Ala, benda kecik je tu!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jika kita membaca hadis-hadis yang menceritakan sifat-sifat Allah, Rasulullah shalla Allahu alayhi wasallam banyak “meletakkannya didalam konteks”. Contohnya hadis,

“Allah lebih gembira menerima taubat hambaNya daripada hamba yang berjalan di padang pasir, lalu ia kehilangan kenderaannya yang memuatkan makanan dan minumannya. Ia menyangka akan mati, lalu ia menggali lubang, dan tidur di dalamnya sambil berkata,’Aku akan tidur di dalam lubang ini sehinggalah kematian datang menjemput’

Tiba-tiba kenderaan dan makanan yang ia bawa berada di atasnya. Sampaikan ia berkata, ‘Ya Allah Kau hambaku, dan aku TuhanMu.(tersasul akibat terlalu gembira)

Maka Allah lebih gembira menerima taubat hambaNya daripada kegembiraan hamba tadi. (Muttafaqun ‘alaih)

Dalam hadis ini, Rasulullah tidak hanya menceritakan bahawa Allah itu Maha Penerima Taubat. Tapi Rasulullah meletakkannya didalam konteks agar pendengar/pembacanya dapat benar-benar merasakan betapa hebatnya sifat Allah itu.

Contoh kedua, dalam hadis,

Dari Umar bin Alkhattab radhiallahu anhu, katanya: “Kepada Rasulullah disampaikanlah tawanan perang. Tiba-tiba ada seorang wanita dari golongan kaum tawanan itu berjalan ketika menemukan seorang anak yang juga termasuk dalam kelompok tawanan tadi. Wanita itu lalu mengambil anak tersebut lalu diletakkannya pada perutnya, kemudian disusuinya.

Rasulullah lalu bersabda: “Adakah engkau semua dapat mengira-ngirakan bahawa wanita ini akan sampai hati meletakkan anaknya dalam api?”

Kami – yakni para sahabat – menjawab: “Tidak, demi Allah – maksudnya wanita yang begitu sayang pada anaknya, tidak mungkin akan sampai meletakkan anaknya dalam api.”

Selanjutnya baginda bersabda: “Nescayalah Allah itu lebih sayangkan sekalian hamba-hambaNya berbanding kasih sayangnya wanita ini kepada anaknya.” (Muttafaqun ‘alaih)

Kita memang sedia tahu, “Allah itu Maha Penyayang”. Setiap hari entah berapa kali kita mengulang-ulang Ya Raheem. Namun kita kurang dapat menghayati nilai sebenar dari asmaNya Ar-Raheem tersebut. Tetapi apabila Rasulullah meletakkan dalam bentuk konteks sebegini, serta merta kita dapat tahu betapa tingginya kasih sayang Allah, melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Sunnatullah “meletakkan perkara pada konteks”.

Teknik meletakkan sesuatu didalam konteks ini merupakan satu sunnatullah kepada bagaimana manusia memandang sesuatu. Sebagai contoh, Steve Jobs sering menggunakan teknik ini didalam pembentangannya, bagi meningkatkan impak kepada para pemerhati.

Ketika awal-awal memperkenalkan produk iPod, jika beliau hanya menyebut “iPod mempunyai kapasiti 5GB“, orang yang mendengarnya kurang dapat terkesan dengan sebutan tersebut. Ada apa dengan 5GB? Tetapi apabila beliau menyebut, “Ianya bersamaan dengan 1000 buah lagu didalam poket anda“, ianya meletakkan nilai 5GB didalam konteks dan orang yang mendengarnya terus terasa impaknya. “Huiyo, 100 lagu pun aku tak larat dengar, inikan pula 1000 lagu!

Begitu juga apabila beliau pernah membentangkan pada tahun 2003, “Pecahan saham (marketshare) syarikat Apple adalah 5% didalam industri komputer“. Pemegang saham melihat nilai 5% itu sebuah nilai yang kecil. Tetapi apabila Steve Jobs menyambung, “Ianya lebih besar dari nilai syarikat BMW dan Mercedes didalam industri automobil“, ianya serta merta memberi makna yang besar pada nilai 5% tersebut!

Allah mengajar kita “melihat” dengan betul

Hakikatnya, Allah sendiri banyak memperbetulkan pandangan manusia melalui ayat-ayatNya didalam alquran, agar kita melihat sesuatu pada konteks yang betul. Banyak perkara-perkara yang kita anggap biasa, tetapi Allah suruh kita memerhatikannya kerana di situ terdapat tanda-tanda keagunganNya.

Sebagai contoh, burung. Kita tiap-tiap hari tengok burung. Di mana sahaja kita pergi, kita jumpa burung. Ada burung gagak, burung merpati, burung belatuk, burung helang, burung pipit, burung enggang, burung penguin (err penguin, burung ke?)

Pendek kata, tiap-tiap hari kita jumpa burung, hinggakan kita rasa ianya satu perkara yang biasa. Tetapi Allah menyebut didalam alQuran,

“Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan sayap-sayap mereka, dan mengatupkannya? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) kecuali Yang Pemurah.” (Al-Mulk 67:19)

Dalam ayat ini, Allah memperbetulkan pandangan kita, agar kita melihat pada burung dari sudut konteks yang lain. Selama ini kita tak pernah terfikir pun, tapi bila kita melihat dari konteks yang Allah sebutkan ni, “Betul juga ek? Hebatnya Allah menetapkan prinsip aerodinamik yang membolehkan seekor burung terbang tinggi tanpa jatuh, malah kita manusia pula mengambil ibrah darinya lantas membina kapalterbang!

Allah mengubah pandangan manusia dari melihat sesuatu yang nampak “ordinary” kepada sesuatu yang benar-benar bermanfaat, menakjubkan, dan menimbulkan pada diri kita keinginan untuk menyebut “Subhanallah!” dan “Allahuakbar!” Begitu cara Allah meletakkan pandangan manusia pada konteks yang betul.

Ambil contoh lagi, Allah menyebut,

Dia (Allah) menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya, dan Dia (Allah) meletakkan gunung-gunung di atas bumi mengukuhkan kamu; dan Dia (Allah) membiakkan padanya (bumi) pelbagai jenis binatang. Dan Kami (Allah) turunkan air dari langit, lalu Kami (Allah) tumbuhkan padanya pelbagai jenis ( tumbuh-tumbuhan) yang baik. Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah kepadaku apa yang telah diciptakan oleh yang selain Dia (Allah); bahkan orang yang zalim itu dalam kesesatan yang nyata. (Luqman 31:10-11)

Semua itu perkara-perkara biasa yang kita lihat setiap hari. Langit, gunung, binatang, hujan, pokok, semuanya adalah perkara-perkara yang pada zahir manusia yang melihat selapis, ianya benda yang biasa. Tetapi Allah mengistimewakan benda yang “biasa” ini dengan mengatakan, inilah ciptaan Allah. Apa konteksnya?

Allah mencabar, tunjukkanlah apa benda yang diciptakan oleh sesiapa sahaja selain Allah? Apa benda yang mampu berhala ciptakan? Kita menganggap perkara itu biasa dan kecil, jika ya maka cuba lah cipta sesuatu yang setanding dengannya. Nescaya kita tidak akan mampu!

Bila diletakkan dalam konteks sebegini, sepatutnya sudah cukup untuk membuat kita terduduk! Melihat seekor semut yang melintas di hadapan kita, seraya kita teringat akan ayat ini, kita akan cakap kat diri kita – “Sepandai-pandai pun aku, aku tak boleh nak cipta serangga sekecil semut!” Subhanallah, begitulah Allah meletakkan sesuatu perkara yang kita anggap biasa, pada konteks yang betul sehingga membuatkan kita benar-benar terasa kebesaranNya!

Baaaaaaanyak lagi didalam AlQuran, Allah memberi contoh-contoh sebegini! Kalau tak percaya, rajin-rajinkanlah diri membaca dan mentadabburnya.

Meletakkan “Keajaiban” Pada Konteks

Bukan setakat itu, malah Allah juga memperbetulkan pandangan kita terhadap sesuatu yang kita anggap menakjubkan. Dalam surah Al-Kahf, Allah menempelak orang yang menganggap kisah pemuda kahfi ditidurkan didalam gua selama ratusan tahun itu sebagai sesuatu yang “menakjubkan”.

Adakah engkau menyangka, bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Al-Kahf 18:9)

Dalam Surah Maryam, bila Nabi Zakaria bertanya bagaimana mungkin dia dan isterinya akan mendapat anak, sedangkan mereka sudah tua. Allah menjawab, “Hal itu mudah bagiKu” (19:8-9). Begitu juga apabila Maryam bertanya bagaimana mungkin dia mendapat anak sedangkan dia tidak pernah disentuh lelaki, sekali lagi Allah menegaskan, “Hal itu mudah bagiKu” (19:20-21)

Dalam akhir Surah Yaasin, Allah memberi penegasan yang cukup powerful, bilamana orang mempersoalkan bagaimana Allah akan mengumpulkan debu-debu orang yang mati lalu dihidupkan balik. Allah tidak melayan pertanyaan sedemikian dengan menjawab secara terperinci bagaimana, sebaliknya Allah cukup hanya menegaskan – semudah “Kun! Fayakun!” (36:77-83). Begitulah nilainya sesebuah perkara yang kita anggap “ajaib” pada mata kita, disisi Allah.

Sejadah sujud? AlQuran tidak terbakar dalam kebakaran? Masjid tidak runtuh dalam tsunami? Ya, semua ini perkara-perkara yang mengagumkan pada pandangan kita. Tetapi Allah memperbetulkan pandangan kita, bahawasanya semuaaaaaaa itu sangatlah mudah disisi Allah!

Adalah amat rugi jika perkara-perkara “keajaiban” ini yang kita selalu gembar-gemburkan, bangga-banggakan, sedangkan yang Allah suruh kita memerhati adalah pada perkara yang sebenarnya nampak “biasa” disisi kita, tetapi perlu dilihat dengan konteks yang betul barulah membawa kita kepada menghayati sebenar-benar keajaiban keagungan kekuasaanNya!

Aplikasi penghayatan konteks

Menghayati konteks yang betul sangat penting dalam kehidupan. Nilai RM5 contohnya, mungkin bagi kita nilainya sedikit, sekadar sekali makan di kedai mamak atau topup seminggu pun tak sampai. Mungkin ramai yang tidak kisah sekiranya RM5 terbasuh dalam mesin basuh atau tercicir. Tetapi jika kita disedarkan bahawa nilai RM5 tu cukup untuk membeli sepaket beras, yang bila diberikan kepada fakir miskin, membolehkan dia makan nasi selama tiga hari, maka kita terasa besarnya nilai RM5 tersebut.

Melihat kepada konteks yang betul sangatlah penting dalam menerajui hidup di dunia ini. Kita melihat orang yang diputuskan bersalah di mahkamah kerana menggelapkan wang RM300,000 sebagai perkara yang biasa, namun tanyalah kepada seorang ibu yang memerlukan wang untuk pembedahan jantung berlubang anaknya.

Malah melihat dengan konteks yang betul bukan hanya terhad kepada soal wang semata. Kita pernah terbaca mesej yang banyak disebarkan kerana banyaknya manfaat ini;

If you want to know the value of one year, just ask a student who failed a course.
If you want to know the value of one month, ask a mother who gave birth to a premature baby.
If you want to know the value of one hour, ask the lovers waiting to meet.
If you want to know the value of one minute, ask the person who just missed the bus.
If you want to know the value of one second, ask the person who just escaped death in a car accident.
And if you want to know the value of one-hundredth of a second, ask the athlete who won a silver medal in the Olympics.

Serta pelbagai lagi perkara dalam aspek kehidupan yang perlu dilihat dengan kerangka dan konteks yang betul. Apatah lagi dalam persoalan-persoalan subjektif dan abstrak seperti perihal moral, keadilan, keamanan, kebahagiaan dan sebagainya. Bagi seorang pesawah, menikmati makan tengahari berupa ikan goreng di tepi danau itu bersama isteri tercinta lebih membahagiakan berbanding seorang kaya yang dihadapannya ada 10 jenis lauk pauk yang lazat.

Malahan menghayati konteks yang betul juga sangat penting sepanjang kita melaksanakan kehidupan dalam kerangka agama Islam sendiri. Terlalu banyak ayat alQuran dan hadis yang membetulkan perkara-perkara yang kita anggap biasa dengan pandangan yang betul.

***

Dengan konteks sebeginilah apabila Rasulullah berpesan didalam hadis, “Janganlah kamu memandang remeh kepada kebaikan, walau sekadar engkau bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.” (HR Muslim). Kita setiap hari senyum kepada ramai orang, sudah terbiasa hingga hilang maknanya, tetapi Rasulullah menyuruh jangan kita memandang remeh akan ia.

Dengan konteks sebeginilah Rasulullah memberi amaran, “Peliharalah dirimu dari api neraka walau dengan bersedekah hanya sebiji tamar” (HR Muslim). Apalah yang ada pada sebiji tamar, kita kata. Tak luak pun. Tetapi Nabi membesarkan nilainya dengan meletakkannya pada konteks sebegini.

Dengan konteks sebeginilah Rasulullah mengkhabarkan, “Hatta makanan yang engkau suapkan kepada mulut isteri kamu (adalah kebaikan)”. (Muttafaqun ‘Alaih)

Dengan konteks inilah Rasulullah membandingkan sesuatu yang saaaaangat penting, iaitu IMAN, perihal akidah, pembeza muslim dengan kufur, dengan seremeh-remeh perbuatan menghilangkan gangguan di tengah jalan (HR Muslim).

Dengan konteks inilah Rasulullah memberitahu, jika kita tahu betapa besarnya nilai duduk di barisan hadapan saf solat, nescaya kita akan mengundi-ngundi untuk mendapatkannya! (HR Bukhari)

Dengan konteks inilah Rasulullah menyebut bandingan orang mukmin yang melakukan dosa itu bagaikan gunung yang akan menghempapnya, sedangkan bagi ahli maksiat itu hanyalah bagaikan lalat yang hinggap di hidung lalu ditepisnya. (HR Bukhari)

***

Semua perkara di atas ini, pada pandangan kita nampak kecil, tetapi Rasulullah meletakkannya didalam konteks yang betul, sekaligus membesarkan nilainya, agar kita para muslimin benar-benar dapat menghayati nilainya yang sebenar disisi Allah. Nilai pandangan kita di dunia ini, adalah satu justifikasi yang fana. Rasulullah sebut lagi, bandingan dunia dengan akhirat itu bagaikan air yang menitis dari satu jari yang dicelupkan ke dalam lautan. Alangkah kecilnya bila kita disedarkan dengan bandingan sedemikian. Tetapi itulah hakikatnya.

Jika kita memahami konteks yang diberi, nescaya kita tidak akan meremehkan perkara-perkara di atas.

Begitulah juga bila Rasulullah menyebutkan betapa beratnya azab bagi orang yang mendustakan baginda, iaitu dijamin tempat didalam neraka, dengan konteks yang betul ini nescaya kita akan takut untuk forward apa sahaja yang dikatakan “Rasulullah bersabda”.

Jika kita memahami dengan konteks yang betul bilamana Rasulullah menceritakan betapa orang yang bermain tilik nasib tidak diterima solatnya, nescaya untuk membaca horoskop pun kita menggeletar takut (apatah lagi share di Facebook!)

Jika kita memahami dengan konteks yang betul bilamana Allah membandingkan orang yang mengumpat tu dengan memakan daging manusia, nescaya kita tak berani untuk mengumpat!

Jika kita memahami dengan konteks yang betul bilamana Rasulullah menceritakan orang yang mendedahkan aurat itu tidak akan mencium bau syurga sedangkan bau syurga itu boleh dirasai pada jarak sekian-sekian, nescaya kita lebih rela menghabiskan berjam-jam didepan meja solek memastikan aurat kita benar-benar tertutup hatta sehelai rambut (wanita), berbanding untuk mekap tebal-tebal!

***

Subhanallah betapa Allah sudah mengajar kita dengan sebaik-baik pengajaran, serta mengutuskan kita seorang Rasul yang menjadi pembawa mesejNya dalam kerangka manusia untuk kita contohi dan renungi. Seorang mukmin yang sangat teguh imannya, akan melihat sesuatu itu pada konteks yang betul, tidak hanya pada apa yang zahir pada pandangan manusiawi nya. Itulah ciri-ciri mukmin sejati!

“Do not think about how small the sin is, but think about who you have just disobeyed” (Ibn Al-Mubaarak, Al-Zuhd wa Al-Raqaa`iq Vol.1 pg.150.)

Ala, benda kecik je tu! Really? Think again!

5 thoughts on “Ala, benda kecik je tu!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s