Final Lap

Bismillahi tawakkaltu ala Allah.

Saat awal ketibaanku di bumi salju ini, aku sering mengira-ngira hari. Ketika di dua minggu pertama keberadaanku di sini, aku mengira aku sudah menghabiskan 0.5 peratus dari perjuanganku. Tinggal 99.5% peratus lagi yang berbaki. Hanya dengan nilai 0.5 peratus itu pun aku sudah cukup gembira.

Minggu lepas, Jumaat lepas setepatnya, merupakan hari terakhir aku bagi semester pertama tahun terakhir. Sepatutnya dijangkakan tamatnya kelas pada hujung minggu ini, namun memandangkan jabatan perubatan kanak-kanak perlu bersiap sedia untuk menguruskan sesi peperiksaan pelajar tahun kelima, maka kami diberi pelepasan awal. Syukur alhamdulillah, daripada 12 semester pengajianku di sini, aku telah lalui 11 dengan jayanya.

11 semester, 11/12 dari keseluruhan perjuanganku, hampir 92 peratus telah aku selesaikan. Subhanallah. Lucu terkenangkan tatkala aku baru sampai, mengira-ngira kalendar dan hari tersebut.

Rupanya sudah terlalu lama masa berlalu..terlalu cepat juga.

11 semester yang aku lalui, bukanlah mudah. Setiap semester, ada sahaja ceritanya. Setiap semester aku beroleh ibrah. Ada yang aku pegang erat dengan kemas di hati, dan ada juga yang aku lalai melupakannya membuatkan aku tidak putus-putus dihempuk dengan masalah yang sama berulangkali.

Tetap, kehidupan berjalan seperti biasa. Mustahil untuk aku pause, mustahil untuk aku rewind. Memang jika diberikan peluang untuk aku rewind kembali kehidupanku, terdapat beberapa ketika yang aku harap aku dapat ubah. Namun difikirkan kembali..jika aku ubah ia, mungkin aku tidak lagi berada di tempat aku berada sekarang, buat apa yang aku sedang buat sekarang, bersama dengan orang yang bersamaku sekarang.

Maha Suci Allah yang mentakdirkan bagi hambaNya liku-liku perjalanan, bagaikan mengalirnya air dari puncak bukit yang tinggi ke lembah pantai bertemu lautan. Mengalirnya air itu tiada diketahui arahnya. Menempuhi batu, menuruni bukit, menjadi air terjun. Adakalanya bertakung menjadi kolam, tasik. Adakalanya dicemari pencemaran, adakalanya menjadi tempat unggas melepaskan dahaga dan keletihan.

Namun pengakhirannya tetap sama. Ke lautan yang luas dan kaya. Dan begitulah Allah menceritakan analoginya apabila lautan yang luas itu tersejat menjadi awan, kembali turun menjadi hujan, membentuk anak-anak sungai yang baru. Alangkah mudah bagi Allah, membangkitkan kita dihadapanNya kelak, dan para penghuni syurga itu, akan terkenang-kenang kehidupan perit jerih dan nikmat suka duka mereka di dunia.

Dan berilah khabar gembira, kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya bagi mereka syurga itu, yang didalamnya mengalir sungai-sungai, tiap-tiap mereka direzekikan dengan buah-buahan syurga, lantas mereka berkata – “Inilah yang kami dapat dahulu (semasa di dunia)!” mereka diberi rezeki yang sama rupanya tetapi berbeza hakikatnya,, dan disediakan bagi mereka pasangan-pasangan yang suci, sedang mereka kekal didalamnya selama-lamanya.

(Al-Baqarah 2:25)

Segala liku-liku yang aku lalui sepanjang 11 semester ini, bahkan, sepanjang kehidupanku ini, mencorakkan aku menjadi aku yang sekarang ini. Terlalu banyak lompong dan kecacatan yang aku tabirkan, dan apa yang aku harap adalah pengampunan dan kasih sayang dariNya. Kekuatan perlu dicari dan dibina, tidak lagi hanya boleh ditunggu jatuh dari langit.

Masa depan. Satu perkara yang cukup sulit untuk difikirkan, direnungkan. Mungkin kerana itu jualah, perbuatan meramal masa depan merupakan perbuatan yang cukup tercela disisi agama. Masa depan itu, fitrahnya adalah ketidakpastian. Dengan ketidakpastian itu melahirkan usaha yang berpanjang, serta doa dan harapan yang tidak putus-putus kepadanya. Dengan ketidakpastian itu, membebaskan manusia dari pergantungan sesama manusia dan sesama makhluk, meletakkan pergantungan kepada Allah dan hanya Allah.

Jika kita tahu apa yang akan berlaku kepada diri kita sejam selepas sekarang, sehari selepas sekarang, setahun selepas sekarang, maka apa gunanya segala usaha, pengharapan dan munajat?

Dan hakikatnya itulah yang aku lalui. Sungguh suatu ketika dahulu langsung tidak pernah terdetik didalam hatiku, menjejakkan kaki ke bumi salju ini, menempuh jalan ilmu perubatan ini. Sungguh aku langsung tidak pernah terdetik banyak perkara dalam kehidupanku. Maha Suci Allah yang mentakdirkan untukku perkara-perkara yang baik bagiku, meskipun ada diantaranya pahit dan kelat dan perit untuk ditelan.

Walaa takilni ila nafsi tarfata ayn”

InshaAllah, hujung minggu ini aku akan merantau bersendirian ke bumi Turki. Ianya sesuatu yang aku perlu lakukan dalam usaha mencari makna diri, pulang ke sebuah ketenangan. Sebuah kampung bernama Faralya menjadi tempat tujuan, moga bertamu dalam keredhaan Tuhan.

Mengambil ibrah dari bertamunya Musa bersama Khidir, mengambil ibrah dari perjalanan rehlah para ulama hadis, mengambil ibrah dari semangat Abu Ayyub Al-Ansari mahu pergi sejauh-jauhnya.

Aku bercadang untuk membuat video travelog sepanjang perjalananku nanti. Sekadar untuk kenangan peribadi, untuk tatapan diri, keluarga, anak cucu di masa hadapan kelak. InshaAllah akan dimuatkan di saluran YouTube ku dari masa ke semasa.

Akhir kata, aku memohon salah silap pada sebarang penulisanku dari awal blog ini hingga akhir. Leokid’s Life wujud sebagai tempat insan ini membicarakan mengenai kehidupannya, sebarang manfaat yang diperoleh dari laman ini maka kupohonkan sekuntum doa dari kalian mendoakan penulisnya. Agar laman ini menjadi saksi kepadanya di sana kelak, inshaAllah.

Wallahua’lam, wassalam.

3 thoughts on “Final Lap

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s