Of Syam, Suhayl, and Sunnah of Sneezing

Kisah ini berlaku hampir setahun sebelum peristiwa Sesejuk Salji Silwan..

Syam telah selesai menyalin ke pakaian pembedahan beliau. Suhayl pun. Doktor Lubarskaya telahpun masuk ke kelas sebentar tadi, dan melihat rakan-rakan Syam yang lain belum sampai, beliau cuma memasang satu slideshow dan meminta mereka mengulangkaji tajuk Urolithiasis, atau dalam bahasa awam nya, penyakit batu karang.

Syam merenung skrin komputer tersebut. Jari jemari Suhayl sibuk memetik butang tetikus. Slaid yang sama sebenarnya pernah mereka tontoni ketika di tahun keempat dahulu, namun memandangkan kini mereka di tahun terakhir, Doktor Lubarskaya mahu mereka mengulangkaji dan menyegarkan kembali ilmu yang telah lama termendap didalam kepala.

“Hinsss.. Hinsss..”

Hidung Syam kegatalan. Digosok-gosoknya seketika. Gatal lagi. Dan semakin gatal. Akhirnya..

“Haaaaachhooooommmmmm!!”

Hampir melompat Suhayl! Persis bunyi helikopter Apache Israel yang sering menerawang angkasa kampung halamannya, Silwan. Kertas-kertas nota beterbangan dek angin bersin Syam, bagaikan dilanda taufan.

“Alhamdulillah…”, ujar Syam. Mengamalkan sunnah yang diajar oleh baginda Muhammad shalla Allahu alayhi wasallam. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat baginda Abu Hurairah radhi Allahu anhu, bahawa beliau mendengar baginda bersabda,

“Apabila salah seorang diantara kalian bersin maka hendaknya mengucapkan Alhamdulillah…(sehingga habis hadis)”, manakala pada lafaz yang disebutkan oleh Imam Abu Daud pula, : “Maka hendaknya mengucapkan Alhamdulillah ala kulli hal”

[HR. Al-Bukhari (6224) Ahmad (8417) Abu Daud (5033) Ibnul Qayyim berkata dari riwayat Abu Daud : “isnadnya shahih” (Zaad Al-Ma’ad 2/436). Al-Albani berkata di dalam shahih Abu Daud : “shahih”]

Syam merenung Suhayl. Suhayl merenung Syam kembali. Syam menghela nafas.

“Suhayl, mengikut sunnah, kalau mendengar seseorang Muslim bersin lalu beliau mengucapkan tahmid, maka kita kena mendoakan dia dengan mengucapkan “yaharmukallah”, itu sebahagian dari hak seseorang Muslim tau. Dalam sebuah hadis diriwayatkan Imamain Al-Bukhari dan Muslim ada menyebut, mafhumnya, hak seorang muslim keatas muslim yang lain ada lima, dan salah satunya ialah mendoakan orang yang bersin.”

Panjang Syam bertazkirah. Bab-bab sunnah ni memang kegemarannya. Ittiba’ kepada sunnah, dan menjauhi taqlid buta – itu yang menjadi prinsipnya dalam amalan-amalan Islam. Suhayl tersenyum mendengarnya.

“Yaharmukallah. Maafkan aku, Syam, aku terlupa. ” ujar Suhayl, tulus. Syam tersenyum kepada beliau. Dan beliau juga, tersenyum.

“Tapi Syam…” sambung beliau. Mata Syam bulat seketika.

“Nabi kan….kalau baginda shalla Allahu alayhi wasallam bersin kan….dia kannn…”

Sengaja Suhayl menimbulkan suasana saspen. Makin bulat mata Syam. Telinganya bergerak-gerak. Suhayl menyambung,

“Diriwayatkan oleh Abu Hurairah juga didalam kitab muttafaqun alaih tersebut, bahawa apabila Nabi shalla Allahu alayi wasallam bersin, baginda menutup wajah baginda dengan tangan atau pakaian, dan merendahkan suaranya. Hehe. Bukan macam enta ni, mati-mati ana ingatkan kita diserang Apache tadi!” sengih Suhayl.

Syam tersipu-sipu malu. Merah mukanya. Heee. Senyum kambing.

“Maafkan aku, Suhayl. Aku terlupa!”

Mereka berdua berbalas senyuman dan sengih. Begitulah tersebarnya sunnah antara dua sahabat berkenaan. Benarlah apabila baginda shalla Allahu alayhi wasallam bersabda di khutbah terakhir lebih 1400 tahun dahulu,

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengarnya daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba hamba-Mu.”

(Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan disampaikan oleh Rasulullah Sallahualaihi wasallam dalam sabda baginda di dalam khutbah Haji terakhir, di Lembah Uraynah, Bukit Arafah).

3 thoughts on “Of Syam, Suhayl, and Sunnah of Sneezing

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s