Kembara Ilmu : Ibrah Perjuangan Enam Tahun

Artikel ini disumbangkan kepada sidang redaksi majalah The Letter of Avicenna terbitan Persatuan PERUBATAN Cawangan Iskandariah, Mesir. Makluman lanjut, boleh rujuk: http://wp.me/p1hsCR-1SJ

 

     “Anda ditawarkan menjalani Kursus Ijazah Perubatan di Nizhniy Novgorod State Medical Academy, Russia.”

Ayah saya terkebil-kebil menyebut nama universiti saya tersebut. Novgorod? Nizhniy? Terlalu aneh bunyinya, seaneh bayangan-bayangan yang menerpa ke dalam kepala tatkala nama negara terbesar di dunia itu dibaca.

Mungkin bagi ayah saya yang sudah hampir setengah abad umurnya itu, negara Russia masih berdaki dengan komunisma. Nama-nama dan istilah-istilah seperti Mikhail Gorbachev, perang dingin, Soviet Union, konflik Soviet-Afghanistan 1979 yang menyaksikan penentangan puak Mujahideen dan sebagainya masih menghantui minda. Juga terbayangkan Sputnik dan Yuri Gagarin dan mungkin senjata Kalashnikov dan pesawat Sukhoi.

Itulah agaknya yang bermain di fikiran ayah saya ketika mengetahui bahawa anak lelakinya ini akan dihantar ke negara tersebut.

Sedangkan saya ketika itu, apalah sangat yang diketahui mengenai negara ini. Sehabis mungkin pun, terbayangkan kenderaan artileri V2 dalam permainan terkenal zaman muda remaja, Red Alert. Juga bahasa mereka yang pelik, hatta accent mereka ketika bertutur bahasa Inggeris. Atau jelitanya Maria Sharapova jaguh tenis dunia.

Dengan keadaan jahil dan tidak tahu apa yang perlu dijangkakan tersebutlah, pada tahun 2006, saya menjejakkan kaki ke bumi Russia ini.

Impresi pertama saya – sejuk! Saya tiba di negara ini pada pertengahan musim luruh, disambut suhu sekitar 10 darjah Celsius. Seakan-akan seluruh dunia berada di dalam bilik berhawa dingin. Hampir setiap penduduk Russia yang saya selisihi, tidakpun melemparkan senyuman. Rata-rata mereka tinggi-tinggi belaka, saya cuma separas bahu mereka sahaja. Suara mereka gagah dan kasar, hatta suara makcik tua konduktor bas. Ianya terlalu berbeza dengan adat dan budaya kita rakyat Malaysia, yang mementingkan sikap lemah lembut dan sopan santun dalam bermasyarakat.

Dan di saat awal itulah, saya sedar, memandangkan saya bukan lagi berada di tanah air, justeru saya perlu berhadapan dengan seribu satu perubahan dan cabaran yang ada.

Antara cabaran terawal yang ditempuhi, tentulah, mengenai soal makan. Jika di tanah air, tentulah kita tahu, syurga makanan! Sebut sahaja apa jua makanan, semuanya boleh didapati dalam jarak tak sampai sepelaung. Dan tentulah, masakan paling sedap dan dinikmati oleh setiap manusia, adalah masakan air tangan ibu masing-masing sendiri.

Tetapi tidak di bumi Russia ini. Persoalan halal-haram sudah tentu menjadi pokok permasalahan dalam membicarakan perihal makan. Opsyen yang ada untuk makan di restoran atau di kedai-kedai, adalah sangat terhad. Mungkin di bandar besar Moscow, terdapat banyak pilihan restoran yang menawarkan makanan halal. Tetapi di bandar Nizhniy Novgorod yang tenang ini, hanya satu dua sahaja restoran halal yang ada. Manakala pilihan makanan-makanan lain termasuklah seperti makanan berasaskan seafood atau vegetarian sahaja.

Justeru mahu tidak mahu, memasak sendiri adalah satu kemestian. Tidak pernah saya tahu sepanjang berada di sini, adanya pelajar yang tidak mahu memasak. Tidak tahu memasak, mungkin, tetapi mahu tidak mahu, memasak adalah satu kemestian bagi setiap daripada kami. Saya yang ketika itu 20 tahun dimanjakan dengan masakan ibu dan masakan mamak, pertama kali memegang ayam mentah ketika berada di sini. Teknik dissection yang dipelajari di kelas anatomi, dipraktikkan pada ayam tersebut untuk dipotong. Mujurlah ada pelajar senior yang sudi memberikan tunjuk ajar memotong ayam, menyukat beras dan sebagainya. Jahilnya saya ketika itu, saya tidak tahu membezakan antara serbuk kari dan serbuk cili!

Namun mahu tidak mahu, hidup diteruskan. Kesilapan memang dilakukan, tetapi itulah cara kami belajar. Sedikit demi sedikit, kami mula membiasakan diri. Sebulan lebih berlalu, musim sejuk menjelma.

Rasa teruja melihat wap yang dihembus dari mulut dan hidung, tidaklah terbandingnya dengan terujanya ketika merasai pengalaman salji pertama. Butir-butir indah yang turun perlahan dari langit, mendarat di permukaan tapak tangan. Sejuknya terasa. Keesokannya, seluruh dunia seakan bertukar wajah. Putih menyeliputi segenap pemandangan. Bumbung bangunan, pokok yang hanya tinggal ranting, kereta yang diparkir, pesisir jalan, semuanya bertukar warna menjadi putih belaka. Cuaca juga amat menyelesakan, sekitar minus 5, cukup sekadar berbaju sejuk dengan muffler dan sarung tangan sahaja.

Tersangatlah indah, bagaikan berada di syurga.

Namun, dua minggu berlalu, tiga minggu berlalu, sebulan berlalu. Lapisan salji yang dahulunya suci putih bersih, kini dicampuri kotoran dan lumpur di jalan. Asap kenderaan dan ais hancur bercampur menjadi seakan-akan slurpee. Kesan kuning di kiri dan kanan jalan menandakan perbuatan tidak bertamadun manusia mabuk di malam harinya yang kencing merata-rata. Kepingan air yang membeku licin, menyaksikan beberapa kali saya kesakitan akibat tergelincir jatuh.

Suhu semakin rendah. Minus 15, minus 20. Baju sejuk semata-mata sudah tidak mampu berfungsi memanaskan badan. Adakalanya perlu dipakai 3,4 lapis pakaian, berserta long-john dan sweater, menjadikan saiz tubuh badan meningkat berkaliganda. Dan berhimpit-himpit pula didalam kesesakan manusia diatas bas sepanjang menuju ke kelas.

Musim peperiksaan menjelang, para pelajar perubatan pasti tahu betapa banyak ilmu yang perlu dihadam. Musim sejuk yang malamnya panjang, serta kesejukan itu sendiri, menjadi pendorong untuk malas. Memang semulajadi, jika arnab dan beruang pun mahu berhibernasi pada musim ini, tentulah manusia pun terikut-ikut sekali.

Cabarannya sangat hebat. Cabaran fizikal, cabaran mental. Namun aspek spiritual, saya kira, mengalami cabaran yang terbesar.

Musim sejuk, siangnya pendek. Justeru waktu solat sangatlah dekat dan rapat, meskipun subuh habis lewat. Jika pukul 8.30 pagi itu para pelajar masih boleh menunaikan solat subuh, jarak antara zuhur dan asar pula hanya berbeza sejam lebih sahaja, antara 12.30 dan 2 petang. Ditekan pula dengan jadual kelas yang padat, di celahan masyarakat yang jahil mengenai agama Islam ini. Sememangnya ada sahaja pensyarah yang memandang sinis kepada para pelajar yang memonteng kuliah atau datang lewat ke kelas kerana menunaikan solat Jumaat.

Cabaran musim sejuk juga menyaksikan sukarnya untuk berwuduk, meskipun ada sahaja yang memilih pendapat untuk ber-khuf. Mustahil mahu menanggalkan kasut untuk bersolat di tengah salji, justeru boleh sahaja memilih pendapat sah solat meskipun berkasut. Usahlah menunggu sejadah, cukuplah beg sebagai sutrah. Jika para pelajar perempuan sibuk mahu bertelekung, pastilah dihalau disergah, silap haribulan dipukul!

Sungguh kalaulah kejumudan beragama yang banyak di Malaysia itu dibawa ke sini, nescaya orang itu lebih rela tidak beragama!

Dan itulah sebenarnya yang terjadi, meskipun tidaklah nyata. Kesusahan-kesusahan yang dilihat pada aspek teknikaliti ini, jika tidak dipertahankan dengan iman yang kukuh, mudah sahaja para pelajar menjadi futur dan mengalah. “Susahlah hendak bersolat, ambil wuduk susah, nak solat dalam kelas tak boleh, cari kiblat tak reti”, semua itu menjadi faktor dan alasan untuk gaya hidup beragama ditinggalkan. Sama ada memang kerana diri yang jahil tidak berilmu, atau rasa beragama itu sendiri yang sudah pudar.

Di Russia, bukan seperti di Malaysia. Bukan juga seperti di majoriti negara-negara Muslim yang lain, atau setidak-tidaknya negara yang mesra biasa dengan Islam. Tiada lagi kedengaran berkumandangnya azan. Tiada ustaz ulama’ yang mengisi kuliah-kuliah pada malam hari. Tiada JAKIM untuk memantau produk, restoran mana yang halal. Tiada JAIN untuk membanteras maksiat atau menangkap khalwat. Tiada ibubapa yang memarahi sekiranya pulang lewat, atau meninggalkan solat.

Yang ada hanyalah diri sendiri bertemankan ilmu dan iman. Sama ada ilmu sedia ada sudah cukup sebagai bekalan, atau perlu diusahakan untuk ditambah. Sama ada iman itu perlu dikuatkan seiring dengan cabaran, atau diri akan futhur menjadi mangsa keadaan. Kerana itulah saya sering berkata, mengikut pemerhatian saya, para pelajar yang datang ke bumi Russia ini, akhirnya akan menjadi salah satu antara dua – sama ada menjadi lebih baik dari sebelumnya, atau menjadi lebih buruk daripada sebelumnya. Bukan sedikit yang saya tahu, rakan-rakan yang memilih jalan yang buruk. Benarlah apabila Allah menyebutkan,

“Dan Kami telah menunjukkan baginya dua jalan. Dalam pada itu dia tidak memilih jalan yang mendaki (jalan-jalan kebaikan)” [Al-Balad 10-11]

Sepanjang artikel ini, saya asyik mengulang-ulang mengenai cabaran. Sama ada fizikal, mental dan spiritual dan sebagainya, seolah-olah tiada yang bagus melainkan yang buruk belaka. Maaf saya memang tidak berhajat hendak menggula-gulakan para pembaca dengan sisi-sisi indah negara ini. Keindahan pemandangan di musim bunga, bangunan-bangunan bersuasana Eropah dan sebagainya, ya, semuanya memang ada, sebagaimana di negara-negara lain. Kalian boleh menjenguk sendiri album Facebook rakan-rakan yang berada Russia atau iklan syarikat-syarikat pelancongan yang ada untuk melihat segala keindahan tersebut.

Tetapi sengaja saya ingin memfokuskan kepada sisi keras dan kasar negara ini, agar para pembaca dapat menyelami apa yang saya rasa, fikirkan dan hadapi.

Tentulah jika dilihat pada sisi negatif semata, tersangatlah banyak. Tidak kurang juga pelajar yang menyesali apabila memilih untuk datang ke sini dan dicampakkan ke cabaran-cabaran tersebut heads down. Saya juga, perasaan menyesal dan tertekan itu pernah timbul ke benak perasaan. Bukan sekali, tetapi acapkali.

Tetapi saya tetap masih di sini. Sudah enam tahun, sudah di tahun akhir pengajian. Masih bernyawa, masih sihat (terlebih sihat). Masih bersemangat mahu belajar, dan yang terpenting, alhamdulillah, masih Islam dan sedaya upaya mahu menjadi mukmin yang lebih baik.

Merenung kembali cabaran-cabaran yang saya tempuhi itu, banyak mengajar saya dan menjadikan saya lebih kuat berbanding dahulu. Kuat dari segi ketahanan fizikal, mungkin boleh dipertikaikan memandangkan saya kini lebih “sihat” berbanding dahulu. Tetapi ketahanan mental dan spiritual, pastinya, inshaAllah.

Berada di sini, di tempat yang asing, membuatkan saya lebih rasa bersyukur dan menghargai. Dari segenap aspek. Jika di Malaysia, kita memandang remeh kepada nasi lemak yang tak habis dimakan atau ayam KFC yang dibazirkan. Di sini, kempunan nasi lemak? Masaklah sendiri. Mahu ayam KFC? Gorenglah sendiri. Meskipun rasanya tidak setanding nasi lemak bungkus 50 sen yang ada di simpang-simpang jalan di Malaysia, atau rempah Original KFC yang sedapnya hingga menjilat jari, tetapi itulah yang terbaik yang boleh diperolehi di sini.

Tika di sinilah, baru kerinduan kepada suara ustaz tua yang mengajar di masjid-masjid dan surau-surau di tanah air. Atau hatta kepada ustaz ustazah yang sudi meluangkan hujung minggu mengendalikan kelas feqah di sekolah. Kerinduan kepada nasihat-nasihat dan tunjuk ajar yang dahulunya dipandang enteng, sehinggalah bila tibanya di sini baru tertanya-tanya – “Eh air salji boleh buat ambil wuduk tak ek?” “Boleh ke kita solat jamak qasar ni, kelas direct 10 smpai pukul 2 japgi?” “Eh boleh ke solat hormat waktu dalam bas ni?”

Mujurlah perkembangan teknologi menyaksikan sumber ilmu didapati dengan mudah di hujung jari, kuliah-kuliah di YouTube dan download MP3 boleh mengisi lompong di hati. Tetapi itu bagi mereka yang prihatin dan mahu. Tiada suap menyuap. Man jadda, wajada. Berapa ramai yang hanya tidak endah dan menganggap semuanya itu remeh. “Ah aku dah balik Malaysia lepas grad nanti, aku bertaubat lah.”

Betapa tempang agama bagi mereka yang tidak ada ilmu, atau tidak mahu ilmu!

Dan sebagaimana pepatah menyebutkan, kambing yang keseorangan itu lebih mudah dibaham serigala. Atas rasa prihatin, para pelajar sendiri yang mengasaskan dan menubuhkan institusi sokongan kerohanian seperti usrah di sini. Tidak ada matlamat yang diperjuangkan, tiada pertelingkahan antara jemaah, tiada ideologi yang mahu dipertahankan, melainkan matlamat yang ada hanya satu – berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Untuk saling kuat menguatkan, ingat mengingatkan, agar tetap tsabat pada jalan Islam meskipun pelbagai cabaran yang diharungi, serta menarik dan saling menyelamatkan dari terjerumus memilih jalan yang mudah dan indah walhal batil.

Menangis, mungkin itulah yang sering dilakukan pada awal berada di sini. Tetapi tangisan haruslah diseka, hati perlulah dikentalkan, semangat hendaklah dikekalkan menyala. Langkah perlu tetap diteruskan. Hanya niat lillahi taala sahaja yang menjadi sumber kekuatan.

Kini, enam tahun saya berada di bumi ini, menjadikan saya lebih mengenali siapa diri saya. “What doesn’t kill you, make you strong.” Saya mengetahui apa kelemahan saya, dan apa kelebihan yang Allah kurniakan kepada saya. Enam tahun keluh kesah, tangis tawa yang dihadapi, semuanya itu mencorak dan membentukkan diri saya sekarang ini.

Dan kini, saya tiada rasa apa-apa, melainkan kesyukuran yang berpanjangan kepada Allah Jalla wa’ala. InshaAllah, setelah selesai semua peperiksaan (mohon didoakan!) saya akan pulang ke tanah air pada pertengahan tahun ini dalam keadaan bangga dan penuh kesyukuran, sebagai graduan dari Russia, Bumi Salju!

Alhamdulillah!

Mohd Syamirulah bin Rahim
10 Mei 2012
Medicine Street,
Nizhniy Novgorod

7 thoughts on “Kembara Ilmu : Ibrah Perjuangan Enam Tahun

  1. perkongsian pengalaman yg sgt b’gne. =)
    i.allah sye jge bkl ke sana dlm mse yg t’dkt.
    juga dlm bdg perubatan.
    moge kami dbrikn kekuatn sprt saudara.

  2. salam…emm…dulu masa first saya visit dan komen kt blog awk sy rs awk tak lah berisi mana…skrg nampak bambam skit nuh….selera nuh..huhu…anyway,cepat balik Malaysia…!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s