Night Five, Fatty Food

20110919-101942.jpg

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Malam ini, malam kelima aku di wad 115, Jabatan Gastroenterologi, Hospital Besar Nizhniy Novgorod Semashka. Tak sangka, dah lima malam rupanya aku berada di sini.

Segalanya bermula, pagi Rabu itu. Hari Rabu, kami mempunyai kelas surgery dibawah subtopik Urology, justeru kelas pada hari tersebut bertempat di Hospital Semashka ini. Memandangkan hari tersebut hari pertama di Semashka pada semester ini, kami satu group memutuskan untuk menikmati sarapan berupa слойка с орехами, iaitu sejenis roti yang digoreng berintikan kacang. Masing-masing membeli dua biji, dan nasib kami mendapat bahagian yang diletakkan di dasar talam, justeru sememangnya berminyak hinggakan kami semua berusaha untuk menghabiskan sloika masing-masing.

Dan ianya tidak berakhir di situ. Sejurus selepas kelas, sementara menunggu kuliah Public Health yang bertempat di hospital yang sama, kami memutuskan untuk makan tengahari di medan selera supermarket Fantastika, betul-betul berhadapan hospital. Tatkala rakan-rakan yang lain menikmati sandwich subway, aku yang ketika itu laparkan nasi, memesan nasi goreng seafood dari restoran Jepun berdekatan. Entah apa malangnya, nasi goreng tersebut cukup banyak minyak juga, sehinggakan aku terpaksa menyerap sebahagiannya dengan tisu! Tetapi memandangkan sudah agak terlewat untuk ke kuliah, dan aku sudah sangat lapar ketika itu, aku telan sahaja tanpa memikirkan apa-apa.

20110919-103845.jpg

Dan aku yakin, dua itulah yang menjadi pencetus “trigger” kepada keadaanku sekarang ini. Seawal malam hari rabu tersebut, aku sudah merasakan tidak selesa di bahagian kanan dadaku. Tapi aku tak tahu lagi, apakah ia berkaitan dengan makananku di siang hari. Aku tidur dalam keadaan tak sedap hati, dan apabila bangun pagi, tidak selesa berkenaan bertukar menjadi sakit. Anehnya, selepas mandi, sakit itu berkurangan dan hilang terus. Aku beranggapan ianya biasa sahaja. Pagi itu, aku ke kelas seperti biasa, namun dengan perut kosong kerana tidak bersarapan.

Sejurus sehabis kelas, aku memutuskan untuk membeli sedikit barang keperluan di pasaraya Real didalam Fantastika. Dalam ada itu, aku singgah di restoran Itali Sbarro, mendapatkan bufet makanan tengahari yang dijual. Nasi plov, juga aku kira agak berminyak. Haish kenapalah engkau suka makan makanan berminyak, kid? Aku menghabiskan kira-kira sejam membeli sedikit barangan keperluan. Ketika membeli belah, aku sudah mula terasa sakit kembali. Sehingga aku singkatkan sesi membeli belah ketika itu, untuk terus pulang. Sepanjang dalam bas, sakit itu berdenyut-denyut.

Tiba di hostel pada petang tersebut. Sempat rehat kejap sahaja, namun apabila ingin aku berbaring, sakit berkenaan bertambah teruk. Aku tidak dapat bernafas dengan baik, apabila setiap sedutan nafas diiringi rasa sakit. Empat petang, sakit itu semakin memuncak. Pil ibuprofen yang ditelan, gagal membantu apa-apa. Aku sudah memikirkan kemungkinan untuk menelefon ambulans.

Banyak faktor yang membuatku ragu-ragu untuk menelefon ambulans. Pertamanya, aku ketika itu agak konfiden, sakitku ini berpunca dari cholelithiasis, iaitu batu hempedu. Murphy’s Sign yang diperiksa rumetku, Firdaus, didapati positif. Cullen’s sign juga positif, memandangkan sakit itu merebak sehingga ke hujung tulang belikatku. Dari segi kerangka masa juga konsisten, ia bermula sekitar sejam selepas makan. Semua itu tanda-tanda tipikal cholelithiasis. Dan jika benar, maksudnya ia akan berkurangan sekitar 4-5 jam selepas sakit itu bermula, iaitu apabila makanan sudah melepasi proses pencernaan dan berada di usus. Aku bercadang untuk tunggu dan menahan kesakitan.

Keduanya, ketiadaan passport kerana disimpan dekanat juga membuatku ragu-ragu. Pejabat dekan NNSMA, sememangnya suka menyusahkan pelajar. Aku menunggu setahun sahaja lagi untuk aku berambus dari kecelakaan mereka. Ketiadaan passport, menyebabkan pelbagai urusan menjadi sukar. Mendaftar simkad tidak boleh, ujian darah tidak boleh. Serta tentunya, urusan kesihatan dan insurans yang pasti akan aku hadapi jika aku ke hospital.

Ketiganya, aku hampir pasti, jika aku ke hospital, pasti aku akan dimasukkan ke wad. Dan bergantung kepada diagnosis , aku pasti akan ditahan di wad untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu. Aku sudah di tahun terakhir, dan aku sangat tidak mahu sebarang masalah melibatkan urusan pengajianku. Aku kembali menyambung tahun terakhir pun kerana memikirkan ianya tahun terakhirku, cuma tinggal setahun saja lagi untuk aku bersabar di tempat ini.

Akhirnya aku menghantar SMS ke pensyarah surgery aku Dr. Mironov. Aku bercadang untuk menahan sakit menunggu keesokan hari, kerana esoknya aku boleh meminta pertolongan Dr. Mironov untuk melakukan ultrasound bagi memastikan punca sakitku ini. Namun Dr. Mironov menyuruhku untuk ke jabatan kecemasan dengan segera. Biliary colic bukannya keadaan yang boleh dipandang remeh.

Justeru berpesan kepada rumetku – jika sakit ini tidak berkurangan pada jam enam, maka telefonlah ambulans. Pukul enam petang berlalu, ambulans ditelefon. Tak banyak perlu dibual pun dengan paramedik yang datang, kerana sebaik sahaja mengetahui kami pelajar tahun akhir perubatan, maka sudah faham apa yang dikehendaki. Aku terus dibawa menaiki ambulans, bersama rumetku. Aku secara khusus meminta dihantar ke Hospital Semashka, kerana inilah hospital yang tertakluk dibawah liputan insuransku.

Setibanya di Hospital Semashka, aku menyerahkan kad insuransku. Mengenai passport, aku hanya menyerahkan resit slip visa yang aku ada, dan alhamdulillah, mereka menerimanya. Menunggu sekitar setengah jam, sakit sudah semakin berkurangan pun. Datang dua orang doktor, iaitu seorang physician dan seorang surgeon. Setelah history taking dan physical examination, segera aku dihantar menjalani ultrasound. Sifirnya mudah – jika ada batu hempedu dijumpai, maka aku akan dimasukkan ke wad Surgery (Pembedahan). Jika tiada batu hempedu, aku akan dihantar ke wad Medical (Perubatan).

Dan alhamdulillah, tiada batu hempedu. Aku sebenarnya tidak tahu, sama ada aku patut bersyukur atau tidak. Mungkin aku patut bersyukur, kerana jika benar ada batu hempedu, maka aku akan dibedah dan kehilangan satu organ iaitu pundi hempedu. Tetapi pembedahan tersebut adalah agak ringkas, jika dilakukan secara laparoskopi dan tanpa komplikasi, pesakit cuma perlu tinggal di hospital selama tiga hari dan parut yang kecil. Namun jika tiada batu hempedu, maksudnya ia mungkin menandakan penyakit lain yang lebih serius.

Justeru aku dimasukkan ke wad Medical. Khususnya, dibawah jabatan Gastroenterologi. Aku hanya baru menjalani beberapa pemeriksaan asas seperti pemeriksaan darah, air kencing dan ECG. Dan hasil pemeriksaan tersebut kurang memuaskan, menurut doktor. Kandungan bilirubin dalam darah sedikit meningkat, begitu juga dengan enzim alfa amilas dan LDH. Aku dijadualkan untuk menjalani saringan hepatitis dan pemeriksaan endoskopi perut, dalam minggu ini. Itu pun hanya setelah syarikat insuransku meluluskannya.

Secara kesihatannya, aku rasa aku sudah sihat pun sebenarnya. Walaupun kadang-kadang ada rasa tak sedap dan sakit sikit-sikit, tapi inshaAllah okay je. Makanan rumah terbuka pelajar tahun ketiga pada hari sabtu tempoh hari pun, aku dah menjamah dengan sedapnya. Oh makanan hospital sangat horror, okke. Aku hidup dengan biskut dan roti sahaja. Nasib baik tengahari tadi sempat berpesan kepada Mukhlis, minta tolong dibelikan sandwich Subway. Huuuu.

Aku kira punca sebenar sakitku ini boleh dijejaki laaamaaaa dahulu lagi. Memang aku agak kurang menjaga makan. Memasak memang kegemaranku, tambah-tambah menu yang lazat. Ayam lemak cili padi, sup tulang, dsb. Huuu. Dan sepanjang cuti dua bulan pun. Tambah-tambah bulan puasa. Mohd Syamirulah inilah yang bertanggungjawab menghabiskan lauk pauk berbuka yang tak habis. Mohd Syamirulah inilah yang diamanahkan menghabiskan kuih muih pasca-berbuka. Mohd Syamirulah inilah yang diharapkan menghabiskan lauk pauk sahur, kerana dikhuatiri basi di siang Ramadhan.

Dan kini, Mohd Syamirulah inilah yang menanggung kesannya T___T

InshaAllah, ada hikmahnya. Mungkin sakit ini menghakis lebur segala dosa, kemaksiatan dan kemungkaran yang menjijikkan yang ada padaku, meskipun hanya Allah sahaja yang tahu.

InshaAllah, ada hikmahnya.

Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah.” (At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

8 thoughts on “Night Five, Fatty Food

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s