekerja saya kepada saya dan kajian saya).

Dengan kisah ini, saya menyeru kepada rakan-rakan dan bakal ibubapa sekalian, agar jangan sekali-kali memandang remeh kepada program imunisasi dan pemvaksinan. Jangan setelah nasi menjadi bubur, barulah penyesalan muncul. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari merawat!

Rujukan dan Bacaan Tambahan

1. Smallpox
2. House MD (Episod 7 Musim 7)
3. Edward Jenner
4. Smallpox Vaccine
5. Janet Parker
6. Poliomyelitis
7. Congenital Rubella Syndrome
8. Program Imunisasi Kebangsaan
9. Fatwa mengenai Program Imunisasi Kebangsaan

4 thoughts on “Of Smallpox, Sacrifice and Suicide

  1. salam kiddo! how to contact u? dah lame kite tak online ym.

    ilidash! i’m always available, via fb, ym, even u have my current number. contact jela. haha.

  2. salam…saya cume mahu bertanya, ada kemungkinan tak seseorang yang sudah di vaksinasi dijangkiti dengan virus yang sama, tetapi virus tersebut sudah immune dengan vaksin dalam badan.

    • Waalaikumsalam.

      Em soalan ini rumit sebenarnya, kerana banyak perkara asas yang perlu diketahui terlebih dahulu, seperti bagaimana sistem imun badan berfungsi, bagaimana vaksin berfungsi dan apa penyakit yang boleh divaksinkan.

      Secara ringkasnya, vaksin itu tujuannya untuk mengstimulasikan badan untuk menghasilkan antibodi. Antibodi ini bersifat spesifik kepada mikroorganisma tertentu. Ada yang bersifat species-specific, ada yang bersifat strain-specific dsb.

      Ambil contoh, influenza, vaksin bagi influenza adalah vaksin strain-spesifik. Justeru meskipun seseorang itu telah divaksinasi against H1N1, dia masih berisiko terdedah kepada strain lain, H5N1 contohnya.

      Begitu juga, seperti yang saya sebutkan, vaksin itu bertujuan untuk mengstimulasi tubuh badan menghasilkan antibodi. Ada yang boleh menghasilkan antibodi sepanjang hayat (lifelong immunity), dan ada hanya untuk tempoh tertentu sahaja. Kebanyakan vaksin yang disenaraikan dalam Program Imunisasi Nasional adalah vaksin yang boleh menghasilkan antibodi sepanjang hayat terhadap penyakit-penyakitnya.

      Juga perlu dijelaskan, bahawa vaksin bukanlah menjamin 100% mencegah jangkitan terhadap sesuatu penyakit, sebaliknya ia hanyalah mengurangkan kemungkinan berlakunya komplikasi yang buruk akibat penyakit tersebut.

      Wallahua’lam.

  3. Pingback: berkenaan rumor VAKSIN » Travelog Panglima

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s