Syawal 1998

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hari ini, post kali ini, menjelajah ke memory lane yang lama. Kenangan lama, ketika aku berusia sekitar 9-10 tahun. Aku sendiri sudah samar-samar ingat, dan sudah lupa perinciannya yang tepat. Tetapi kenangan ini meninggalkan kesan yang mendalam pada diriku.

Ketika itu, aku tinggal di Pengkalan Kubor, Kelantan. Di dalam kem Unit Pencegah Penyeludupan, memandangkan ayahku bertugas di sana. Kehidupan di sana, kehidupan kanak-kanakku, tentulah banyak kenangan. InshaAllah, mungkin aku akan mengupasnya satu demi satu, sedikit demi sedikit dalam post-post akan datang.

Cuma yang aku ingin luahkan pada malam yang hening ini, adalah perihal seorang rakanku. Beliau tinggal di hadapan rumahku, bersebelahan gelanggang tenis. Jujurnya, tak banyak yang aku ingat mengenai beliau. Setahu aku, namanya Syawal. Beliau lebih berumur daripadaku. Tatkala aku baru didalam darjah tiga atau empat, namun dia, seingat aku berumur duabelas ke tigabelas tahun begitu.

Namun, dia tidak bersekolah. Kerana dia menghidap penyakit barah otak. Dan memandangkan tidak ramai kanak-kanak di dalam kawasan kem tersebut, dan hanya aku yang tinggal berdekatan dengannya, justeru aku sering berkunjung ke rumahnya. Kenangan yang aku ingat, bermain permainan Saidina / Monopoly bersamanya di bawah rumah.

Barah otak (tumor) tersebut, berkemungkinan menghimpit saraf penglihatannya. Justeru, beliau tidak dapat melihat. Buta.

Tapi itulah kenangan yang aku ada dengannya. Tatkala bermain Saidina, aku yang akan menjaga “duit”nya. Aku yang akan menggerakkan buah caturnya. Aku yang akan membaca kertas-kertas permainan, serta bilangan dadu. Walaupun kebanyakannya seolah-olah aku yang bermain seorang diri, tetapi dia gembira. Mungkin kerana itu sahajalah kegembiraan yang boleh dia kecapi.

Tetapi aku tidak begitu. Lama kelamaan, aku menjadi menyampah, bermain sedemikian. Aku menjadi malas, leceh, merungut, kerana tidak seronok bermain dengannya. Akhirnya aku berhenti berkunjung ke rumahnya, bermain dengannya.

Sehinggalah akhirnya, aku berkunjung juga ke rumahnya, beberapa bulan kemudian. Iaitu tatkala menziarahi jenazahnya.

Aku ketika itu, tentulah, dalam keadaan belum mumaiyiz, tidak kenal erti baik dan buruk. Hanya apabila beberapa tahun kemudian, termasuklah sekarang, tatkala mengenang peristiwa tersebut, aku menyedari betapa teruknya aku, seorang yang mementingkan diri. Betapa teruknya aku, memperlakukan Syawal sedemikian. Dan aku tak dapat menerima hakikat, bahawa dalam saat-saat terakhir kehidupannya, aku enggan menggembirakannya. Ianya satu tamparan kepadaku.

Kadang-kadang, dalam tindakan kita membuat sesuatu perkara, kita tak nampak kesannya. Kita cuma nampak secara realtime, iaitu di masa sekarang. Kita cuma nampak zahirnya. Mungkin perkara itu sebesar-besar perkara, seperti memilih hala tuju hidup atau memilih pasangan dan sebagainya. Atau mungkin perkara itu sekecil-kecil perkara, seperti kecilnya perihal seorang kanak-kanak berusia 9 tahun, bermain dan bergembira bersama rakan-rakannya.

Tetapi perkara yang kecil, boleh mendatangkan natijah yang besar, kid. Kita tak tahu, 10 tahun akan datang. 20 tahun akan datang. Benda yang kita sangka tidak apa, tanpa diketahui, benda itulah yang boleh menghantui kita kelak.

Kadang-kadang, kita fikirkan benda itu kecil pada pandangan kita. Seorang ibu memesan kepada anaknya untuk membeli sos cili, dan anak itu pula leka di luar sehingga terlupa. Mungkin terlupa membeli sos cili itu, kecil pada pandangan anak itu.

Tetapi siapa tahu, kempunan sang ibu, menjadi punca kederhakaannya? Tak perlu diulang kisah telur ikan tembakul dan batu bertangkup itu, masing-masing kita sudah tahu hikayatnya.

Benda yang nampak kecil. Mungkin seminit yang kita luangkan bersama seorang rakan, itulah yang menjadi sumbu motivasi beliau untuk meneruskan perjuangannya. Siapa tahu?

Dan siapa tahu, satu ciuman tangan yang ringkas dengan nenda kesayangan, rupa-rupanya menjadi ciuman terakhir?

Benda yang kecil, jangan mudah dan enteng diletakkan ke tepi. Hanya kerana kita rasa ianya remeh.

Begitu juga antara kita dan Dia. Mungkin kita menyedapkan hati, ini perkara kecil sahaja. Ini perkara mustahabb sahaja. Ala, benda makruh sahaja.

Banyak…banyak Dia peringatkan kita. Sesiapa yang rajin mentadabbur surat-suratNya dan sabda-sabda rasulNya, pasti perasan. Rupanya sudah berkali-kali Dia mengingatkan kita.

“Barangsiapa mengerjakan kebajikan/kejahatan sebesar zarah…” (99:7-8)

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menzalimi, walaupun seberat zarah..” (4:40)

“Janganlah engkau berkata kepada mereka, sekalipun perkataan ‘uff'” (17:23)

“..dan (iman) yang terendah adalah membuang halangan di jalan.” (Muttafaqun ‘Alaih)

“Sesungguhnya sekiranya seorang hamba melakukan kesalahan, maka akan ditimpakan satu titik hitam didalam hatinya…” (HR At-Tirmidzi)

“Orang-orang yang faajir (pelaku dosa) melihat dosa mereka seperti lalat yang berterbangan di tepi hidung..” (HR Al-Bukhari)

“Seseorang berbicara dengan sesuatu yang dia rasakan tidak apa dengannya, lalu dia dilemparkan ke dalam neraka dengan jarak melebihi timur dan barat” (HR Muslim)

“Tiadalah dunia ini dibandingkan dengan akhirat, melainkan seperti seseorang mencelupkan jarinya ke dalam air lautan, dan lihatlah baki air yang berada di jari itu, itulah nilai dunia,” (HR Muslim)

Dan banyak lagi. Banyak lagi. Dah banyak, Kid, banyak Allah peringatkan, agar jangan sekali-kali memandang rendah dan kecil akan sesuatu. Benda yang kecil disisi kita, mungkin sebenarnya sangat besar disisiNya.

Dan perkara yang kita anggap besar, yang kita anggap segalanya dalam hidup kita, mungkin sebenarnya hanyalah sekelumit dari apa yang membantu kita dihadapanNya kelak..

Wallahua’lam.

Medicine Street,
603104, Nizhniy Novgorod.

One thought on “Syawal 1998

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s