Proses Itu..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, baru boleh berehat. Semalam, tiba di kamar bilikku sekitar jam 10 malam. Berkali-kali aku berzikir – “Setahun saja lagi, Kid! Bersabarlah, bertahanlah, setahun sahaja lagi!” Melangkah masuk ke dalam bilik hostel yang dipenuhi debu. Sama seperti tatkala ianya kutinggalkan lebih dua bulan lalu. Sama. Bagai tiada apa yang berubah, sedangkan bagi diriku dan kehidupanku, terlalu banyak yang dah berubah dalam tempoh dua bulan ini.

Gedebuk! Bagasi ku lepaskan di atas lantai. Berterbangan debu-debu menusuk hidung. Acchhoomm!

Tak banyak yang aku dapat buat malam berkenaan. Mengibas-ngibas dan memasang cadar dan comforter di katil. Mengelap meja belajar. Menyimpan segala daun kunyit, serai, daun limau purut, daun kari, daun pandan, bunga kantan, lengkuas didalam freezer peti ais.

Aku menelefon Gopinath, bertanyakan topik mengenai kelas esok. Penyakit Kelenjar Tiroid Yang Melibatkan Pembedahan. Aku sempat online sebentar, memuat turun nota yang kujumpai lantas aku simpankan di folder Dropbox ku. Tak larat hendak membacanya, aku berharap esok sahaja aku mengulangkaji didalam bas melalui iPhone. Lantas ku baringkan diri, lelap tidur. Jetlag agaknya.

Bangun pagi, sudah jam 6.45 pagi. Nyenyak sungguh tidur. Sebenarnya, jadual persekolahan sudah bermula sejak minggu lepas. Sejak hari Khamis lepas, setepatnya. Maksudnya aku sudah ketinggalan dua kelas, iaitu kelas pada hari Khamis dan Jumaat. Maka pada pagi ini, adalah hari pertama aku ke kelas. Kebetulan, kami dijadualkan menjalani subjek Surgery pada awal semester ini, untuk tempoh sebulan.

Setelah bersiap, aku turun dari hostel jam 7.45. Cuaca pagi itu agak sejuk. -1 celsius, kalau tak silap. Aku menanti kedatangan rakan groupmate-ku, Gopinath dan Kanitha. Cadangnya hendak bergerak bersama-sama. Hospital yang kami tujui, hospital #3, terletak di suatu tempat pedalaman yang aku sendiri tak pernah pergi. Bukanlah terpencil sangat, cuma di kawasan bawah bandar Nizhniy Novgorod yang jarang kami jelajahi. Perlu tukar bas sekali, dengan jarak perjalanan lebih kurang sejam. Kononnya semangat la sangat nak mengulangkaji topik hari ini didalam bas, sudahnya tempoh sejam itu kami asyik bersembang bercerita mengenai bagaimana masing-masing menghabiskan cuti musim panas!

Kami tiba di bilik pembelajaran, sekitar jam 9.15 pagi. Dr. Mironov, sudahpun membuka pintu bilik berkenaan. Kami lantas bergilir-gilir, menukar pakaian ke pakaian pembedahan. Sudah semestinya, kalau kelas surgeri, maka kami pasti akan meluangkan masa didalam bilik pembedahan.

Dr. Mironov masuk ke kelas. Beliau memulakan sesi pengajaran, dengan memberi sedikit taklimat berkenaan subjek Surgeri pada tahun terakhir ini. Kami akan didedahkan dengan pelbagai jenis surgeri. Begitu juga dengan latihan-latihan berbentuk praktikal (hands-on), membaca filem xray, dan sebagainya. Lama, sebulan kami akan berada didalam cycle (rotation) ini.

Tak lama kemudian, Dr. Mironov membawa kami ke bilik pembedahan. Meskipun sudah entah kali ke berapa kami memasuki bilik pembedahan, Dr. Mironov menerangkan balik “adab-adab” memasukinya. Jangan disentuh peralatan steril. Topi putih dan topeng muka harus sentiasa dipakai. Jangan melewati tirai “drape” yang membahagikan kawasan. Jangan menyampuk perbualan doktor. Dan pelbagai lagi.

Pembedahan hari ini, pembedahan yang boleh dikatakan, biasa. Pesakit, seorang lelaki berusia 50-an, dibawa masuk dengan diagnosis kanser perut. Ketika kami masuk, pembedahan telahpun bermula. Para pakar bedah masih belum tahu, apa jenis pembedahan yang mereka akan lakukan. Sama ada membuang keseluruhan perut (total resection) atau sebahagian dari perut (partial resection), ianya bergantung kepada betapa banyak tisu kanser tersebut merebak. Atau sama ada telah berlaku metastasis, maka tiada apa yang akan dipotong buang, kerana ianya menandakan kanser berkenaan sudah di tahap terakhir yang tidak lagi dapat dirawat secara pembedahan.

Syukurlah, tiada metastasis agaknya. Pembedahan diteruskan.

Pakar bedah baru berada di peringkat awal pembedahan. Iaitu cubaan memisahkan sebahagian dari usus kecil. Usus tersebut akan dicantum dengan bahagian perut yang dibuang, menjadi pintasan (bypass). Teknik ini dinamakan teknik Billroth. Justeru sebelum itu, ia mesti dipisahkan terlebih dahulu dengan mesenteri. Mesenteri adalah lapisan tisu/membran yang memegang usus kecil. Lapisan ini mengandungi salur darah serta nodus-nodus limfa yang cukup banyak. Segala nutrien dari makanan yang kita cerna, akan diserap oleh usus kecil dan dikumpul dibawa oleh salur-salur darah ini.

myWPEdit Image

(Yang berwarna merah itu salur darah mesenteri)

Maka proses memisahkan mesenteri dan usus ini perlu dilakukan dengan berhati-hati, teliti. Setiap salur darah, perlu dipotong dengan elektrik (cauterize) agar tiada pendarahan. Lapisan perlu dipisahkan, seperti kulit bawang, agar tiada kecederaan pada usus yang boleh menyebabkan bocor (perforates).

Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Dr. Mironov telah lama meninggalkan kami, terkebil-kebil melihat ke meja pembedahan. Bau hangit daging manusia yang di-cauterize menusuk hidung. Pakar bedah, tak sampai separuh perjalanan usus yang perlu dipisahkan dari mesenteri. Aku keluar sebentar dari bilik bedah, mengambil udara segar, sebelum masuk semula.

Haish, camna nak jadi pakar bedah ni, kid?

Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Pakar bedah masih lagi tekun dan teliti. Belum habis lagi. Aku, Gopinath dan Kanitha sudah entah berapa kali bersilih tempat berdiri. Cuma ada satu sudut yang kecil di belakang drape, yang membolehkan kami berdiri. Sudut yang muat cuma seorang, justeru kami bergilir-gilir berdiri di tempat tersebut. Bau busuk hanyir lemak manusia dan hangit sudah lali.

Jam 12. Pakar bedah baru memasuki fasa kedua. Pemotongan perut (resection) menggunakan sejenis alat khas, ala-ala stapler. Cuma saiznya lebih besar la. Hee.


Aku teringat, ketika aku di tahun ketiga, didalam subjek Operative Surgery. Dimana aku dilatih dengan teknik-teknik asas pembedahan. Kenangan, mengusung bahagian usus manusia yang diambil dari rumah mayat berhampiran, lalu dibawa ke kelas. Sesungguhnya, badan manusia ini, hidup. Maka apabila nyawa dicabut, maka badan manusia akan mula mati dan membusuk. Begitulah juga usus-usus tersebut. Kami praktis secara manual, pembedahan penyambungan usus. End-to-end anastomoses. End-to-side, dan yang paling susah, side-to-side. Serta setiap langkah demi langkah. Set mobilisasi usus (mobilization). Insisi. Jahitan yang digunakan. Purse-string suture. Interrupted suture. Dsb.

Berjam-jam kami praktis. Bau najis dan usus manusia yang membusuk, janganlah kira. T_T Gembiranya bila hasil sambungan di-“test”, iaitu dengan cara menyalurkan air dari paip, maka tiada kebocoran pada usus tersebut. Maksudnya jahitan adalah kemas, saluran usus tidak terlalu sempit. Heee. Perkara ini sangat penting. Dalam pembedahan sebenar, jahitan yang tidak kemas boleh menyebabkan komplikasi bocor (perforation). Saluran yang terlalu sempit, boleh menyebabkan tersumbat (obstruction). Dan dalam pembedahan sebenar, tak boleh nak test-test macam ni.

Dan setahun kemudian apabila aku melihat sendiri didalam pembedahan sebenar, proses penyambungan usus. Kecewa pun ada. Kita susah-susah berjam-jam berlatih, bergelumang bau najis busuk mayat dsb. Rupanya sudah ada satu alat khas, berupa stapler besar. Cantum usus sana, cantum usus sini, tekan. Siap, satu anastomosis. Kemas, cantik. Tak sampai sepuluh minit pun. Heee. =.=

Berbalik kepada bilik pembedahan tadi. Hee. Jauh sangat merewang. Jam menunjukkan pukul 12 tengahari. Dr. Mironov masuk ke bilik pembedahan, lantas berkata kepada kami.

“Saya tahu pembedahan ini cukup menarik bagi anda semua, tetapi sayangnya, anda perlu ikut saya balik ke kelas. Kita masih ada satu topik besar untuk dibincangkan.”

Kami bersyukur! Lenguh kaki woo, dua jam berdiri. Hehe. Lantas kami pun pulang ke kelas, meneruskan pembelajaran..

Tamat Kid bercerita. Wah, panjang betul mukadimah!

Proses

Banyak keadaan, kita mengeluh dengan proses yang ada.

Pembedahan tersebut, sepanjang pagi, baru separuh perjalanan. Mungkin mengambil masa beberapa jam lagi untuk dihabiskan. Itu pun belum tentu siapa dapat menjamin kejayaan pembedahan tersebut, serta apakah pesakit dapat kembali meneruskan hidup dengan normal.

Belum dikira pembedahan-pembedahan lain. Pembedahan saraf tunjang, mungkin mencecah belasan jam. Pembedahan memisahkan kembar siam, mencecah sehari. Bukan seorang dua pakar, tetapi SEPASUKAN pakar.

Semua itu satu proses.

Di sini, di Russia, kami diajar secara manual. Mengambil tekanan darah, secara manual. Perlu ada cuff dan inflator. Stetoskop digunakan, mencari bunyi “Korotkoff”. Naik turun merkuri pada takat yang ada, diperhatikan. Dentuman turbulence flow pada dinding arteri brachialis. Setiap dentuman perlu dikenalpasti, terutamanya yang terawal dan yang terakhir. Mata perlu tangkas menangkap bacaan merkuri.

Dan apabila kami pulang bekerja nanti, tekanan darah diambil menggunakan alat elektronik khas. Pasang cuff, tekan satu butang. Siap.

Semua ini satu proses.

Banyak lagi perkara yang diajar secara manual.

Manual Itu Asas.

Subjek oftalmologi, iaitu kami belajar mengenai mata. Kami diajar menggunakan bilik gelap. Kami diajar, melihat corneal reflection cuma menggunakan lampu dan cermin. Memperbetulkan jarak fokus mata (lens correction) menggunakan cermin mata “oldskool” iaitu yang perlu digantikan kantanya satu persatu.

Walhal zaman sekarang, guna sahaja mesin sepertimana yang boleh didapati di mana-mana kedai optometri. Percuma lagi. Automatik lagi.

myWPEdit Image

(Berposing dengan cermin “headgear” yang digunakan bersama scope – otoscope (telinga) atau rhinoscope (hidung))

Semua ini dibelajari secara manual. Ianya satu proses.

Proses itu asas.

Kadang-kadang terfikir, kenapa susah-susah dipelajari semua ini, bila dalam praktis yang sebenar, guna sahaja peralatan dan kemudahan yang disediakan. Semenjak kecil kita diajar tambah dan tolak menggunakan jari, sehinggalah apabila kita jumpa kalkulator, kita tertanya “La..kalkulator kan ada?”

Saya tak tahu orang lain bagaimana. Tetapi ketika saya belajar memandu dahulu, saya diajar menggunakan kereta bergear manual. Saya bertanya kepada ayah, kenapa tak belajar auto je terus, kan lagi senang. Maka balas ayah secara mudah,

“Kalau hang tau bawak auto saja, kalau takdak kereta auto hang nak buat macam mana?”

Betul jugak, saya fikir. Kalau saya tahu bawa kereta bergear manual, tentulah saya tahu membawa kereta bergear auto. Tetapi kalau saya cuma tahu membawa gear auto, pasti sukar saya membawa kereta bergear manual!

Saya teringat pesanan pensyarah saya, maaf saya lupa siapa dan bila. Tetapi lebih kurang sama pesanannya dengan jawapan ayah saya tersebut. Di Russia ini (saya tak tahu di tempat lain bagaimana), kami akan diajar dari asasnya. Dari seringkas-ringkas asas. Supaya ilmu yang kami ada, boleh digunakan di mana-mana, pada bila-bila masa.

Didalam hutan? Di tengah medan perang? Di hujung benua? Di tempat-tempat dimana kemudahan dan peralatan sukar diperolehi, kami tetap boleh menjadi doktor yang “berguna”.

Semua itu hasil daripada proses.

Begitulah saya kira, manusia secara asasnya. Allah sering mencampakkan manusia, dalam “proses”. Proses yang pada zahirnya, kelihatan susah dan leceh dan membebankan dan merunsingkan.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia sentiasa dalam keadaan susah payah menghadapi kesulitan dan kesukaran.” (Al-Balad 90 : 4)

Proses yang kita lalui, segala kesukaran dan kesusahan yang ada, sebenarnya membentuk satu lapisan asas yang kukuh dalam menempuhi liku-liku kehidupan. Semua ujian dan dugaan, mematangkan kita dan menjadikan kita kuat.

Agar kita menjadi insan yang kuat, berguna dan sentiasa bermanfaat bila diperlukan.

Kerna itu, selalu disebutkan. Apabila kita dihadapkan dengan kesukaran, cubalah kita instead of mendoakan agar dipermudahkan, kita berdoa agar dikuatkan diri dan diberi ketabahan melaluinya

Kerana ianya satu proses.

Sesungguhnya, apa yang aku lalui sekarang ini, merupakan satu proses. Dan inshaAllah, I’ll come up a better person.

Kita sering mendambakan masa depan yang gemilang. Masa depan Islam yang cemerlang. Ustazyatul Alam, bagi mereka yang didalam gerakan haraki. Khalifah Islamiyyah, tak kurang kuatnya slogan yang diseru puak-puak satu lagi. Dakwah Cara Rasulullah. Kembali Kepada Kefahaman Salafussoleh. Berpegang Kepada AlQuran dan Sunnah.

Semua slogan yang gempak-gempak. Namun semuanya itu, takkan kita capai, tanpa kita melalui proses.

Prosesnya apa? Bermula seringkas-ringkas mengutip sampah di tengah jalan. Atau menyebarkan salam. Atau mengucap terima kasih sesama kita. Atau melafazkan basmalah dalam setiap pekerjaan. Atau memulakan satu-satu pekerjaan dengan tangan kanan. Atau menyelitkan lafaz-lafaz zikir dalam sela masa yang ada.

Nampak ringkas, nampak mudah. Terlalu biasa sudah kita dengar dan tahu.

Tapi inilah proses. Sebelum kitssa melangkah ke proses yang lebih besar, seperti tuntutan solat berjemaah, tuntutan haji, tuntutan zakat, tuntutan jihad.

Muhammad Al-Fateh, melalui proses ini, menempuh Constantinople.

Salahuddin Al-Ayyubi, melalui proses ini, menempuh Jerusalem.

Dan tentunya, kesayangan kita, Nabi Muhammad, shalla Allahu alayhi wa sallam, turut melalui proses ini.

Proses melatih diri kita. Agar kita benar-benar menjadi muslim sebagaimana yang diacuan oleh Allah.

Tidak ada jalan pintas! Laluilah setiap proses yang ada dengan senyuman, knowing that apabila kita melaluinya kelak, kita akan keluar sebagai orang yang lebih kuat dan tinggi disisiNya!

Kan dua kali Allah ulang sebut:

“Maka sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan.”

“Sesungguhnya, tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan!” (Al-Inshirah 94:5-6)

4 thoughts on “Proses Itu..

  1. terbaiklah sha bace entry ini sambil breakfast >w< but anyway interesting betul hee. if sha yg dkt tempat kid, belum ape dah pengsan awal2 surrender :P

    *nods* nice post utk di bace pagi2 ni kid! hehe :Db there's no such thing as shortcut. even success, it is a staircase, not a doorway. a process. kadang sha rase mmg susah nk fikir positive stp kali dtg ujian; memberontak, rase tak puas hati, sedih, kecewa. but bila dah duduk, ambik nafas pjg2, fikir balik; ujian yg Allah bg tu terbaik utk kite, and boleh kite hadapi sooner or later. n plg best bila everything dah tamat, rase refreshed, stronger, dpt ilmu baru X3

    ok knp rase mcm terpesong je ape yg sha ckp ni. haha ^^; good day kid! XD

  2. salam wrt..

    mantap2…keep it up kid…ni yg jadik bertambah rindu kat nizhny balik ni…hehe…ambillah masa setahun ni utk berpenat lelah cukupkan segala ilmu yg ada…ilmu medicnya,dgn usrahnya,dsb…proses…proses…hehe =]

    n some tips for surgery-sebulan tu memang lama sangat utk surgery…nanti 2nd sem ada sebulan lebih gak utk surgery..so make sure dlm masa 2 bulan lebih utk surgery ni boleh khatamkan surgery dr 3rd yr-gen surgery,anes,cardiac,resuscitation,uro,etc3…prepare utk gos n lagi penting utk keje nanti…rajin2 carik msian guideline gak…best gakla kalo dpt miranov sbb dia memang bersungguh2 ajar..

    kalo macam kamil dulu dpt zagainov yg busy memanjang so the whole cycle duk tgk surgery je…seriously dia xajar kitorang langsung (except for those surgery procedures that we watched) n i doubt if he recognizes me as his student! hehe…=p so the whole cycle tu kamil jz buat notes surgery sendiri, bolehlah remember btr kan kalo tulis2 ni…saje je bagi advice,it’s up 2 u nak buat cmne kan…jz nak ingatkan since 1st sem ni ada exam gynae je so memang boleh enjoy habis2an kalo nak but lagi bagus manfaatkan masa yg ada kan kalo x nak dekat gos baru nak study memang semput…=p

    ok…take care in russia, goodluck n keep on writing…=]

    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Wah! Dr. Kamil! Heee. Thanks atas tips dan nasihat tersebut. Terkenang dulu melihat kalian menempuh tahun terakhir, dan kini, giliran kami pula. Sekejap sangat rasanya. =.=

      Doakan kejayaan saya disini. huhu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s