Aku Dan Epal

Terasa bosan pula melihat paparan dinding Facebook aku. Dihujani luahan peminat-peminat bolasepak tempatan, tatkala menyaksikan saat-saat akhir Harimau sebelum dibaham Singa. Televisyen telah dimatikan lama tadi lagi, tika skuad Singa menjaringkan gol penyamaan di separuh masa kedua, tinggal harapan agaknya Harimau nak memintas…

Lantas aku menutup televisyen, lalu naik ke bilik membimbit kekasih baru..

Perkenalan

Sang Epal muncul dengan agak asing dalam diriku sebenarnya. Mungkin generasi sekarang berbeza, tetapi di zaman kami dahulu, kebiasaannya pemain MP3 dan telefon bimbit merupakan dua gadget berbeza. Ketika persekolahan dahulu, walkman yang besar gedabak itu teknologi terkini. Hadiah UPSR aku, masih kuingat lagi, sebuah Sony Walkman sebesar Quran kecil, itulah yang menjadi penemanku ketika melalui liku-liku study prep malam menempuhi PMR..

SPM, makin canggih. Pemain MP4 yang berskrin sebesar ibu jari itu, kira cukup canggih kah ketika itu. Heee. Sayangnya tidak tahan lama. Silih berganti rosak..membuatkan aku kurang berminat lagi untuk mendapatkan pemain muzik mudah alih.

Sehinggalah ketibaan aku di bumi Russia ini. Memandangkan saban hari, banyak masa dihabiskan diatas kenderaan, pemain muzik mudah alih merupakan peneman yang setia. Terkenangkan pengalaman pemain-pemain lain yang cukup cepat rosaknya, aku memutuskan untuk meletakkan kualiti diatas faktor harga. Biarlah mahal pun, asalkan berbaloi.

Pilihanku ketika itu, Sang Epal pertama berwarna hitam.. Agak kekok menggunakannya. Kena install perisian itu dan ini. Tapi alhamdulillah, tiada masalah dalam penggunaannya. Sentiasa boleh diharap tatkala aku memerlukannya. Sang Epal inilah yang menemanku sepanjang perjalanan lebih 10 jam di ruang udara antara Malaysia dan Russia, berkali-kali.

Hampir 2 tahun menjadi peneman. Akhirnya aku jualkan ia kepada seorang teman. Nanti aku sambung cerita mengenainya dibawah, ya.

Epal gugur lagi (di dalam hati).

Komputer mudah alihku sebelum ini, dari jenama Twinhead, model 12D. Tak pernah dengar, kan? Aku pilih model ini kerana ianya kemas dan cantik, berwarna putih. Sehinggalah beberapa kali selepas itu, aku dihujani pertanyaan – “Ini komputer Mac kah?”. Aku tertanya-tanya, apakah komputer Mac tersebut. Tak pernah aku dengar pun. Bukan sekali aku ditanya sedemikian, berkali-kali juga.

Akhirnya aku meng-google mencari. Patutlah, rupanya ada sebuah model komputer mudahalih lain, dari jenama Sang Epal, berwarna putih juga. Benar-benar mirip komputer ribaku ketika itu. Patutlah aku sering diejek, mempunyai komputer yang “menyamar”, ‘wannabee‘ Sang Epal!

Aku kurang ambik kisah mengenai perkakasan (hardware), pada asalnya. Banyak aku tumpukan pada perisian (software). Ketika di komputer lamaku dahulu, entah berapa kali dah diformat. Entah berapa kali telahku ubahsuai penampilan Windowsnya. Virus? Dah penat dah nak dikaji satu persatu cara membuangnya. Perisian antivirus apatah lagi.

Antara kegemaranku dahuku, adalah mencuba-cuba sistem pengoperasian lain. Gara-gara abangku lah ini, memperkenalkanku dengan Red Hat Linux. Aku mencuba-cuba sendiri selepas itu. Mint, Sabily, Ubuntu/Kubuntu, DSL dsb.

Terjumpa Sang Epal punya sistem pengoperasian. Aku cuba memasangnya, ternyata banyak benar masalah yang timbul. Tak sampai seminggu, aku membuangnya dan mengformat kembali komputer, dan sejak dari itu tidak aku memandangnya kembali.

Sehinggalah beberapa tahun kemudian, dua tahun lepas setepatnya. Komputer ribaku sudah meragam. Lepas satu, satu masalah. Tanda sudah tidak mampu mengejar masa agaknya. Memikirkan yang mana satukah akan menjadi pewarisnya…hmmm…cadangnya mahu mengambil jenama biasa dan model yang murah sahaja.

Tiba-tiba teringatkan Sang Epal itu. Harganya memang mahal, dibandingkan jenama-jenama lain. Hatiku berbicara – alang-alang nak mencuba, lebih baik terjun terus. Cannonball! Pinjaman FAMA dibuat, dan hadirlah ia dalam kehidupanku.

Sang Epal ber"posing". Twinhead sayu dibelakangnya.

Sebelumnya, banyak kajian aku lakukan. Pelbagai laman aku terokai, mencari maklumbalas orangramai terhadap Sang Epal. Banyak pandangan negatif, tetapi tidak ada basis bagiku. Ramai yang kata Sang Epal ini berlagak, lihatlah pada iklan-iklan video komersil yang dihasilkan! Ramai yang kata guna Sang Epal ini susah, permainan video pun tak ada! Ramai yang kata Sang Epal ini penipu terang-terangan, kerana produk-produknya lebih mahal daripada biasa! The Apple is overrated!

Kalau maklumbalas itu biasa-biasa sahaja, mungkin bagiku masih di peringkat rasional dan logik juga. Namun terlalu berlebihan nampaknya. Kenapa meskipun dipenuhi banyak dakwaan sedemikian, tetap Sang Epal mengalami pertumbuhan positif dalam jualannya? Baru aku tahu ketika itu, bahawa sebenarnya Sang Epal lah peneraju model komputer bimbit di Amerika Syarikat. Takkanlah sebuah negara yang besar itu, ditipu keseluruhannya oleh Sang Epal?

Ini tak boleh jadi. Dengar cakap orang, yang A pun boleh jadi B. Aku membuat keputusan – lebih baik aku cuba sendiri. Benarkah Sang Epal itu seperti yang digambarkan?

“Kalaulah aku sejak kecil didedahkan dengan Sang Epal, kan bagus!”

Itu persepsiku setelah beberapa ketika menggunakan komputer riba Sang Epal! Sehingga sekarang, aku tidak pernah menoleh ke belakang lagi, ke arah Pakcik Tingkap itu!

Epal di mana-mana.

Telefon bimbit, aku banyak pengalaman dengan jenama Sony Ericsson. Meskipun telefon bimbit pertama milikku adalah dari model Nokia, yang aku miliki ketika tingkatan tiga (sebelum dicuri di tahun yang sama :p) ianya pengalaman yang cukup minimum lah. Apatah lagi sistem operasi Symbian, meskipun ianya sistem telefon bimbit paling meluas suatu ketika dahulu (masih?), aku tidak ada pengalaman menggunakannya!

Tetapi berlainan dengan Sony Ericsson. Bermula model K300i, kemudian model K600i, dan akhirnya model W580i. Semuanya telah aku terokai. Heee.

Dua tahun setelah aku mendapatkan komputer riba Sang Epal, aku tertarik dengan telefon bimbit pintarnya pula. Ketika itu tiada siapa pun lagi kenal mengenai Si Robot. Prototaip pertama si Robot baru sedang diuji tuannya Google. Walhal telefon bimbit pintar Sang Epal telah gah diatas sana.

Kerana aku percaya. Dengan pengalamanku sebelum ini bersama Sang Epal. Aku melaburkan lagi, mendapatkan telefon bimbit pintarku yang pertama, dari Sang Epal juga. Dan seperti yang aku jangka, ianya langsung tidak mengecewakan aku. Segala fungsinya aku maksimumkan penggunaanku. Dialah penemanku didalam bas mendengar irama, dialah penemanku didalam kelas mencatat nota.

Sejak dari itu, aku mengaku diriku peminat setia Sang Epal. Tambah-tambah mengenai peneraju utamanya, iaitu Encik Kerja tersebut. Sangat gemar aku menonton pembentangan yang beliau lakukan. Banyak menginspirasikan aku dalam pembentanganku. Idea-idea gila beliau, gimik-gimik beliau, serta gaya beliau yang bersederhana, cukup selesa di mata orang muda sepertiku.

(Klik pada “View On Slideshare” diatas untuk paparan yang lebih baik)

Sudah dua orang, rakanku, aku berjaya dakwah (dakyah?) untuk membeli komputer riba Epal. Kedua-dua mereka berpuas hati sepertiku. Rakanku yang aku jualkan pemain muzik Epal sebelum ini, juga telah naiktaraf ke telefon bimbit pintar Epal. Hatta teman sebilikku juga, telah beralih ke telefon bimbit pintar Epal.

Dan hatiku berbunga-bunga apabila mengetahui sekurang-kurangnya dua rakanku akan kembali menyambung pengajian kelak, masing-masing bersama komputer tablet Sang Epal. Waaahh! Epal di mana-mana!

Keluarga Epal

10 tahun selepas teknologi pemain muzik walkman yang boleh dibaling ke anjing lalu membunuh ia tersebut, zaman dah berubah. Terkini, komputer tablet menjadi mercutanda teknologi terkini.

Hatta ayahku juga, mendapatkan sebuah komputer tablet. Tentulah dari model Si Robot dari Galaksi itu. Tapi ayahku bukanlah dari generasi kita. Menaip di telefon pun perlu berusaha membiasakan diri, inikan pula swipe sana slide sini. Dahulunya mudah, kira berapa bar signal yang ada. Sekarang dengan berapa G nya, dengan wifi mifi itu dan ini. Dunia terlalu mencabar buat mereka.

Dan justeru itulah, alhamdulillah, aku berpeluang sempat menghabiskan sebulan lebih, bermesra dengan Si Robot tersebut. Aku bandingkan dengan pengalamanku bersama Sang Epal. Aku cuba untuk berlembut hati. Aku cuba untuk berlapang dada. Aku cuba untuk menerima Si Robot seadanya.

Tapi aku gagal… Bagiku, Si Robot gagal menawan hatiku. Terlalu jauh perbezaannya antaranya dengan Sang Epal. Natijahnya jelas..

Tatkala ayahku melahirkan hasratnya hendak mewariskan tablet Robot itu kepadaku, aku enggan menerimanya.

“Syam nak trade-in lah, ambil iPad2”

Selamat datang, ahli keluarga Epal yang baru! Sungguh aku tidak pernah menyesal, memiliki kalian!

Abu Suhayl,
Post ini ditaip menggunakan iPad2.

7 thoughts on “Aku Dan Epal

  1. et ada masa bro masih di zaman Twinhead lagi!

    tapi masih tak berani menggunakan barangan sang epal. takut susah nak adapt je dengan software blainan dr windows.

    ipad2 is awesome, n great for techies and busy doctor like you! :)

  2. :) nice!

    leh jadi encik epal lepas ni kot abang kid kan..hehe :)

    how i wish i could get all those too. but i takde duit..hehe so angan2 je lah..hehe

  3. kid,ang test android tablet from which manufacturer?sbb android platform totally dependent on its manufacturer.lain manufacturer lain ROM etc.so the experience might not be the same when u compare eepad transformer dgn acer iconia or any other lineup haha.so far aku dah penah pakai ipod touch,iphone pun dah godek.so many functions but to me,android is the way to go.everyone has their own preference on something :P hahaha

    • Nasyriq, end user macam kitorang tak compare sangat dari segi hardware. Kitorang tak compare processor, x compare GSM band, etc. Takdenya kitorang perasan pun yang mana lagi speedy between ipad or galaxy tab. takde sangat pun kitorg perasan beza 5MP dengan 7MP camera, last2 upload Facebook resolution sama jugak. Hehe.

      What we as regular users want, is the working experience.

      My bad experience personally is with Android Market. Nak cari satu app je pun, berlungguk2 app sampah serabut. Dan bila install, guess what – laa..rupa2nya resolution untuk mobile phone, bukan tablet. So nampak kecik je kat tengah. Sengal. Nak install kat mana – external memory ke internal memory? What’s the difference between those both? etc.

      Orang macam ayah saya, takde masa nak explore semua2 tu. And begitu juga most people with minimal tech knowledge.

      And yeah, saya cukup meluat dengan vibrate tiga kali tu. Vibrate once, few seconds later, vibrate twice and app crashed. Dah berapa banyak android app, crashed camtu. Haihh, berapa kali saya frustrated sbb ni.

      For me, kalau orang tanya suggestion, i tengok orang tu. if dia ni memang jenis kaki godek, suka modify etc, there’s no harm in choosing android. Tapi kalau sekadar nak feel the experience, then i’ll suggest Apple, well because – it just works! =)

  4. Dapat tahu semalam, bahawa Ustaz Hasrizal (Saifulislam) dan syarikat beliau (STC) juga melakukan penghijrahan besar-besaran ke Sang Epal mulai hari ini. Waahhhh!

    Memetik status Facebook beliau,

    STC bekerja keras untuk memiliki iPhone dan hari ini diisytiharkan Synergy Training & Consulting sebagai syarikat mesra iPhone. Komunikasi kakitangan menggunakan VIBER. Kemaskini akaun & rekod pelanggan menggunakan ZOHO CRM yang dikemaskini juga melalui iPhone. Dan kesemua urusan beribu pejabatkan MacBook Pro mulai hari ini. Saya, Zainal Lutfi dan Ahmad Shakir, kami ori, kami stabil, kami tersendiri, kami STC!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s