Final Lap

Bismillahi tawakkaltu ala Allah.

Saat awal ketibaanku di bumi salju ini, aku sering mengira-ngira hari. Ketika di dua minggu pertama keberadaanku di sini, aku mengira aku sudah menghabiskan 0.5 peratus dari perjuanganku. Tinggal 99.5% peratus lagi yang berbaki. Hanya dengan nilai 0.5 peratus itu pun aku sudah cukup gembira.

Minggu lepas, Jumaat lepas setepatnya, merupakan hari terakhir aku bagi semester pertama tahun terakhir. Sepatutnya dijangkakan tamatnya kelas pada hujung minggu ini, namun memandangkan jabatan perubatan kanak-kanak perlu bersiap sedia untuk menguruskan sesi peperiksaan pelajar tahun kelima, maka kami diberi pelepasan awal. Syukur alhamdulillah, daripada 12 semester pengajianku di sini, aku telah lalui 11 dengan jayanya.

11 semester, 11/12 dari keseluruhan perjuanganku, hampir 92 peratus telah aku selesaikan. Subhanallah. Lucu terkenangkan tatkala aku baru sampai, mengira-ngira kalendar dan hari tersebut.

Rupanya sudah terlalu lama masa berlalu..terlalu cepat juga. Continue reading

Unpredictable Spark

Terjaga aku dari tidur di pagi Selasa itu. Ketukan di pintu bilik bertubi-tubi mengejutkanku dari lamunan mimpi. Dilihat pada jam, baru pukul 6.30 pagi. Sedangkan subuh pun, pukul 8 baru masuk. Aku terpinga-pinga, mataku digosok-gosok. Pintu bilik dibuka.

“Abang Kid, abang Daus ada? Dia kata nak pergi Moscow kalau ada tempat kosong, ada satu tempat kosong ni!” Nasir bertanya kepadaku yang masih dalam keadaan mamai. Muizz pun ada sekali. Sebenarnya aku tidak pasti sama ada Muizz atau Nasir yang bertanya. Maklumlah blur di pagi hari. Daus pun terjaga dari tidurnya, dalam mamai juga menjawab, tidak.

“Daus kata dia tak mahu pergi, Muizz.”

Terngiang-ngiang hadis yang aku ucapkan kepada seseorang sebelum aku tidur malam tadi. Man salaka thoriqan yabtaghi fiihi ilmu, sahhalallahu lahu thoriqan ilal jannah. Berebut-rebut ke syurga, aku tidak mahu ketinggalan. Aku tahu aku perlukan ini.

“Abang jelah pergi, boleh?”

“Betul ni? Boleh, boleh, tapi kena bersiap cepat-cepat sedikit lah. Bas menunggu pukul 7 pagi.”

Aku mencapai tuala dan terus masuk ke bilik air, bersiap-siap. Aku kurang mengambil port mengenai program Konvensyen Pelajar Muslim Malaysia anjuran organisasi Azam Russia tersebut. Ada aku lihat posternya berulangkali melalui newsfeed rakan-rakanku. Khabarnya seorang pakar perbidanan dan sakit puan, konsultan dari Hospital KPJ akan datang menyampaikan perkongsian. Mungkin seperti biasa, mengenai perihal kerjaya, bagaimana hidup seorang doktor, fiqh perubatan, etika perubatan, benda-benda yang sememangnya biasa disampaikan oleh speaker-speaker jemputan ke bumi Salju ini. Sebab itu aku kurang ambil port agaknya.

Aku memasukkan iPad ke dalam beg sandang, dan iPhone ke dalam poket. Mujurlah kedua-duanya telah di-cas sempurna. Aku diberitahu yang kami akan pulang sejurus selepas program berakhir, maksudnya bermalam didalam perjalanan sahaja. Alhamdulillah. Lantas bertolak keluar bersama Muizz dan Nasir, dua orang juniorku.

Didalam bas, setelah mengambil tempat duduk, Ezwan pula duduk di hadapan. “Eh Kid, join jugak engkau?” “Two things come unexpected – Opportunity, or trouble” selorohku. Kami berdua sahajalah pelajar tahun akhir yang menyertai rombongan tersebut. Bas sudah dipenuhi dengan para pelajar. Hampir 3/5 bas dipenuhi pelajar wanita. Penuh. Semenjak dua hari lepas sudah ada sebilangan pelajar yang bertolak sendiri ke bandaraya Moscow tersebut menaiki keretapi. Ada yang bercadang untuk bersiar-siar di bandaraya besar tersebut sebelum program bermula, dan ada juga yang kerana tiada lagi tempat duduk kosong didalam bas tersebut.

Aku boleh dikatakan langkah kanan. Seorang juniorku tidak dapat menyertai rombongan pada minit terakhir, kerana itu ada kekosongan. Alhamdulillah.

“Man salaka thoriqan yabtaghi fiihi ilmu, sahhalallahu lahu thoriqan ilal jannah. Biiznillah.” Bisikku perlahan tatkala bas memulakan perjalanannya, memecah kegelapan pagi Nizhniy di hari itu.

Continue reading

From the ashes of 2011, a new hope shall arise.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Merenung ke skrin Macbook, jari yang jemari terhenti dengan spontan. Kedinginan subuh yang membaluti diri, menggigilkan diri Abu Suhayl tatkala comforter biru biliknya memanggil-manggil beliau untuk bergomol bersama. Hari ini hari terakhir 2011. Tahun 2011, adalah tahun yang cukup memeritkan buat Abu Suhayl. Ah, cliche! Tiap-tiap tahun pun, itulah yang disebutnya. Tidak pernah tiada tahun yang tidak menjadi ujian buatnya.

Coretan ini dinukilkan pada subuh yang hening hari terakhir 2011. Sengaja ditulis lebih awal agar Abu Suhayl dapat berbaring di atas bumi salju seraya merenung langitnya yang disinari cahaya bunga api menyambut kedatangan 2012. Merenung akan dirinya, apa yang telah ia tempuhi dan apa yang bakal mendatang..dia menjadi gementar! Entah apa Yang Maha Kuasa aturkan untuknya, sama sekali ia tidak tahu. Yang pastinya, dirinya tidak henti diuji, sememangnya hakikat seorang hamba sentiasa layak diuji, dan ujian itu berubah dari satu bentuk ke bentuk yang lain tanpa dia sedari.

Tahun 2011 ini, ujian itu datang dalam bentuk yang cukup berlainan sekali. Ia datang bagaikan angin dingin salju yang lembut, tanpa disedari membekukan setiap yang dihembusnya. Ia datang membelit kaki dan seraya perlahan mengheret tubuh ke dalam kegelapan yang bersarang jauh. Ia datang bagaikan terik mentari yang memanaskan dan menyejukkan batu, sedikit demi sedikit merekahkannya dan menghancurkannya menjadi debu.

2011 bermula dengan kasar sekali bagi Abu Suhayl. Memasuki 2011 dalam keadaan yang tergesa-gesa, dihurung dengan pelbagai program dan aktiviti. 2011 melakarkan penglibatan terakhir Abu Suhayl bersama persatuan Muslim di sini. Seminar “Perubatan Moden Adalah Perubatan Islam” merupakan produk terakhirnya berbakti kepada rakan-rakan di bumi Salju ini. Setidak-tidaknya itulah yang beliau sangkakan ketika itu.

Belumpun Januari berlalu, salju menyaksikan tunduk dan titis air matanya yang pertama. Kata-kata dari pensyarah subjek Pediatrik yang menjadi kegerunan ramai itu, benar-benar meruntun hatinya didalam peperiksaan tersebut. Bukan, ianya bukan kata-kata yang kejam. Ianya bukan kata-kata yang memusnahkan. Ianya hanyalah kata-kata berupa kebenaran dalam kekecewaan. Abu Suhayl berazam sedari itu, nama Maria Gregoryevna akan sentiasa terpahat dalam dirinya, sebagai insan yang mengetuk hati yang membuku dan kepala yang membatu.

Bukan Abu Suhayl juga. Dunia pun, menyaksikan dilema dan gundah gulana yang berpanjangan di tahun 2011. Tatkala umat Malaysia sendiri dibius dan dimabukkan sama ada dengan candu-candu politik mahupun hiburan, tanah padang pasir di Arab bergetaran dengan hentak kaki dan sorak laung para pejuang membebaskan diri dari cengkaman sang kuku besi. Pertempuran yang sama berlaku, dalam diri Abu Suhayl, bergelut dengan kelemahan sendiri. Sedikit demi sedikit dia teruji. Bulan yang besar (supermoon) sangkanya satu keindahan, rupanya satu gerhana yang membayangi dan menghantui hidupnya. Retak menanti belah, dirinya hanyalah bagaikan telur di hujung tanduk menanti masa.

Di satu sudut yang lain pula, 2011 menyaksikan Abu Suhayl dirundum rasa gementar, akan hakikat bahawa dirinya cuma tinggal setahun lebih sahaja sebelum beliau melangkah ke dunia serius berurusan dengan nyawa manusia. Sangkanya boleh berehat setelah pencen, namun hasil ikhtiar rakan-rakannya, entiti baru The Avicenna Project ditubuhkan, menjadi platform melonjakkan diri setinggi mungkin, agar setanding dengan para graduan negara berlainan. 2011 juga menyaksikan keterlibatan beliau dalam penulisan perubatan, apabila dua artikel perubatannya diterbitkan laman sains.

Namun di sudut akademik juga, mengujinya di saat akhir semester pertama 2011. Rentetan peristiwa yang bermula dari kekecewaan terbesarnya didalam peperiksaan bagi subjek Infectious Diseases, rupanya berlarutan apabila ujian demi ujian datang bertubi-tubi. Wajah rektor berkepala bulat itu terabadi didalam benak fikirannya dengan perasaan marah dan dendam kesumat yang tinggi. Dalam keadaan yang menekan, beliau akhirnya meloloskan diri, kembali ke kampung halaman.

Summer 2011 sebuah musim panas yang cukup banyak menghasilkan fatamorgana bagi beliau. Sungguhpun sebulan setengah yang beliau habiskan di tengah-tengah Jabatan Kecemasan tersebut menjadi distraction but somewhat greatly beneficial ia tetap tidak dapat menolak hakikat bahawa Abu Suhayl sedang diuji. 23 datang menjelma tatkala dirinya hanyut alpa dan leka. Namun di celah-celah ujian tersebut yang tampak menghanyutkan, hakikatnya beliau mencari dimanakah ketenangan itu. Setelah jalan biasa yang ditempuhi membawanya ke jalan buntu dan memakan diri. Puncak Gunung Jerai..pesisir Pantai Merdeka..deru ombak dan desir bayu Pantai Bersih menjadi bisik kata alam yang meluaskan dunianya dan melapangkan jiwanya. Tanpa dia sedari, bisik alam itu sebahagian dari bisikNya.

Dan bagai tenang awan sebelum taufan.. the worst is yet to happen. Tali kukuh yang selama ini dipegang dan dibalut dengan doa dan dititipkan dengan harapan semakin dan semakin tegang, mereput dan meretas. Aidilfitri 2011 mencarik-carik dirinya, lantas dengan lafaz nama Ar-Rahman dan Ar-Rahim dia membuat keputusan itu, yang baginya ironi. Jika dalam perubatan ada prinsip “ubi pus, ibi evacua”, begitulah juga. Apabila sesuatu yang diharapkan menjadi sumber kekuatan, membawa Abu Suhayl ke darjat yang rendah dan hina, maka hatta taring singa menjadi berbisa buatnya. Ubi pus, ibi evacua.

Sangkanya segalanya akan berlalu dengan sejahtera. Sangkanya, segala yang terlerai telahpun disimpulkan dengan sempurna. Sangkanya, yang terkubur sudah rata, yang tertinggal sudah tercantas. Namun Rabb Tabaraka Wataala Maha Mengetahui Segalanya, apabila Dia menjanjikan “Wamakaru wamakarallah, wallahu khayral maakirin.”

Menyebut mengenai kesakitan jugalah, seiring dengan mulanya tahun terakhir pengajian, Abu Suhayl menjejakkan kaki ke hospital. Kali ini bukan sekadar seorang bakal doktor, sebaliknya diperiksa bakal doktor. Diagnos penyakit chronic yang diterimanya mungkin dianggap leceh dan remeh oleh sesetengah, namun ia menjadi bukti fizikal betapa erroded diri Abu Suhayl, batiniyyah dan ruhiiyah sehingga menempel ke jasadiyyah. Di celahan itu, laksana orang diambang derita, halusinasi dan fatamorgana silih berganti, Abu Suhayl tidak lagi dapat membezakan antara nyata dan maya. Bahkan! Abu Suhayl tidak lagi menjadi Abu Suhayl, bersalin kulitnya dan apa yang tinggal adalah cangkerang keras yang membelakangi segala jua yang selama ini diletakkan di hadapannya..

Arakian, bak kata murabbi kesayangan, apabila mawar yang selama ini didambakan menjadi kaktus yang melukakan, kunang-kunang yang diharapkan menjadi penyuluh jalan bertukar menjadi ulat bulu yang berbisa dan menyakitkan, tidak ada yang lain melainkan disingkapNya sedikit demi sedikit tabir dan melalui rekahan dan retakan hatinya, dia membenarkan Cahaya itu menyinari benak hatinya..

Min az-zhulumaati ila an-nuur.

Dan kaktus pun mulai berbunga, dan ulat bulu bermetamorfosis menjadi rama-rama, tatkala sang Penghafaz menawarkan apa yang tidak ditawarkan oleh sesiapa jua kepadanya sebelum ini – bukanlah mimpi indah yang mengkhayalkan, dan bukan juga sesuatu ketidakpastian yang membinasakan, sebaliknya akan hakikat RahmatNya mengatasi KemurkaanNya ke arah sebuah ketenangan dan keyakinan berpaut pada janjiNya.

2011 dirumuskan dengan sebuah perkataan tiga huruf bahasa Inggeris,

END”.

And as they say, “N” is always the beginning of “NEW”.

“Ya Allah, peganglah hatiku, genggamlah hatiku, jangan biarkan ia terlepas lagi dariMu!”