Kampung Kid

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terjumpa status Facebook ini, yang dikongsi Chidori-chan:

20110920-051002.jpg

Hmm…bila terperap dalam wad keseorangan sebegini, mulalah fikiran menerawang jauh. Kali ini, sampai ke Kampung Nawa, Pokok Sena, Kedah. Kali ini, menerawang ke 10, 15 tahun lalu tatkala aku baru masih muda. (Sekarang dah tua, koff koff).

Meskipun aku banyak menghabiskan masa di bandar, aku menganggap diriku budak kampung. Kehidupan zaman kanak-kanakku banyak berpindah randah, adakalanya di kota, adakalanya di pekan kecil. Dari tengah bandar Bayan Baru (15 tahun dahulu takdela besar macam sekarang) sehinggalah ke perkampungan nelayan Pengkalan Kubor, kesemuanya mencorakkan kehidupan kanak-kanakku.

Namun aku lebih suka pergi jauh lebih sedikit. Iaitu ketika aku sekitar berusia 7,8 tahun. Tiap kali cuti semester persekolahan, aku akan menghabiskan hampir sebulan di kampung halamanku. Kampung Nawa, bagiku merupakan memang kampung betul lah. Jalan tar yang disambung jalan tanah merah, sawah padi yang luas terbentang, sungai dan telaga, jamban di luar rumah.

Sering aku habiskan masa kanak-kanakku bersama sepupuku, Yusof (dipanggil Chop). Antara aktiviti yang selalu dibuat, adalah menjerat ayam. Bukan ayam hutan pun, tetapi ayam peliharaan nenek dan jiran-jiran lain. Haha. Menggunakan beras nenek sebagai umpan, cukup hanya dengan seutas tali rafia, kami mengasah kreativiti masing-masing. Ranting kayu, dahan pokok dimanfaatkan. Ayam yang berjaya ditangkap, tentulah, dilepaskan kembali. Kecuali kes-kes tertentu, contohnya ayam terjerut di leher, habis kami dimarahi nenek. Hee.

Pengalaman di bendang, juga, kenangan yang manis. Khususnya selepas musim menuai, tentulah tidak dilupakan, musim wau. Aku rasa di kampung aku sekarang, mana ada dah orang main wau. Wau dibuat secara tradisional, menggunakan buluh yang diraut halus. Kertas surih, dan gam kanji. Guni beras plastik, diambil seutas talinya lalu diikat, menjadikan wau tersebut berbunyi. Wau yang cukup besar, adakalanya apabila sudah diterbangkan, ditambat di pokok dan dibiarkan begitu sahaja semalaman, kedengaran bunyi “wreeeeoowwww” menghiasi bunyi cengkerik dan unggas di waktu malam.

Mandi telaga, mandi sungai juga, kenangan yang manis. Kesejukan air telaga di pagi hari, yang tersangatlah sejuknya, namun bagaikan menjadi sumber tenaga kepada kanak-kanak ini. Selepas mandi, berhamburan ke hutan bermain dan berkejar-kejaran. Penat di petang hari, terjun sungai. Air sungai tidaklah jernih sangat pun, malah penuh berselut, namun keseronokan bermain beramai-ramai itulah yang menjadi highlight nya.

Begitu juga permainan-permainan lain. Congkak yang digali lubangnya di atas tanah sahaja. Atau laga biji getah. Atau tuju guli. Membela puyuh. Memetik sayuran di kebun. Berebut kerak nasi di hari kenduri. Menjerit-jerit berbual di waktu hujan lebat kerana kebingitan atap zink. Semua itu kini tinggal kenangan.

Dan kini, 15 tahun ianya telah berlalu. Mana ada orang main wau sebegitu lagi, sekarang ini. Sungai sudah tidak boleh mandi airnya, kerana kotor. Telaga sudah digantikan dengan air paip yang lebih bersih. Kenduri sudah diganti dengan katering. Guli menjadi perhiasan akuarium. Derap bunyi buah getah yang meletup menimpa atap zink, sudah tidak kedengaran. Di kampungku, sudah tiada apa sangat. TokWan sudah meninggal, tiga tahun lalu. Kebun sudah tidak begitu terurus.

Dan aku semakin menjadi orang bandar. Kejauhan merantau hingga ke negeri orang, ulam hanya dijamah setahun sekali ketika cuti.

Aku kira kenanganku ini hanya sekadar boleh menjadi buah cerita untuk generasi akan datang, adik-adikku dan anak-anakku kelak. Mustahil ianya boleh dihidupkan kembali.

Aku sering mengingatkan diriku, bahawa aku ini budak kampung. Aku dibesarkan di kampung. Dan aku tidak malu untuk mengakuinya, dan aku berbangga dengan hakikat tersebut. Kerana disebalik sejarah hidupku ini, ada sisi budak kampung naif yang aku bangga dengannya. Meskipun kini bertopi kep, mengendong ipad sambil menikmati nikmatnya frappe di Starbucks, aku sedar deep inside, walau se-urban manapun aku, walau di bandar mana sekalipun aku tercampak, aku tetap seorang budak kampung.

Kaki perlu sentiasa dipijak ke tanah.

Wallahua’lam, wasallam.

20110920-051440.jpg

2 thoughts on “Kampung Kid

  1. hai..tak tau kata kita apa bila bercerita hal kg. kita tak la rapat, tapi hang mesti kenai adik-adik aku. Sekarang pun masih bes macm dulu terutama dekat nak raya. penuh pelita raya dari mula jalan mini tar sampai umah aku. nanti dekat nak raya orang mula kalut nak buat lemang.. ketupat.. atau mungkin la nie tok ayah, umaq dan abg li pun dok pikiaq nak masak apa untuk more. aku pun dah tak dok situ, tapi mak dan cucu-cucunya masih menetap dibelakang umah tok ayah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s