SaffMuslim – Apabila Para Muslimin Itu, Teratur Rapat Ukhwahnya Bagai Satu Saff

Post ini adalah post peribadi penulis, dan disiarkan di blog peribadi penulis, dan hanya menggambarkan pandangan, pendirian dan pendapat penulis semata-mata.

Assalamualaikum.

Pengalaman berforum saya di laman-laman web online, sudah agak lama. Masih teringat lagi, antara laman forum terawal saya termasuklah di Jiwang.org. Sejak sekolah menengah, saya kira.

Saya seronok berada di forum tersebut, kerana latarbelakangnya yang terbuka. Pelbagai jenis manusia ada di situ. Ada yang berlatarbelakangkan hebat-hebat, ada yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, seperti saya ketika itu.

Malahan, di laman tersebut jugalah, saya berkenalan dengan rakan saya Edry Faisal dan Yussamir, yang kebetulan menjadi moderator ruangan agama di sana. Mereka jualah yang memperkenalkan saya dengan gerakan tajdid. Saya terhutang budi kepada mereka.

Saat-saat awal berforum di sini, tentulah, biasa dimaki dan dimarahi. Maklumlah, orang baru. Melanggar peraturan sana sini, membuat posting yang tidak bernilai (spam) dsb. Saya ingat lagi, saya pernah merajuk seminggu kerana di-warning akibat meletakkan signature yang melebihi saiz yang dibenarkan. Hehe. Ya, forum di sana memang tegas, namun ketegasan itulah yang membuatkan semua pengguna bersosial dan berukhwah dalam keadaan selesa.

Pengalaman berforum saya, saya semadikan didalam sebuah post khas di Leokid’s Life – Jom Berforum!

Namun lama kelamaan, saya dihurung kesibukan terutamanya apabila mula berangkat ke Bumi Salji ini. Sedikit demi sedikit saya tinggalkan, dan terakhir saya mendapat tahu, forum itu telahpun ditutup. Walaupun khabarnya ianya telah dibuka semula, namun saya sudah jarang-jarang melawat laman Jiwang lagi.

Lebih tiga tahun lepas, saya mula menjadi pembaca senyap bagi sebuah laman web yang disasarkan khusus kepada pelayar Muslim, iaitu ILuvIslam. Ketika itu, laman web mereka masih lagi laman kecil-kecilan, yang rata-rata penggunanya terdiri daripada para pelajar yang menuntut di luar negara. Ini kerana laman web tersebut merupakan medium yang cukup efisien bagi kami saling bertukar berita dan cerita, tidak kurang juga menjadi medan berdiskusi terutamanya melibatkan hukum-hakam agama yang berbeza suasananya dengan tanah air.

(Video Pengenalan ILuvIslam Yang Saya Hasilkan)
Setelah lama menjadi pembaca senyap, saya pun mendaftarkan diri di laman tersebut. Dan berbekalkan pengalaman berforum sebelum ini, saya membawa diri di ILuvIslam sebagai seorang user biasa. Tiada berniat mahu mengejar posting, apatah lagi mengejar jawatan moderator dan sebagainya. Saya cuma mahu bersosial, berukhwah, berkenalan dengan semua orang dan bertukar fikiran dengan semua orang.

Alhamdulillah, tiga tahun membawa diri, pelbagai suka duka ditempuhi. ILuvIslam bertukar wajah berkali-kali, bertukar barisan moderator beberapa batch. Saya sendiri diserap menjadi krew, khususnya bagi Team Resipi dan Team Medik, walaupun tidak memainkan peranan yang besar. Namun akhirnya saya meletakkan jawatan kerana kecewa dengan pihak pengurusan yang bagi saya, sudah “bertukar kiblat”.

Kekecewaan saya tersebut saya luahkan, dalam penulisan saya di sini – Resignation.

Sehinggalah apabila mereka berhijrah besar-besaran ke arus korporat, meninggalkan laman lama dan memperkenalkan konsep baru Komuniti ILuvIslam dan laman utama bercirikan berita/hub artikel iaitu ILuvIslam.com.

(“Teaser” saya demonstrasi cubaan “hack” laman Komuniti)Mungkin itu pilihan mereka, tidaklah berhak kita menyalahkan. Mungkin bagi mereka, menceburkan diri ke dalam arus korporat membolehkan mereka menjangkau lebih banyak peluang dakwah, sekaligus memaksimumkan impak dakwah yang mereka bawa.

“Kid tahu kan, Komuniti dah nak tutup?”

Soal Kak Nieza, Ketua Moderator ILuvIslam tempoh hari. Memang sedari awal sudah menjangkakan, memandangkan ada beberapa user yang seakan-akan memberi petanda-petanda awal laman Komuniti ILuvIslam akan ditutup.

Saya sengaja tidak tanya mengapa. Sejujurnya memang tak berminat nak tahu pun kenapa, kerana memang sudah lama sebelum itu pun, saya sudah tawar hati dengan kiblat baru pihak pengurusan, iaitu promosi & keuntungan. Kali ini pun, tentulah apa lagi sebabnya, kalau bukan itu.

Khabarnya komuniti akan ditutup, dan sebaliknya dibuka laman berbentuk soaljawab dengan “professional”. Saya membayangkan, akan ada sebarisan professional yang terdiri daripada para ustaz, doktor, jurutera, psikologis dsb yang akan menjawab persoalan-persoalan yang diajukan oleh para pelayar ILuvIslam.

Mungkin ianya bagus. Memudahkan para pelayar, serta membawa manfaat yang baik. Namun bagi saya, ianya satu langkah yang authoritarian. Berbentuk satu hala, iaitu saya tanya dan anda jawab.

Dimana kemanisan berukhwah, agaknya?

Saya membayangkan suasana di kaunter-kaunter perkhidmatan. Sama lah agaknya. Atau di klinik, seorang pesakit datang berjumpa doktor, mengadu kesakitannya, lantas doktor memberinya ubat dan dia pun pulang.

Laman forum dibina diatas satu kunci yang kuat. Itu yang boleh saya katakan sepanjang pengalaman saya berforum. Kunci itu adalah “SHARING”. Perkongsian.

Saya cukup merindukan suasana SHARING yang berada di laman Jiwang.org. Bayangkanlah, ada orang membawa artikel menabur pelbagai fitnah kepada genre muzik BlackMetal, rupa-rupanya ada dalam kalangan user-nya peminat Black Metal yang memperbetulkan pandangan sedemikian. Begitu juga, pengguna Black Metal yang sama, bertanyakan satu soalan agama, dan ianya dijawab oleh panel Moderator Agama. Moderator Agama itu pula, mengajukan persoalan mengenai lokasi pelancongan terbaik Pantai Timur, dan dibalas oleh pengguna Pantai Timur. Pengguna Pantai Timur itu pula, bertanyakan mengenai masalah enjin kereta beliau, lantas dijawab oleh user pembawa artikel fitnah BlackMetal diatas, yang rupa-rupanya turut merupakan seorang mekanik.

Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Itu rahsia di sebalik kunci SHARING yang terdapat didalam sebuah forum. Bukan sahaja forum di alam maya, malahan itu jualah kunci yang diperlukan didalam masyarakat.

Setiap ahli didalam masyarakat, mempunyai kepakarannya masing-masing. Kerana itu dalam masyarakat, adalah terbaik untuk kita saling bantu-membantu atas kepakaran kita. Sebagaimana dalam koloni lebah, setiap lebah ada kepakarannya, dan setiap daripada mereka menyumbang akan kepakaran tersebut.

Namun semuanya itu akan terhapus, melalui sistem “soaljawab” yang akan diperkenalkan. Kunci “SHARING” itu akan beralih, bertukar menjadi kunci “SERVICE”. Ya, inilah yang akan ditawarkan laman ILuvIslam, bukan lagi sebuah platform perkongsian seperti dahulu, sebaliknya menjadi platform perkhidmatan.

Tapi seperti yang saya katakanlah, tentulah ianya tidak salah. Seharusnya sejak organisasi tersebut berdaftar sebagai sebuah syarikat, maka kita memahami dan sepatutnya sudah menjangkai, sedikit sebanyak pengaruh kapitalisma akan meresap kedalamnya. Mungkin yang kekal adalah “for Ummah” di belakangnya. Jika sebelum ini, “SHARING for Ummah“, maka ditukarlah ia menjadi “SERVICE for Ummah”. Itu sahajalah. It’s not a bad thing, at least.

Kak Nieza mengeluh lagi. Selaku Ketua Moderator, pastilah beliau tertekan. Beliau bersama anak-anak buah moderator bekerja keras, memastikan kunci “SHARING” itu kekal dalam suasana Komuniti. Sehinggalah apabila pengumuman dari pihak atasan dibuat, “PERKHIDMATAN Komuniti ILuvIslam.com akan digantikan….”, menimbulkan tanda tanya – sejak bila kita bertukar, dari sebuah platform perkongsian, kepada sebuah platform perkhidmatan? Allah dan sesiapa yang dikehendakiNya sahaja yang mampu menjawab.

Namun sesuatu yang mungkin tidak dijangka oleh sesiapapun adalah, sudah menjadi sunnatullah SHARING itu membawa kepada pembentukan UKHWAH. Sebagainya yang disebutkan dalam mafhum hadis, seorang muslim itu menginginkan apa yang terbaik miliknya kepada saudara muslimnya. Konsep ini dinamakan didalam Islam sebagai Itsar, kemuncak ukhwah didalam Islam.

Berbekalkan ukhwah inilah, saya dirundum kesedihan. Mana pergi, para pengguna Komuniti nanti? Tidakkah mereka bertaburan membawa diri masing-masing? Habis, nak lepak kat mana nanti?

“Buat la forum baru,” ujar saya kepada Kak Nieza. Idea ditaburkan.

“Kid buat la. Akak join je.”

Walaupun punyai pengalaman membina laman web, namun saya bukan ahli programming. Tidak pernah saya mendapat pendidikan formal dalam web developing, kecuali ketika Tingkatan Tiga belajar menggunakan Microsoft Frontpage didalam kelas.

Nak buat boleh, tapi kena betulkan niat. Kita bukan nak bersaing dengan Komuniti, jauh lagi nak membalas dendam atau meluahkan kemarahan.” ujar Kak Nieza, mengingatkan.

“Bagi saya, saya sekadar ingin membuat sebuah taman. Kita bertukang kayu sediakan kerusi, kita hamparkan tikar. Sesiapa yang ingin duduk mengambil manfaat, maka duduklah ia. Orang buang sampah, kita bersihkan. Orang buat kotor, kita sapu. Itu sahaja.” ulas saya kembali.

Hati dibulatkan. InshaAllah. Saya mencadangkan syarikat hosting dan pakej hosting kepada Kak Nieza, manakala Kak Nieza pula menaruh kepercayaan kepada saya untuk membangunkan laman forum tersebut.

Nama “SaffMuslim” dipilih beliau.

Saya menggaru-garu kepala. Satu demi satu, sistem forum saya cuba. Satu demi satu, theme ditukar ganti. Yang mana paling senang untuk saya fahami. Lebih penting, yang mana paling mudah digunakan oleh para pelawat.

Sepanjang hujung minggu, saya habiskan untuk membangunkan laman web ini. Agak tergesa-gesa, kerana bermula dari bulan enam ini saya sudah perlu memulakan persediaan menghadapi peperiksaan.

Alhamdulillah, 30 May 2011, laman SaffMuslim.com dilancarkan. Saya meletakkan sepenuh usaha dan doa ke dalam laman web ini. InshaAllah, saya sedaya upaya berusaha dengan sepenuh itqan, bagi memastikan ianya platform usaha saya yang terbaik.

Not bad for a weekend’s job“, saya mengomel. Alhamdulillah.

Apa yang saya harapkan, ianya menjadi saham kepada saya. Ianya menjadi saksi kepada saya, inshaAllah. Dan yang saya dambakan, semoga kenangan saya berukhwah didalam forum, dapat relive dan disegarkan kembali melalui laman SaffMuslim ini.

Meskipun ramai yang mengunjunginya merupakan bekas pengguna-pengguna Komuniti ILuvIslam, saya berulangkali tegaskan, bahawa lupakanlah identiti lama tersebut. Kita bina identiti baru. Kita bina suasana baru.

Seperti pesanan yang saya sampaikan didalam tinta saya,

“Sesungguhnya sesiapa yang berukhwah kerana forum, maka ketahuilah forum itu telahpun ditutup dan mati. Adapun sesiapa yang berukhwah kerana Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup. Bergembiralah mereka yang berukhwah kerana Allah, sesungguhnya Allah telah berjanji dua orang yang saling berukhwah mencintai keranaNya pasti mengecapi nikmat halawatul imaan di dunia dan dijanjikan syafaatNya di akhirat kelak.”

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas usaha saya ini. Jika tidak banyak pun manfaatnya di dunia, semoga dengan usaha saya ia menjelma sebagai kebaikan yang besar buat diri saya diakhirat kelak

Wallahua’lam, wassalam.


2 thoughts on “SaffMuslim – Apabila Para Muslimin Itu, Teratur Rapat Ukhwahnya Bagai Satu Saff

  1. salam :)

    baca post nie, baru tahu pasal komuniti iluvislam nak tutup dah. baru perasan dah lama sebenarnya tak jenguk ke sana ;(.. mungkin sejak berubah wajah jugak, macam kurang suit with me kot. hehee. tp makin ramai kawan2 yang lagi suka, lagi aktif kat situ sekarang. betul laa orang ckp, setiap orang ada citarasa sndiri kan ;)
    anyway, congrats for “saffmuslim”, looking forward to join this ;D

  2. patut la…hari tu slalu pi iluvislam….tp sunyi je…nasib baik blh terjumpa saffmuslim ni…alhamdulillah…
    congrate for saffmuslim…good job:)

  3. “Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas usaha saya ini. Jika tidak banyak pun manfaatnya di dunia, semoga dengan usaha saya ia menjelma sebagai kebaikan yang besar buat diri saya diakhirat kelak.”

    ~~~as long as tak riak..smoga Allah memberkatimu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s