Of Valentine, Maulidurrasul and Cinta Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pertama-tama sekalinya, saya memohon maaf kerana membiarkan Leokid’s Life tergantung begitu lama. Huhu. Kesibukan di tahun-tahun akhir pengajian mungkin hanya alasan cliche, namun tidak saya menafikan bahawa kepenatan mental yang bukan sahaja disebabkan pengajian tetapi juga disebabkan terlalu asyik berkerut dahi melihat fenomena-fenomena yang menimpa masyarakat Islam, sama ada baik mahupun buruk.

Namun biarlah saya menyelitkan di sini sebuah artikel, sebagai pengisi kekosongan blog ini.

Isu Global : Kejatuhan Rejim Zalim Hosni Mubarak di Mesir

Kejayaan Revolusi Mesir 2011 (Gambar dari FB Ustaz Hasrizal)

Saat ini, tatkala para remaja dan pemuda di Mesir melaung-laungkan kejayaan  reformasi menuntut penurunan presiden zalimnya Hosni Mubarak, namun remaja dan pemuda Malaysia nampaknya kurang terkesan dengan semangat tersebut. Tentulah bukan semuanya, namun selaku satu isu global yang melibatkan umat Islam khususnya, hati kecil saya agak terusik jugalah dengan fenomena Aku Tidak Pedulisma yang melanda ramai daripada kalangan kita ini.

Seperti sebuah contoh yang Ustaz Hasrizal berikan, saya olah semula : “Ah, perkara itu berlaku di Mesir, bukannya di Malaysia.” Dan jikalau berlaku di Malaysia sekalipun, “ah itu hanya melibatkan Kuala Lumpur, bukannya rumahku Kedah“. Dan sekiranya melibatkan Kedah sekalipun, “ah itu hanya melibatkan Alor Setar, aku di Sungai Petani“. Dan begitulah sehinggalah alasan yang dikemukakan, “ah itu hanya melibatkan rumah sebelah, bukannya rumah aku“. Benarlah bahaya virus Aku Tidak Pedulisma, mungkin ubatnya hanyalah sekiranya perkara tersebut kena tepat ke atas hidung kita!

Sesungguhnya fenomena ini telahpun diberi “hint” oleh Rasulullah ratusan tahun lampau, tatkala baginda s.a.w bersabda:

Siapa yang tidak peduli (ihtimam) terhadap urusan umat Islam, maka ia bukan golongan mereka” (HR Tabrani)

Sungguh menggerunkan sabda Rasulullah ini, menunjukkan bahawa orang yang tidak cakna mengenai perkara yang melibatkan umat Islam, maka sesungguhnya dia tidak tergolong dalam kalangan umat Islam ini. Namun saya optimis, saya percaya ramai yang mengetahui dan prihatin, cuma tidak mempamerkan atau menunjukkannya sahaja.

Panjang tak intro? Hehe. Kes lama tidak menulis.

Isu Setempat : Valentine dan Maulidurrasul

Namun tidak seperti kebanyakan rakan-rakan kita di Malaysia, tumpuan kita masih diberikan terhadap isu lain yang lebih bersifat local (tempatan). Tentulah jika di Malaysia kita sekarang ini, isu Hari Kekasih (Valentine’s Day) dan isu maulid Nabi menjadi bualan.

Tambahan pula apabila ditakdirkan Allah, kedua-dua hari tersebut saling bersebelahan. Tepat sehari selepas Valentine’s Day disambut pada 14 Februari, sambutan Maulidur Rasul pula menyusul pada 15 Februarinya.

Tinggalkan sekejap isu polemik yang timbul mengaitkan kedua-dua hari ini. Benarkah asal-usul Valentine’s Day daripada agama Kristian? Bid’ah ke sambutan Maulidur Rasul ini? Sungguhpun inshaAllah boleh mengulas mengenai persoalan-persoalan ini, saya tinggalkannya kepada ustaz-ustaz dan penghujah-penghujah lain.

As for pendirian saya, kedua-duanya tidak ada apa-apa bagi saya. Saya tidak menyambut Valentine’s Day, dan tidak juga menyambut MaulidurRasul (sebagaimana ia disambut masyarakat kita iaitu dengan perarakan dan sebagainya). Dalam masa yang sama juga, saya menyambut “valentine’s day” dalam konsep umumnya hari berkasih sayang setiap hari tanpa dikhususkan kepada hari-hari tertentu atau nama-nama tertentu atau kaifiat-kaifiat tertentu, dan saya juga menyambut “maulidurrasul” dalam konsep umumnya mengenang perjuangan dan pengorbanan Rasulullah s.a.w setiap hari tanpa dikhususkan kepada hari-hari tertentu atau nama-nama tertentu atau kaifiat-kaifiat tertentu melainkan yang dinyatakan secara sahih melalui alQuran dan Hadis.

Kaifiat-kaifiat tertentu melainkan yang dinyatakan secara sahih melalui alQuran dan Hadis“. Saya terhenti sejenak apabila menulis ayat ini, kerana ia mengingatkan saya kepada satu firman Allah. Biarlah saya jadikan firman Allah tersebut sebagai isi utama artikel ini.

Firman Allah yang satu ini, bagi saya cukup unik dan universal. Kerana ia padan dengan kedua-dua fenomena Valentine’s Day dan MaulidurRasul. Subhanallah, betapa saya terkagum, apabila dengan hanya satu firman mampu mengupas kedua-dua fenomena tersebut. Benarlah alQuran itu sesuai pada semua zaman dalam semua keadaan.

Ayat yang saya maksudkan tersebut adalah daripada Surah Ali-Imran, ayat 31 yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali-‘Imran, ayat 31)

Perkataan yang Allah gunakan adalah “hubb”, suatu perkataan yang cukup indah. Dalam Bahasa Arab, ada banyak perkataan yang boleh diertikan sebagai cinta atau kasih sayang. Mungkin boleh digunakan perkataan “al-ishq” yang membawa konotasi cinta asmara yang melampau, tercela, bernafsu (Ibnu Taymiyah, Majmu’ Al-Fatwa 10/81). Mungkin juga boleh digunakan perkataan “mawaddah” atau “rahmah” sebagaimana yang Allah gunakan dalam Surah Rum ayat 21. Mungkin juga cinta teragung sebagaimana cinta Allah kepada Nabi Ibrahim yang diungkapkan dengan perkataan “khullah” (khaleel).

Sebagaimana dalam Bahasa Melayu kita ada banyak perkataan seperti kasih, suka, minat, sayang, cinta, rindu dan sebagainya. Juga pelbagai konteks seperti cinta ibu kepada anak-anaknya, cinta antara suami-isteri dan sebagainya.

Namun Allah memilih perkataan “hubb” dalam ayat ini. Hubb iaitu cinta yang mendorong manusia melakukan sesuatu. Hubb yang menyebabkan orang musyriqin menyembah selain daripada Allah (Baqarah 2:165), hubb yang membuatkan manusia tidak mahu berjihad di jalan Allah (Taubah 9:24), hubb yang mendorong para Ansar mengorbankan apa jua yang mereka ada demi para Muhajirin (Hasyr 59:9). Hubb inilah yang Allah gunakan dalam surah Ali-Imran ayat 31, iaitu kasih sayang dan cinta yang berkait rapat dengan perbuatan. Kasih sayang dan cinta yang praktikal, yang membawa kepada manifestasinya ia.

Dalam Islam, perasaan cinta dan kasih sayang itu sesuatu yang suci dan murni, sesuatu yang neutral dan natural. Sebaliknya perbuatan yang menyusuli perasaan cinta dan kasih sayang itulah yang dinilai disisi Islam. Perbuatan yang dilakukan itulah yang menentukan letak duduknya kewajaran perasaan cinta dan kasih sayang tersebut, sama ada cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, mahupun cinta sesama manusia.

Mengaitkan dengan Valentine’s Day, saya beranggapan sambutan Valentine’s Day sangat berkait rapat dengan istilah hubb ini. Tidak kiralah dari mana sekalipun asal usul Valentine’s Day tersebut, ia adalah hari untuk memanifestasikan kasih sayang dan cinta sesama manusia. Ia adalah hari untuk melakukan sesuatu yang istimewa, ia adalah hari untuk meraikan cinta yang praktikal, cinta yang hubb.

Namun hubb itu tidak boleh menandingi hubb kepada Allah. Allah menyebut dengan jelas dalam surah al-Baqarah ayat 165,

“Ada juga diantara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah, sedangkan orang-orang beriman itu lebih cinta kepada Allah”

Ibnu Kathir menyebut bahawa dalam ayat ini menceritakan mengenai kaum musyrikin yang sesungguhnya turut mencintai Allah, namun dalam masa yang sama mencintai perkara-perkara lain selain daripada Allah. Namun Allah menegaskan, bahawa orang beriman itu lebih cinta kepada Allah.

In these Ayat, Allah mentions the condition of the polytheists in this life and their destination in the Hereafter. They appointed equals and rivals with Allah, worshipping them along with Allah and loving them, just as they love Allah. However, Allah is the only deity worthy of worship, Who has neither rival nor opponent nor partner

Begitulah juga dalam Valentine’s Day. Setinggi mana sekalipun hubb yang kita berhasrat untuk raikan, sama ada suami isteri yang berhasrat meraikan Valentine’s Day dengan makan malam istimewa, atau hubb antara pasangan yang telah bersama lebih 10 tahun, sehinggalah serendah-rendah hubb hina yang membawa kepada maksiat dan zina : Kesemuanya hendaklah tidak melebihi hubb kepada Allah. Kerana sesungguhnya orang beriman itu lebih cinta kepada Allah.

Dengan memahami asas ini sahaja, kita sudah tidak perlu lagi keliru dan pening-pening dengan persoalan-persoalan yang timbul mengenai Valentine’s Day. Adakah sejarahnya dari sisi Islam? Ada atau tiada, tetap tidak mengubah hakikat dan prioriti hubb Allah tersebut. Boleh tak menyambutnya? Boleh atau tidak boleh, tidak sepatutnya mengubah hubb kita terhadap Allah. Rasa kasih sayang dan cinta kita kepada Allah sepatutnya menaungi (govern) rasa cinta sesama manusia yang kita ada.

Tentulah apabila memahami bahawa rasa cinta sesama manusia itu dinaungi rasa cinta kepada Allah, maka kita juga faham bahawa ianya universal, tidak terikat oleh masa, ketika dan tempat. Tidak perlu kepada hari-hari tertentu, kerana cinta kepada Allah juga tidak terikat pada hari-hari tertentu. Rasa cinta itu tidak terhad hanya di pusat membeli belah atau di pawagam atau di taman-taman bunga, sebaliknya ia menyeluruh. Caranya? Ya, sebagaimana hubb Allah itu ada spesifik caranya, maka rasa cinta sesama manusia itu mestilah turut dinaungi caranya dengan rasa cinta terhadap Allah.

Maka apa kaifiat (cara) nya? Itulah yang Allah maksudkan dalam ayat 31 surah Ali-Imran yang saya bawakan awal-awal tersebut. “Jika benar kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku (Muhammad).”

Kita disuruh mengikuti sunnah Rasulullah, untuk memanifestasikan rasa cinta terhadap Allah. Maka begitulah juga, dalam memanifestasikan rasa cinta sesama manusia, mestilah harus mengikut panduan dan tatacara yang telah digariskan oleh Rasulullah. Itu asas yang kita perlu terapkan dan fahami.

Justeru, kita menolak Valentine’s Day, kerana ia merupakan cara memanifestasi rasa cinta yang tidak berasal dari Rasulullah. Biarpun yang menyambutnya itu pasangan sudah berkahwin yang halal perhubungannya, namun asas Valentine’s Day itu sesuatu yang di luar agama Islam. Kita menolak pengkhususannya pada hari tertentu, kerana kita faham cinta dalam Islam itu tidak terhad kepada tempat dan masa. Kita menolak pengkhususan perlaksanaannya dengan dimestikan bunga dan cokelat dan kad “From Your Valentine” kerana cara kaifiat tersebut tidak, tidak ditinggalkan Muhammad s.a.w. Tentulah tidak salah memberi hadiah, namun apabila dikaitkan dengan Valentine’s Day maka secara automatik sudah lari dari tujuan Islamnya.

Valentine? Think again!

Valentine? Think again!

 

Tentulah, apatah lagi jika Valentine’s Day itu disambut dengan kemungkaran (keluar berdating, atau bercumbu di luar nikah dan zina dsb). Malahan dalam situasi masyarakat kini, itulah konotasinya apabile disebut mengenai Valentine’s Day. Masih terngiang dan merah padam muka saya, terkenangkan slogan “No Panties Day” yang dilaungkan para pendokong Valentine’s Day tahun lepas. Kemungkaran-kemungkaran ini sedia tertolak disisi Islam. Dalam keadaan sebegini, sungguhpun menyambut Valentine’s Day dengan niat yang baik dan cara yang baik sekalipun, ia tetap dilarang kerana ia dikaitkan dengan kemungkaran dan menyambutnya walaupun dengan cara dan niat yang baik, tetap juga dianggap mempromosi kemungkaran.

Hal yang sama diberi contoh oleh Rasulullah, iaitu larangan Rasulullah kepada alatan muzik yang menjadi identiti dan dikaitkan dengan golongan homoseksual atau peminum arak (Rujuk Al-Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, vol2, pg 271-272). Sedangkan, Rasulullah juga mengizinkan muzik yang didendangkan ketika hari raya dan majlis-majlis perkahwinan. Begitu juga, terdapat hadith menunjukkan Rasulullah melarang lelaki memakai pakaian berwarna kuning (kuning oren sebagaimana yang dicelup dengan bahan zhafran), sedangkan dalam masa yang sama terdapat juga hadith menunjukkan bolehnya memakai pakaian berwarna kuning. Ini kerana pakaian berwarna kuning oren tersebut merupakan warna yang menjadi identiti dan dipakai ketika penyembahan oleh para kafir, sepertinya para tok sami di zaman sekarang ini lah.

Pengkhususan larangan-larangan ini menunjukkan bahawa hatta sesuatu yang dibolehkan sekalipun, berubah hukumnya apabila dikaitkan dan menjadi identiti sesuatu yang lain yang terpesong dari ajaran Islam. Begitulah juga Valentine’s Day, dan meskipun ia diisi dan disambut dengan perkara-perkara yang dibolehkan dalam syariat (antara suami isteri dsb), ia tetap merupakan identiti kepada kemungkaran dan kemaksiatan.

Allah menyebut dalam Surah Maidah 5 ayat 2,

“dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”

Allah bukan sekadar melarang melakukan dosa, malah disebut secara khusus bahawa “tolong-menolong pada melakukan dosa” juga dilarang!

Ah, saya tidak pun berhasrat untuk mengupas mengenai Valentine’s Day, namun dalam sedar tak sedar terkupas juga serba sedikit! =p

Cinta Allah?

Yang menarik perhatian saya berkenaan ayat ini adalah, pada permulaannya. Allah tidak menyebut secara statement umum, “ikutilah Rasul maka terbuktilah kamu mencintai Allah”.

Sebaliknya yang Allah sebutkan dalam ayat ini, “in kuntum tuhibbuuna Allah”, jika benar kamu mencintai Allah. Ia seakan satu soalan retorik. Ibnu Kathir menyebutkan dalam tafsirnya, bahawa Hassan Al-Basri dan beberapa ulama’ salaf menyebut berkenaan ayat ini, “Sesetengah orang mendakwa mereka mencintai Allah, maka Allah menguji mereka dengan ayat ini”.

(Say (O Muhammad to mankind): “If you (really) love Allah, then follow me, Allah will love you…”) meaning, what you will earn is much more than what you sought in loving Him, for Allah will love you. Al-Hasan Al-Basri and several scholars among the Salaf commented, “Some people claimed that they love Allah. So Allah tested them with this Ayah;

Saya banyak menemui, para remaja dan pemuda pemudi seperti saya yang cukup terkesan dengan frasa “Aku cintakan Allah.” Di sana sini mereka menjadikannya slogan. Tentulah tidak salah, malah inshaAllah mungkin menjadi satu doa buat diri sendiri. Namun saya sendiri secara peribadi, gementar untuk menyebutkan “Aku cintakan Allah”, kerana memikirkan “Sudah berapa banyak sunnah Rasulullah yang aku amalkan?”

Saya gementar dan takut bahawa saya termasuk dalam golongan yang ditujukan dalam ayat rhetoric oleh Allah ini. Astaghfirullah! Adakah saya hanya bermanisan pada bicara namun tindak tanduk saya tidak mengiyakannya?

Saya terkenang dan terpukul oleh rangkap rap rakan saya Edry Al-Faisal dalam nasyid Bukti Cinta dendangan bersama Mirwana;

Kau boleh susun kata cinta seindah Rumi
Kau boleh gambarkan dengan kata seluas bumi
Tapi hakikat terlihat tak hanya ucapan dan ungkapan
Jika zahir tak menunjuk jalan
Amalan yang jadi bukti cinta sejati
Bukan cuma ayat manis atau coret puisi
Tapi hati terisi iman tak belah bagi
Menjelma jadi perjuangan tak kenal berhenti
Akhlak menjadi cermin
Tuhan sentiasa hadir
Bukan sekadar ratib cinta hiasi bibir
Diselak tabir jiwa
Wajahnya pada tindakan
Serlahkan rupa cinta
Bukan palsu solekan

Walaupun lirik ini mengenai cinta kita terhadap Palestin, ia merupakan satu teguran kepada orang yang mudah mengatakan “Aku cinta Palestin” namun dalam masa yang sama berpeluk tubuh. Saya sendiri mengakui diri sendiri sebagai pendamba Palestin, namun sudahkah saya tunjukkannya melalui perbuatan?

Cinta Dan Panduannya

Allah faham benar dengan sikap hubb sebagai satu pengaruh yang kuat ke atas manusia. Kerana cinta, manusia lakukan apa sahaja. Ayat tersebut, difahami sebagai satu panduan kepada kita. Bahawa even dalam mencintai Allah, ada caranya dan tatatertibnya.

Kerana itu dalam mengomentar ayat ini, Ibnu Kathir turut menyertakan hadis

“Siapa yang melakukan suatu perbuatan (ibadah) yang bukan urusan (agama) kami, maka dia tertolak.” (HR Muslim)

Menunjukkan bahawa mencintai Allah itu dimanifestasikan dengan sunnah. Jika ianya tidak dibataskan, tidak mustahil sahaja ada orang menambah-nambah bilangan rakaat dalam solat fardhu. Jika ianya tidak dibataskan, maka wujudlah pelbagai jenis solat sunat yang direka-reka dengan tanggapan “Allah tentu akan suka”. Lahirlah zikir-zikir tertentu yang tidak mempunyai sumber dari sunnah, namun diberikan fadhilat-fadhilat khusus atas iktikad kononnya ianya lambang cintakan Allah.

Walhal, Allah menyebut dengan jelas dalam ayat tersebut, tanda cintakan Allah adalah dengan menuruti Sunnah Rasulullah. Bukannya merekacipta amalan-amalan sendiri dan disebarkan pula kepada orang lain, nauzubillah!

Ibnu Kathir menyebut juga mengenai ayat tersebut,

“Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwanya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hak ehwalnya seperti yang pasti dalam Sahih al-Bukhari daripada RasululLah s.a.w: Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka dia ditolak” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/366, Beirut: Dar al-Ma’rifah)

Banyak hadis-hadis Rasulullah melarang sikap memandai-mandai dan ekstrim dalam melaksanakan tuntutan agama. Kisah 3 orang pemuda yang enggan tidur malam, enggan berkahwin dan enggan membuka puasa, ditempelak oleh Rasulullah. Rasulullah juga pernah menegur Muadz yang memilih bacaan surah al-Baqarah ketika solat berjemaah sehingga menyusahkan jemaah yang lain. “Permudahkanlah, jangan susahkan. Gembirakanlah, jangan menakut-nakutkan.”

Perarakan MaulidurRasul : Lambang "Cinta" kepada Rasul? (Sumber Gambar: DrMaza.com )

Apa kaitannya dengan maulidurrasul? Saya tidak berhasrat mengulas panjang mengenai isu ini. Ramai yang menyatakan bahawa ianya sambutan untuk menunjukkan rasa kasih dan cinta kita kepada Rasulullah. Namun benarkah itu caranya? Adakah memegang sepanduk dan berarak di sekeliling taman perumahan sehingga mengganggu kenderaan lalu-lalang itu yang dikatakan sebagai manifestasi rasa kasih dan cinta kita kepada Rasulullah? Adakah cinta kita kepada Rasul hanya membara pada tarikh 12 RabiulAwwal yang belum tentu kesahihan lahirnya baginda padanya sahaja?

Sedangkan Umar al-Khattab sendiri cukup prihatin dengan perkara ini dengan menolak untuk membesar-besarkan tarikh kelahiran Nabi kerana khuatir ianya meniru golongan Kristian yang membesar-besarkan kelahiran Jesus Christ:

Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga.

Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan generasi kemudian menyeleweng” (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan).

Saya tinggalkan persoalan boleh tak boleh dari segi hukum kepada para ustaz untuk mengupasnya. Namun kita masing-masing boleh berfikir cara terbaik dan sepatutnya untuk memanifestasikan rasa cinta kita terhadap Rasulullah, iaitu dengan cara yang menepati Sunnah.

Manifestasi Cinta

Inilah konklusi saya ke atas artikel yang panjang lebar ini. Valentine’s Day dan Maulidur Rasul merupakan hari memanifestasi cinta dan kasih sayang. Valentine’s Day sebagai hari kasih sayang antara pasangan, manakala Maulidur Rasul sebagai hari kasih sayang kepada Rasulullah s.a.w.

Kedua-dua sambutan ini, berasal dari sifat cinta. Sifat yang kudus. Maka peliharalah kesucian cinta tersebut.

Ketiga-tiga jenis cinta, ada panduannya. Cinta kepada Allah, ada caranya. Cinta kepada Rasulullah, ada caranya. Cinta kepada pasangan masing-masing, ada caranya.

Jadikanlah cinta kepada Allah sebagai paksi cinta kita, dan manifestasikanlah ia dengan amalan-amalan berdasarkan AlQuran dan Sunnah. Jangan cemarkan kesucian kasih sayang anda kepada Rasulullah dengan perbuatan yang sia-sia. Jangan cemarkan kesucian cinta anda kepada pasangan anda dengan melakukan sesuatu yang melanggar syariat Islam.

Buktikanlah cinta kita kepada Allah dengan mendalami serta mengikuti Sunnah RasulNya!

Sedangkan cinta pada Allah ada panduannya.
Sedangkan cinta sesama manusia juga mesti ada panduannya.
Maka memanifestasikan cinta kepada Rasulullah juga ada panduannya.
Tolaklah panduan cinta yang bukan berasal dari agama kita.
Tolaklah panduan cinta yang direka-reka sendiri.
Raikanlah cinta sepanjang masa dalam hayat kita.

Sesungguhnya, bagi Muslim itu, setiap hari adalah “Valentine’s Day” dan setiap hari adalah “Maulidur Rasul”!

4 thoughts on “Of Valentine, Maulidurrasul and Cinta Allah

  1. alhamdulillah. Kupasan yang menarik.

    Memang menjadi satu cabaran apabila kita mengaku cintakan seseorang, apatah lagi untuk mengatakan cintakan Allah dan Nabi SAW.

    Tetapi itu bukan alasan untuk kita ‘mengelak’ cinta sebegini, apatah lagi apabila beralasan macam “tak cukup alim” atau “nanti tua-tua aku buatlah”.. haih, macam isu tudung , tunggu sampai “seru” baru nak pakai.

    Kalau bernasib baik dan hidayah mengetuk, alhamdulillah.

    Kalau bernasib buruk dan mati terkutuk? Na’udzubillah.

    Betullah bercinta itu punya panduan, tinggal kesudian kita je untuk menurut.

    Syukran akh :)

  2. Ayat last paling mahal…setiap hari adalah valentine’s day, dan setiap hari adalah maulidur rasul…=]

    Btw ada satu soalan:
    Setelah panjang lebar sy mengulas kpd seorang non muslim mengapa umat Islam tidak menyambut Valentine’s day, dia bertanya mengapa tidak ada hari khusus yg istimewa dalam agama Islam yg menzahirkan perasaan kasih syg sesama couple yg berkahwin, maksudnya mereka secara beramai2 meraikannya bersama2…dan jawapan ringkas yg diberikan: kalau dah beramai2, tak jadi istimewa dah! hehe..ke leokid ada jwpn lain yg lebih bernas? jzkk in advance! =]

    • Oh, jawapan ringkas – kerana setiap hari adalah hari istimewa~!
      Hehe.

      Adapun kalau jawapan yang lebih detail, mungkin boleh dikatakan kerana itu bukan fokus Islam dalam rumahtangga. Didalam Islam, fokus rumahtangga adalah pembangunan diri dan anak-anak ke arah pembentukan Muslim yang kukuh agamanya dan bersahsiah terpuji. Kita boleh nak adakan sambutan2 tersebut, namun itu bukan fokus utama kita. Ada banyak perkara lain yang lebih penting.

      Pun begitu, Islam tidaklah melarang kita meraikan majlis2 tertentu seperti ulangtahun perkahwinan dan sebagainya. Tak salah je kalau ada special tarikh untuk pasangan tersebut raikan bersama. Celebration ini tidaklah salah (selagi dalam kerangka syariat), namun kita sendiri kena ingat bahawa celebration itu bukanlah the main thing, bukan benda yang penting pun.

      Wallahua’lam. Maklumla, saya ni sekadar berteori, praktikal nya belum lagi =p

  3. sungguh setuju!!!

    tapi panjangnya… =)
    info yang baik…
    mengingati Rasulullah bukan pada maulidur rasul sahaja tetapi harus dipraktikan segala sunnah dan cara hidupnya dalam kehidupan…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s