Will I still be a Muslim today, if I were not born as a Malay?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hari ini memandangkan hujung minggu, saya bagi sebuah post yang agak berat sedikit. Lama benar tidak mengemaskini Leokid’s Life dengan sebuah post yang sarat. Hehe. Saya jarang menulis sesuatu berkaitan hal bangsa. Mungkin kerana saya sedar, saya ini pun lahirnya dalam keluarga Melayu, belajar 5 tahun di MRSM yang tentunya tertubuh demi Melayu, datang ke luar negara pun di bawah tajaan MARA kerana saya seorang Melayu. Jadi seolah-olah sudah ada satu preemptive thinking yang menghalang saya dari mempersoalkan nilai keMelayuan ini. Seperti kata pepatah Inggeris,

“You don’t bite the hand that feeds you.”

Saya bukanlah anti-kebangsaan sangat pun, sebenarnya. Saya tetap berbangga memakai Baju Melayu pada bila-bila masa saya suka tanpa terhad kepada Hari Raya mahupun Hari Jumaat sahaja. Saya tetap berbangga memakai Baju Kemeja Batik pada majlis-majlis rasmi. Baru sebentar tadi, makan tengahari dengan Nasi Lemak, dan saya masih terkenang-kenang jurus-jurus silat yang dipelajari 6 tahun lalu meskipun saya yakin saya tidak selincah dulu (errr).

Tapi kesedaran ke atas apa yang diteladani didalam Islam, membuatkan saya jelik kepada orang yang mengaitkan bangsa dengan agama. Kerana ianya dua entiti yang berbeza. Saya jelik kepada orang yang menghadkan keluasan skop Islam kepada kesempitan bangsa sahaja. Ianya meletakkan batasan kepada ISLAM, sedangkan ISLAM yang diturunkan Allah kepada Muhammad adalah rahmatan lil ‘alamin, bukannya rahmat kepada bangsa tertentu sahaja atau kaum tertentu sahaja.

Tempoh hari, saya ada meletakkan satu status update yang agak “kritikal” di laman Facebook saya. Status tersebut berbunyi,

Will I still be a Muslim today, if I were not born as a Malay?

Hari ini saya terpanggil untuk mengulas sedikit berkenaan status update berkenaan. Saya bukannya nak highlight sangat pun sentimen kebangsaan dalam status ini, kerana status ini mengajak kita berfikir lebih mendalam, melangkaui rangka kebangsaan yang ada. Namun tentulah, ada yang menafsirkannya dari sudut kebangsaan semata.

“Nilai” – Satu Persoalan

Sejak dari kecil, saya sering diajar – kita seharusnya bersyukur, lahir di negara Malaysia yang Islamnya terpelihara dari segi undang-undang. Kita seharusnya bersyukur, dilahirkan dalam keluarga Melayu yang mendidik kita dengan Islam sejak kita kecil hingga dewasa. Kesyukuran kita bertambah, apabila kita dibandingkan dengan negara-negara luar yang penganut Islamnya tidak mengecapi keselesaan beragama sebagaimana yang kita ada. Sejak dari dahulu, cerita-cerita penindasan ke atas Muslim diperdengarkan – membuatkan kita rasa bertuah dilahirkan di bumi Malaysia ini.

Saya yakin, majoriti dari kita akan bersetuju dengan pemikiran sebegini. Saya pun, pada superficial-nya, bersetuju dengan statement sedemikian. Tiada apa yang salah, tidak ada apa yang bercanggah dengan syarak pun. Malah, sesetengah akan berkata bagus, kerana amalan bersyukur adalah amalan yang sangat digalakkan dan dituntut disisi Islam.

Tetapi saya pesan kepada para pembaca – sila renung kembali, apa NILAI/HARGA Islam yang anda sendiri letakkan kepada diri anda.

Hakikatnya, persoalan ini merupakan satu retrospeksi kepada diri kita sendiri, mengenai NILAI sebuah Islam yang kita miliki ini.

Bagi menjelaskan point saya ini, mari kita keluar dari kerangka “Melayu” sebentar. Ada banyak pernyataan-pernyataan yang membawa konotasi yang sinonim dengan pernyataan di atas. Kita sering mendengar orang berkata,

“Beruntunglah aku lahir sebagai anak seorang ustaz, (kerana itu aku mendapat didikan agama)”

“Bertuah aku bersekolah di sekolah agama, (kerana itu aku mendapat Islam)”

Sepertimana persoalan yang saya lontarkan tersebut, tentulah tidak ada yang salah terhadap statements sebegini. Ianya jelas difahami. Namun hakikatnya, mari kita renung kembali, adakah kita menyandarkan nikmat Islam yang kita ada ini kepada sesuatu faktor yang di luar kawalan kita?

Selalu kita dengar orang menyebut – Islam itu tidak dapat diwarisi. Anak seorang ustaz – bahkan – anak seorang Nabi pun, sebagaimana yang diceritakan Allah didalam surah 11:42-43 – tidak menjamin dirinya mendapat keimanan yang mantap dan ketaatan kepada agama Islam. Begitu juga, adakalanya kita mendengar kes-kes maksiat melibatkan para pelajar sekolah agama, ianya menjadi satu keaiban kepada institusi berkenaan.

Bukanlah kita hendak merendah-rendahkan atau memperlekehkan para anak ustaz ataupun para pelajar sekolah agama, dan jauh sekali kita memperlekehkan bangsa Melayu (jika kerangka melayu digunapakai), hakikatnya kita sedar bahawa Islam itu sama sekali tidak disandarkan kepada siapa bapa kita, di mana kita belajar, dari keturunan mana kita berasal.

Begitu juga jika kita memandang statements berkenaan dari sudut pandang lain. Jika dilahirkan sebagai anak seorang ustaz itu dikatakan beruntung, maka adakah satu kerugian jika dilahirkan sebagai anak seorang petani, atau hatta anak seorang penzina? Dan jika disekolahkan di sekolah agama itu dipandang sebagai bertuah, maka malang lah mereka yang belajar di sekolah biasa? Pastinya bukan ini yang kita cuba maksudkan dan sampaikan dari pernyataan di atas, namun dengan pernyataan tersebut, tidak dapat tidak ia akan memberi konotasi sebegini kepada sebilangan yang lain.

Begitulah hakikatnya jika kita menggunakan kerangka “Melayu” sekalipun. Berapa ramai yang dilahirkan dalam keluarga Melayu, tetapi tidak mempunyai penghayatan Islami yang tinggi? Dan berapa ramai pula yang dilahirkan Melayu, dari kalangan para penjenayah, pemaksiat dan ahli bida’ah di negara kita?

Dengan menyebut bahawa kemenangan Islam terletak di tangan orang Melayu, secara tidak langsung kita awal-awal sudah mengisytiharkan kekalahan bangsa-bangsa lain didalam perjuangan Islam yang sebahagian dari mereka bawa. Sedangkan kita sendiri mengenali, tokoh-tokoh tempatan seperti Shah Kirit, Lim Jooi Soon, Xifu Naseer yang banyak mengembangkan dakwah Islam merentasi batasan budaya, bangsa dan bahasa di Malaysia, tidakpun berasal dari bangsa Melayu. Malah ada pula dalam kalangan kita yang tergamak mengatakan, dakwah kepada kaum Cina di Malaysia sudah tidak relevan, kerana mereka mustahil menjadi “tuan” di tanah air kita. Ini sesuatu yang memalukan, dan ofensif kepada kaum lain, namun kerana ianya disebut atas kapasiti “Islam”, maka ianya membawa fitnah ke atas Islam itu sendiri.

Nilai Sebuah “Islam”

Kembali kepada perbincangan kita, iaitu mengenai NILAI sebuah Islam itu. Hakikarnya apabila berkata sedemikian, kita menyandarkan nilai/harga Islam yang kita ada, kepada faktor-faktor yang di luar kawalan kita – siapa ayah kita, di sekolah mana kita belajar, dari keturunan mana kita dilahirkan.

Contohnya, menyandarkan nilai/harga Islam kita ini kepada “Melayu”.

Which is, apa itu “Melayu”? Banyak dan besar perbahasan mengenai istilah ini. Ada yang mengambil definisi tersebut sebagaimana yang disebut didalam perlembagaan, walaupun sukar untuk kita menerima hakikat bahawa definisi itu sudah tidak relevan dan telah obsolete. Ada yang membincangkan mengenai definisi “Melayu” dengan mengambilkira sejarah, epistemologi dan asal usul, menjangkau ke zaman pre-kesultanan lagi.

Namun saya pasti kita semua bersetuju, seorang anak yang dilahirkan kepada satu pasangan Melayu (atau salah seorangnya Melayu?), maka automatik anak tersebut juga Melayu. Maka dari perspektif saya, ini bermaksud “Melayu” itu hanyalah bergantung kepada jujukan kod-kod genetik yang datang dari sperma ayah dan ovum ibu kita, itu sahaja.

Maka renunglah sendiri, adakah kita menyandarkan nilai/harga sebuah ISLAM itu kepada barisan kod-kod ini yang jika dikira dari segi saiz, tidak sampai 10 nanometer?

Tujuan Satu Persoalan

Setiap persoalan ada tujuannya. Persoalan yang tiada tujuan, adalah satu persoalan yang sia-sia. Begitulah juga dengan persoalan yang saya lontarkan ini, sebenarnya mempunyai satu tujuan yang sangat penting.

Persoalan ini penting kerana ia membuatkan kita menilai kembali, di mana kita meletakkan HARGA ISLAM yang kita katakan nikmat ini. Kerana punca pasak segala permasalahan yang melanda ummah hari ini, titik tolaknya berasal dari bagaimana kita meletakkan nilai Islam dalam diri kita.

Permasalahan seperti krisis identiti, masalah gejala sosial, kemurtadan, dan sebagainya – jika kita trace dan tentukan semula, nescaya kita akan dapati ianya bertitik tolak dari persoalan yang satu ini.

Sukar untuk diakui, namun hakikatnya ramai di antara kita yang menganggap ISLAM yang kita miliki ini adalah Islam yang kebetulan. Iaitu kebetulannya kita lahir dalam keluarga yang Islam, maka kita menjadi Islam. Mungkin ramai yang zahirnya pada lidah menafikan, namun hakikatnya itulah yang menjadi jati diri kita. Atas jati diri yang rapuh inilah, masalah-masalah seperti kemurtadan berlaku. Kenapa seseorang itu murtad? Kerana dia tidak merasakan pentingnya “ISLAM” itu pada dirinya. Dia merasakan yang nilai sebuah ISLAM yang dia ada itu boleh ditukarganti dengan sesuatu yang lain. Kenapa masalah sosial berlaku? Kerana penghayatan ke atas syariat-syariat ISLAM itu dirasakan tidak perlu, tidak penting untuk menjadi panduan dalam hidup. Apabila ISLAM itu dinilai pada sudut materi dan duniawi yang mudah untuk kita letakkan secara kuantitatif dan fizikal.

Dengan memahami perkara ini, kita boleh memahami kenapa ada segelintir pihak mempunyai sikap tersendiri ke atas isu-isu tertentu. Contohnya, mengenai isu undang-undang menghalang orang murtad. Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, merupakan antara yang berpandangan bahawa menghalang orang murtad dengan cara sebegini adalah satu usaha yang membuang masa. Kerana hakikatnya kita bukan mempertahankan akidah orang tersebut. Sebaliknya kita hanyalah mempertahankan tulisan “ISLAM” pada kad pengenalan orang itu sahaja. Kerana seolah-olahnya, nilai dan harga agama Islam bagi kita, adalah terletak pada lima huruf I.S.L.A.M. pada kad pengenalan!

Kita rasa seronok apabila kita berjaya dari segi undang-undang, menghalang si polan tersebut dari menukar perkataan Islam didalam kad pengenalannya. Namun tanyalah diri kita sendiri balik, adakah kita benar-benar berjaya menghalang si polan tersebut dari murtad? Jika ada yang menjawab ya, maka keluarkanlah diri anda dari perangkap delusi ini. Hakikarnya, secara akidahnya, si polan tersebut tetap sudah murtad. Kita rasa kita sudah berjaya “memperjuangkan akidah”, sedangkan kita cuma syok sendiri.

Nilai Islam Berdasarkan Sirah

Hakikatnya, nilai jati diri berlandaskan ISLAM, bukannya berlandaskan “aku lahir sebagai melayu” atau “aku ini anak seorang ustaz” dan sebagainya yang menjadi bata kukuh melapisi akidah para sahabat radhia Allahu anhum. Lihat sendiri latarbelakang mereka. Kebanyakan mereka, lahir dalam keadaan jahiliyah. Dibesarkan dalam keadaan jahiliyah. Ulama’ tafsir terkenal, Ibnu Kathir, ketika mentafsirkan Surah Hujurat ayat 13, iaitu ayat yang sering disalahguna untuk membuktikan idea kebangsaan disisi Islam, menyebut sebuah hadis yang terkenal:

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari didalam sahihnya, bahawa Abu Hurairah radhiallahu anhu berkata, terdapat beberapa orang bertanya kepada baginda Rasulullah shalla Allahu alayhi wa sallam,

“Siapakah orang yang paling mulia?”

Maka baginda menjawab, “Orang yang paling mulia disisi Allah adalah orang yang paling tinggi taqwanya”

Mereka yang bertanya itu berkata, “Kami bukan hendak mengetahui mengenai itu, ya Rasulullah”

Baginda menjawab lagi, “Maka orang yang paling mulia adalah Yusuf, Nabi Allah, anak Nabi Allah, anak Khaleel (Kekasih) Allah.”

Mereka yang bertanya tersebut berkata lagi, “Kami bukan hendak mengetahui mengenai itu.” Ketika itu tahulah Rasulullah, bahawa mereka sebenarnya mahu Rasulullah menyebut mengenai bangsa mereka. Lantas Rasulullah bertanya,

“Jadi, kalian mahu bertanya aku mengenai keturunan Arab?”

Ya,” jawab mereka. Maka Rasulullah menjawab dengan jawapan yang cukup komprehensif,

 فَخِيَارُكُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُكُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقُهُوا

“Mereka yang terbaik ketika jahiliyah, maka terbaik juga ketika Islamnya, jika mereka memahami (Islam)”.

Dari kisah ini kita dapat lihat, sama sekali Rasulullah tidak mahu mempertahankan bangsa Arab. Kali pertama ditanya, Rasulullah menyebut dengan jelas sebagaimana yang disebut didalam surah Hujurat ayat 13 tersebut, iaitu orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa, bukannya berdasarkan kepada susur galur keturunan bangsa. Didalam hadis ini juga, apabila ditanya mengenai di mana letaknya kemuliaan, Rasulullah tidak menjawab dari sudut bangsa tetapi baginda shalla Allahu alayhi wa sallam menyatakan dengan cantik sekali, bahawa ianya terletak pada kefahaman Islam. Jawapan tersebut applicable untuk semua bangsa – tidak hanya Arab sahaja, ironinya di zaman kita ini lebih 1400 tahun setelah Rasulullah wafat, ada pula yang cuba mengkhususkannya hanya kepada bangsa Melayu sahaja.

Kerana itulah, pada hari pembukaan Kota Makkah (Fathul Makkah), setelah Rasulullah shalla Allahu alayhi wasallam bertawaf, baginda menyampaikan khutbah di atas unta baginda dengan berkata,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَدْ أَذْهَبَ عَنْكُمْ عُبِّيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ وَتَعَظُّمَهَا بِآبَائِهَا، فَالنَّاسُ رَجُلَانِ: رَجُلٌ بَرٌّ تَقِيٌّ كَرِيمٌ عَلَى اللهِ تَعَالَى، وَرَجُلٌ فَاجِرٌ شَقِيٌّ هَيِّنٌ عَلَى اللهِ تَعَالَى، إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ:

“Wahai manusia! Allah yang Maha Tinggi telah membuang daripada kamu slogan jahiliyah dan tradisinya menyanjung-nyanjung nenek moyang (keturunan). Sesungguhnya manusia itu ada dua – yang bertaqwa, takutkan Allah, mereka ini mulia disisi Allah, atau (yang kedua) mereka yang ingkar, kecil mereka disisi Allah. Sesungguhnya Allah azza wa jalla berfirman (dan Rasulullah membacakan ayat 13 Surah Hujurat tersebut).

Kedua-dua hadis ini boleh dirujuk didalam tafsir Ibnu Kathir bagi ayat Hujurat 13 tersebut.

Langkah Penyelesaian

Ini adalah backward error-analysis saya terhadap masalah ummah,  secara introspektif. Iaitu menganalisa dan mengenalpasti bahawa punca masalah-masalah yang berlaku dalam ummah ini, titik tolaknya berasal dari diri kita sendiri. Banyak kali Allah sebut, bahawa keburukan dan kerosakan yang menimpa kita, adalah berpunca dari tangan-tangan kita sendiri. Boleh rujuk didalam alQuran pada 2:195, 30:36, 30:41, 42:48, 22:10. Semuanya Allah tegaskan, ianya berpunca dari diri kita sendiri. Dan kerana itu jualah, sebagai penyelesaiannya Allah berfirman didalam surah 13:11, ayat yang terkenal “Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Sesetengah orang, tidak gemar akan pendekatan ini. Kerana pendekatan ini, memerlukan kita untuk meruntuhkan ego bagi mengakui kelemahan diri. Ia memerlukan kita untuk berhijrah dari keadaan kita yang sedia selesa ini. Bagi orang sebegini, mereka lebih gemar pendekatan meletakkan beban kesalahan kepada orang lain atau faktor-faktor luaran dan cuba sedaya upaya untuk mengekang faktor-faktor ini. Contohnya, menyalahkan Yahudi bagi segala kebejatan sosial yang ada. Atau menyalahkan gerakan kristianisasi sebagai punca masalah murtad, sehingga mengadakan rapat umum sebagai amaran kepada gerakan kristianisasi ini.

Hakikatnya, sebagaimana yang di-sunnatullah didalam ayat-ayat yang saya nyatakan di atas, melihat kepada masalah ummah dan menyelesaikannya PERLU secara introspektif. Kerana kita bukan berhadapan dengan masalah kristianisasi sahaja. Apostasy secara umum iaitu meninggalkan agama terus dan bukannya berhijrah agama, tetap menjadi satu ancaman yang kuat. Malah, kita mengalami ancaman internal juga. Usahkah disebut senarai segala isme yang ada, cukup melihat TV atau suratkhabar didepan mata. Takkan tiap-tiap bulan kita nak adakan rapat umum sebagai usaha mengekang masalah ini? Saya siap mencadangkan lagi, kita tetapkan setiap bulan ada temanya. Jika bulan Oktober ini kita berkumpul menentang kristianisasi, apa kata bulan hadapan kita berkumpul menentang sekularisma pula. Bulan Disember, menentang komunisma. Bulan Januari, menentang Freemasonry. Tentulah tidak ada orang yang akan melarang, kerana ianya sebahagian dari nahi munkar, namun tanyalah diri kita adakah ianya satu langkah yang wajar?

Kesimpulan

Sesungguhnya, persoalan

“Will I still be a Muslim today, if I were not born as a Malay?”

mengajak kita untuk muhasabah kembali di mana kita meletakkan nilai/harga Islam pada diri kita. Adakah pada satu hakikat kita dilahirkan oleh ibubapa Islam, sedangkan di luar sana ramaaaiii Muslim yang tidak mempunyai ibubapa yang Islam. Atau mungkin pada hakikat IC kita tertulis “Islam”, walhal saudara-saudara seakidah kita di Perancis tidak ada pun peruntukan undang-undang melindungi Islam.

Ayuh kita renung sendiri dan fahami sendiri, di mana HARGA sebuah ISLAM yang kita ada ini. Kalaulah jawapannya semudah mengkhatam buku “Apa Erti Saya Menganut Islam” oleh Syeikh Fathi Yakan, maka saya mencadangkan kita suruh budak-budak kita mengaji buku ini dua tiga kali pun dah cukup untuk membanteras isu murtad. Sayangnya, ianya tidak semudah itu.

Mencari nilai Islam yang sebenar, adalah satu perjuangan yang perlu ditempuhi oleh kita semua regardless of siapa kita, siapa ibubapa kita, dari keturunan mana kita berasal. Kerana perjuangan yang sama inilah yang ditempuhi Bilal bin Rabah dan Sumayyah, sehingga membuktikan betapa harga Islam itu priceless dan sudi dibayar dengan nyawa sendiri. Perjuangan yang sama inilah yang ditempuhi Ah Chong dan Muthi yang tatkala memeluk Islam, disisih oleh keluarga mereka dan dipulau dan putus saudara dan sebagainya. Mereka ini, layak untuk memanggil Islam yang mereka ada sebagai satu “nikmat”.

Kita? “Nasib baik aku beranak-beranak dah terus Islam,”. Dengan ayat ini, pun kita ada hati nak panggil Islam satu “nikmat”? =.=

Wallahua’lam, wassalam.

10 thoughts on “Will I still be a Muslim today, if I were not born as a Malay?

  1. Jazakallahu khairan kathira. Isu yang diketengahkan sangat relevan dengan apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini. Kita harus sedar, jangan kerana kita yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam ini menyebabkan Islam itu menjadi fitnah lantaran sikap kita sendiri yang langsung tidak menzahirkan keindahan Islam. Kita mulia selagi Islam terus disanjung tinggi dan digantung dalam hati. Namun, di manakah anak-anak muda kita hari ini? Ya Allah, kau berikanlah kami kekuatan agar lahir dari kalangan kami pemimpin muda sehebat al-Fateh! Amiin. :)

  2. memang benar kata pengarang
    cuma,perkara ini diolah mengikut kefahaman dan perspektif pengarang dari satu sudut.ada baiknya,isu2 hangat yang berlaku dikaji lebih mendalam dan kritikal daripada mengulas sesuatu isu surface2 sahaja.misalnya,
    1)isu kristianisasi.mmg isu kristianisasi itu tak dpt diselesaikan dgn hanya buat perhimpunan.tetapi,matlamatnya utk mnyedarkan masyarakat yg mereka ini dalam keadaan yg bahaya,diserang dari segenap penjuru.sy juga yakin,mereka yg mnganjurkannya ada langkah2 susulan
    2)isu melayu:personally,sy merasakan tajuk entry ni bukanlah sekitar melayu,tetapi main toopik adalah penghayatan islam.lg satu,benarkah rasulullah menolak bangsa.memandang bangsa lain lebih hina mmg ditolak.tp kalo merasakan izzah dgn bangsa,adakah salah?rasullullah pernah dgn izzah mngatakan baginda adalah drpd keturunan arab.dan byk lagi cerita2 lain.di sini,perlu kita tabayun/imbang dalil2 yg diperoleh.jgn kita cb mncari dalil yg hanya menyokong dan x cb mncari dalil2 yang bertentangan

    • Terima kasih atas komen!

      1. Mengenai isu kristianisasi dan perhimpunan, saya secara umumnya menyokong. Sebagaimana isu palestin dan orang buat demonstrasi, juga saya menyokongnya. Namun yang kurang disenangi adalah how it turns out to be – perhimpunan yang umum untuk semua umat Islam dicemari sepanduk2 melaungkan bangsa, serta secara mudah melabel sesiapa yang tidak menyokong ertinya dia itu memperjuang islam liberal atau taksub politik. Terlalu simplistik begitu. Namun secara umumnya, saya menyokong dari segi tujuannya tersebut, walaupun cara itu cara yang kurang efisien namun dalam situasi yang ada kita perlu mobilisasi segala peluang yang ada.

      2. Ya, anda tepat apabila mengatakan artikel ini bukan isunya isu bangsa. Namun tidaklah pula saya memaksudkan untuk menolak bangsa, sebagaimana yang saya nyatakan di awal-awal artikel, saya juga mempunyai rasa bangga dengan bangsa saya.

      Tetapi yang saya tolak adalah penyandaran agama kepada bangsa, ianya satu penyandaran yang menyalahi sifat asal Islam itu sendiri yang universal.

      Objektif yang saya cuba sampaikan melalui artikel ini dapat dirumuskan dengan tepat oleh kalam Umar al-Khattab yang terkenal,

      “Kita dahulu kaum yang hina, Allah muliakan kita dengan Islam. Barangsiapa mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya akan dihina oleh Allah”

      Kuncinya adalah – “Allah muliakan kita dengan Islam”. Sesuatu bangsa itu – tak kira bangsa apa sekalipun – menjadi mulia dengan Islam. Bukannya – Islam itu didaulatkan oleh bangsa tertentu. It’s two different thing about this.

      InshaAllah saya banyak meneliti hujah-hujah dari kedua-dua pihak yang menyokong kebangsaan dan menentang kebangsaan, dan saya katakan kedua2nya benar pada kondisi dan keadaannya yang tersendiri. Ianya konsisten dengan dalil-dalil Nabi yang jika kita fahami dari sudut asbabul wurud dan suasana masyarakat Arab ketika itu, kita akan tahu kenapa Nabi menyebut sekian sekian.

      Wallahua’lam.

  3. sangat benci bila isi form or etc., letak agama Islam, then directly kena cop “malay”. Harap orang Malaysia buka mata, Islam tidak semestinya Melayu, tolonglah ambil kisah jugak dengan orang Sabah Sarawak yang bukan berbangsa Melayu tetapi Islam. Why do Malaysian think Malay is the only Muslim??

    • because..ikut perlembagaan m’sia macam tu..siapa dia melayu?iaitu..orang y beragama islam & amalkan islam dan adat melayu..(dlm perlembggn ni..actually nak menjamin kedudukan bgsa melayu dan kedudukn islam kat m’sia…)..tapi tak de la nak nafikan orang lain (kaum lain) x leh beragama islam..sbb islam tu kan syumul..u semua orang..

  4. Saya sendiri adalah melayu yg berfikiran seperti di atas..byk perkara yang kita boleh lihat dalam masyarakat kita di Malaysia ni..antaranya isu orang bukan islam berketurunan bukan melayu lebih maju dalam ilmu,kekayaan dari melayu muslim..sedangkan islam menggalakkan kita byk ilmu dan kaya supaya kita boleh membantu org lain..bangsa lain lebih bersatu padu dan berfikiran positif berbanding kita sedangkan islam mengajarkanya..byk lagi perkara2 lain yg membuat kita tertanya2..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s