Terjumpa link ke sebuah aplikasi web, “This Is My Story“, daripada rakanku Yussamir di Facebook beliau. Amat menarik link tersebut.

Lantas saya kunjungi laman web itu, muat naik gambar sendiri, dan hasilnya video yang sama dengan saya sebagai subjeknya. Dari segi teknikal, itu hanyalah “trick” biasa sahaja yang dihasilkan menggunakan perisian Flash. Sungguhpun sudah berkurun lamanya meninggalkan arena multimedia ini, saya dapat fahami lah konsep bagaimana video tersebut hasilkan.

Tetapi yang paling saya kagumi, adalah bagaimana pembina laman web tersebut, English First, iaitu sebuah syarikat latihan Bahasa Inggeris menterjemahkan idea dan konsep tersebut kepada sesuatu yang cukup mengkagumkan serta menimbulkan motivasi dalam diri setiap orang.

Siapa yang tidak berbangga dan berasa seronok apabila melihat wajah sendiri dalam video tersebut, menggambarkan diri masing-masing di ambang kejayaan yang cukup gilang gemilang. Video tersebut menyuntik motivasi dalam diri sendiri, meningkatkan self-esteem serta mengembalikan semangat dalam diri setiap daripada kita yang menontonnya.

Begin With The End In Mind

Konsep inilah yang dinyatakan oleh pakar motivasi terkenal merangkap penulis best seller 7 Habits of Highly Effective People, Stephen Covey, sebagai satu bab nya yang terkenal iaitu “Begin With The End In Mind”.

Konsep ini mengajar kita untuk memvisualisasikan apakah bentuk hasil sesuatu yang kita mahukan. Membayangkan “the end” sebelum kita mengorak langkah, menjadikan langkah kita lebih teratur dan tetap di atas landasannya.

Setiap kita ada “the end in mind” masing-masing. Tambah-tambah adik-adik yang baru mengambil keputusan SPM 2010 baru-baru ini. Masing-masing mempunyai cita-cita, ada yang ingin menyambung pelajaran ke luar negara, ada yang ingin bergelar doktor, ada yang ingin bergelar profesor.

Setiap “end in mind” telah terbina didalam diri kita, dan cara yang tepat mencapai cita-cita tersebut adalah dengan membetulkan dan memposisikan sikap dan perbuatan kita ke arah mencapai “end in mind” tersebut.

Contohnya, jika ingin menjadi seorang doktor yang pemurah. Maka apabila dalam minda kita, kita memvisualisasikan diri kita sebagai doktor yang pemurah – Dr. Mohd Syamirulah bin Rahim, M.D. (Russia) – maka kita boleh tahu bagaimana memupuk sikap pemurah dalam diri kita tersebut ke arah mencapai apa “end in mind” yang kita ingini.

Jom masing-masing cuba. Bayangkan, siapakah diri anda, 5 tahun akan datang. Mungkin anda membayangkan diri anda seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti terkemuka, sedang pulun dan tekun mengulangkaji untuk peperiksaan akhir. Mungkin ada yang membayangkan, dirinya seorang suami atau isteri yang soleh/ah, ditemani pasangan yang kacak-jelita dan anak-anak yang comel. Mungkin ada yang membayangkan, dirinya di tengah makmal sedang menjalankan kajian dalam bidang kejuruteraan makmal yang menjadi cita-citanya.

Saya percaya, tiada yang membayangkan dirinya seorang loser. Maksud saya, tiada yang berharap agar dirinya menjadi orang yang “biasa-biasa” sahaja. Apatah lagi membayangkan diri sendiri di ambang kegagalan, menjadi penganggur pemalas menghisap rokok menghabiskan boreh di rumah.

Sesiapa pun boleh berjaya. Berjaya bukanlah suatu anugerah Allah kepada insan-insan tertentu, sebaliknya ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja yang berusaha ke arahnya.

“Begin With The End In Mind” cara Rasul

Konsep memvisualisasikan masa depan inilah yang pernah dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya.

“Lataftahanna al-Qustantiniyya wa lani’ma al-amiru amiruha wa lani’ma al-jayshu dhalika al-jaysh.”

Saat itu, umat Islam di Madinah sedang dikepung. Rata-rata sahabat sudahpun keletihan. Mereka berlindung di sebalik khandaq, idea perang yang dicetuskan oleh Salman Al-Farisi.

Sesiapa jua dalam keadaan sedemikian, pasti merasakan motivasinya sangat rendah. Semangat yang kian luntur, dibaham kepenatan dan dicengkam kepanasan terik mentari. Rasulullah tahu, baginda juga dalam keadaan sedemikian. Namun sabda baginda di tengah keadaan yang genting tersebut, benar-benar di luar jangkaan para sahabatnya:

“Verily you shall conquer Constantinople. What a wonderful leader will her leader be, and what a wonderful army will that army be!”

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam At-Tarikh al-Kabir.

Begitulah agaknya perasaan saya ketika menonton video di atas. “Ah, berangan sajalah, nak jadi wakil UN konon, selamatkan ikan paus la blablabla.” Mungkin itulah perasaan yang sama dikongsi oleh para sahabat Rasulullah s.a.w tatkala mendengan sabda baginda tersebut.

“Masakan mungkin kita menakluk Konstantinople. Bandar terbesar di dunia, dikuasai oleh tamadun Rom tersebut!”

Rasulullah s.a.w bersabda, meskipun ilhamnya wahyu, namun pengaruh psikologi yang dibawanya tetap mematuhi sunnatullah pemikiran manusia di muka bumi ini. “Angan-angan” tersebut tercapai, oleh tokoh yang dikenali ramai, Sultan Muhammad al-Fateh. Konstantinople akhirnya menjadi milik Islam, beberapa ratus tahun kemudian.

Inilah bentuk “end in mind” yang diceritakan oleh Stephen Covey, dan telahpun dipraktikkan oleh junjungan besar Rasulullah s.a.w ratusan tahun sebelumnya. Dan saya terharu apabila English First mengambil konsep yang sama, melahirkan “end in mind” menerusi aplikasi video yang disediakan olehnya itu kepada kita semua.

Mungkin saya tidaklah menjadi jurucakap UN seperti dalam video tersebut. Mungkin juga tidaklah saya menjadi penyelamat ikan paus (meskipun saya sangat sayangkan haiwan berkenaan!).

Tetapi melihat kepada video tersebut, saya menjadi kagum, kerana ianya tidak mustahil. Bagaikan melihat mimpi sendiri. Ya, saya dikurniakan Allah dengan kudrat yang sama Allah kurniakan kepada Muhammad Al-Fateh, kepada Mahatma Ghandi, kepada Einstein, kepada Ar-Razi. Mempunyai dua tangan dan dua kaki dan deria yang cukup dan seketul otak seberat linkungan sekilo setengah.

Kenapa mustahil pula untuk saya mencapai kejayaan, sama seperti yang dicapai oleh tokoh-tokoh berkenaan?

Mungkin orang akan menganggap ini satu angan-angan. Tetapi dalam diam, saya berhasrat untuk menjadi anak Melayu, Malaysia pertama yang menjulang Hadiah Nobel. Ya, mungkin sekadar angan-angan.

Tetapi jika itulah “end in mind” yang saya tanamkan dalam minda saya, maka seharusnya saya bergerak ke arah mencapainya, bermula dari sekarang!

Video tersebut mungkin secara teknikalnya hanyalah komposisi klip yang dijana secara automatik oleh beberapa baris skrip pengaturcaraan.

Tetapi mesej video tersebut, itulah yang benar-benar membakar semangat dan motivasi yang diperlukan! Semoga Allah mempermudahkan jalan ini, inshaAllah! =)

Percaya, dan berjaya!



One response to “The End In Mind”

  1. […] saya dedikasikan artikel terbaru saya, “The End In Mind” kepada adik-adik lepasan SPM […]

Leave a comment

Create a website or blog at WordPress.com