Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pagi yang hening, aku keluar seawal jap 7 pagi kerana perlu menyelesaikan ujian saringan HIV. Ujian ini wajib dilaksanakan oleh setiap warganegara asing, setiap kali memasuki Bumi Salju ini. Memandangkan pagi ini kelas juga ada seperti biasa, aku membuat keputusan untuk keluar awal, agar tidak perlu beratur lama dan dapat segera ke kelas.

Setibanya di perhentian bas, terlihat adik-adik junior sedang menanti bas. Rasa seperti baru semalam, aku menyambut kedatangan mereka selaku pelajar tahun pertama. Tak sangka, setahun sudah berlalu, dan masing-masing sudah bergelar senior di tahun kedua.

Abang Kid,” sapa Engku apabila ternampak aku menghampiri. Salam ditukar, senyuman dibalas.

Ha, Engku. Selamat Hari Raya!” selorohku.

Abang Kid, camne nak gi Hospital Cardiac Center?” soalnya kepadaku. Cardiac Center, merupakan antara lokasi pengajian kami. Tarafnya mungkin boleh diibaratkan seperti Institut Jantung Negara di tanah air kita, namun jika IJN itu taraf kebangsaan, Cardiac Center adalah pusat spesialis jantung (milik kerajaan) yang bertanggungjawab kepada seluruh kawasan negeri Nizhegorodsky.

Mungkin ada yang pelik, kenapa pelajar tahun kedua, sudah ada kelas di institut pakar sedemikian? Heee. Bukan, mereka belum pun lagi belajar mengenai penyakit-penyakit jantung. Sebaliknya mereka mempunyai satu subjek, iaitu Nursing.

Walaupun kami pelajar perubatan, namun mahu tidak mahu kami harus juga mengetahui selok belok kejururawatan. Tambahan pula, adalah mustahil untuk kami bekerja suatu hari nanti, tanpa jururawat berada disisi. Justeru itulah, seawal di tahun kedua, kami mempunyai subjek Nursing selama setahun. Dalam subjek inilah, kami sudahpun didedahkan dengan latihan praktikal asas seperti suntikan, mengambil darah, mencuci luka, menukar balutan, membuka jahitan dan sebagainya.

Hospital Cardiac Center, terletak lebih kurang 20 minit perjalanan dari hostel kami. Perlu transit di Soviet Square. Bagi adik-adik junior, mungkin susah sikit nak transit-transit ni.

Ok, korang naik bas panjang nombor 37. Kemudian bila sampai Soviet Square, bas tu akan belok kanan dan berhenti di perhentian Soviet Square. Boleh turun kat situ, ataupun turun kat perhentian satu lagi selepasnya. Lepas tu kena tukar bas.

“Ooo. Lepas tu, tukar bas ape pulak?”

“Hmmm..abang sendiri tak sure sangat. Banyak bas yang boleh, dan banyak jugak bas yang tak boleh. Contohnya bas nombor 51 boleh, 16 boleh. Abang cadangkan, korang turun jelah kat perhentian selepas Soviet Square, kemudian jalan kaki sikit. Tak jauh mana pun, satu perhentian je jaraknya.”

Habis, kalau tersilap naik bas, camne abang?” tanyanya lagi. Banyak soal betul la budak ni. =.=

Em kalau silap naik bas, nanti bas tu akan belok ke kiri, bukannya jalan terus.”

“Habis nak kena patah balik camne nanti?”

“Errr…abang tak tahu lak, sebab abang tak pernah pulak tersilap naik bas kat situ!

Kami sama-sama sengih. Bas panjang nombor 37 pun sampai, lalu berpusu-pusu manusia termasuk kanak-kanak riang itu menerpa ke dalamnya.

***

Peristiwa ringkas tersebut membuatkan aku berfikir panjang juga didalam bas. Aku sudah lima tahun berada di bumi salju ini, tetapi perkara ringkas mengenai bas pun aku tidak tahu.

Ceh, buat malu senior je engkau, Kid!

Tapi aku kira, begitulah juga manusia. Dan begitulah yang dikatakan sebagai sifat ilmu. Sesungguhnya ilmu itu tidak bergantung kepada pemiliknya.

Tak semestinya yang tua itu lebih berilmu. Tak semestinya yang muda itu kurang berilmu. Tak semestinya yang ber PhD itu lebih berilmu dari yang mempunyai hanya SPM.

Mungkin ramai yang mengetahui, kisah antara profesor dengan tok batin. Seorang profesor sosiologi, hendak melakukan lawatan kajian di sebuah perkampungan orang asli.

Sebijak mana pun profesor berkenaan, walau seluruh dunia telah dia jelajahi dan seantero antarabangsa membaca hasil kajian beliau, tetap apabila hendak memasuki perkampungan berkenaan, tetap perlukan bantuan penunjuk arah dari tok batin.

Adalah menjadi satu kesilapan yang besar, apabila kita menilai keilmuan seseorang berdasarkan luarannya sahaja. Tidaklah salah menyebut secara umum – orang yang lebih berumur tentulah lebih berpengalaman, atau yang lebih tua itu lebih banyak kefahamannya, atau yang ustaz itu tentulah lebih mengetahui ilmu agama. Namun yang menjadi kesalahan, apabila kita mengangkat taraf mereka terlalu tinggi hingga menyatakan mereka tidak pernah tersilap.

Aku selalu mengingatkan diriku, bahawa raaaaamaaai lagi yang leeeeebiiihhh tahu daripada aku. Dan aku suka, sekiranya orang berkongsi ilmu denganku, ataupun memperbetulkan kesalahan-kesalahanku, kerana dengan cara itu aku dapat belajar.

Kemuncak penghargaan kita terhadap ilmu, adalah apabila kita mengangkat ilmu ke tempat yang sepatutnya dan meruntuhkan ego kita dalam menerima sesuatu teguran atau pembetulan. Bila seseorang diperbetulkan, ianya bukanlah satu tanda kelemahan, sebaliknya ianya satu penghargaan, kerana menunjukkan hormatnya orang yang menegur tersebut kepada yang diperbetulkan.

Sedangkan Nabi Muhammad shalla Allahu alayhi wa sallam kita sendiri, banyak kali ditegur dan diperbetulkan oleh Allah subhanahu wa taala. Contohnya dalam surah Abasa, Rasulullah ditegur kerana mengabaikan seorang buta yang ingin menemui baginda. Serta banyak lagi contoh-contoh lain. Jom, baca di sini.

Kesilapan-kesilapan baginda sama sekali tidak menjejaskan kerasulan, kerana ianya sebahagian dari sifat basyar (kemanusiaan) yang dimiliki oleh seorang rasul. Dan sama sekali ianya tidak menjejaskan kemaksuman baginda, kerana setiap kesalahan yang baginda lakukan, adalah ditegur terus oleh Allah subhanahu wa taala, serta hikmahnya, menjadi sebahagian dari suratan wahyu sebagai pengajaran kepada kita umat baginda shalla Allahu alayhi wa sallam.

Mutakhir ini cukup aneh, kita cukup sensitif apabila orang-orang yang kita hormati, ditegur. Sedangkan yang ditegur itu bukanlah orangnya, tetapi hanyalah mungkin ada sesetengah pandangannya yang kita rasakan kurang sesuai. Itu je pun. Bila kita kata kita tak bersetuju dengan pandangan Imam Syafii dalam satu-satu hal, maka kita dilabel dengan pelbagai. Dikatanya kita tidak menghormati Imam Syafii. Dikatanya kita berlagak menjadi mujtahid, ilmu tidak seberapa tetapi sudah mahu menolak qaul Imam Syafii.

Imam Syafii, imam yang agung, faqih dan wara’ pula. Kita tida nafikan itu. Tetapi ia tidak menjadi jaminan bahawa beliau itu maksum. Jika baginda Muhammad shalla Allahu alayhi wa sallam sendiri boleh ditegur oleh Allah, para sahabat baginda radhiallahu anhum sendiri boleh ditegur baginda, jika Imam Syafii sendiri dengan rendah diri merelakan pendapatnya ditinggalkan sekiranya dijumpai pendapat yang lebih rajih, maka kenapa kita pula yang lebih sudu dari kuah?

Imam Syafii cumalah satu nama sebagai contoh. Gantilah dengan nama sesiapa sahaja. Dari nama-nama besar seperti para sahabat, contohnya Saidina ‘Ali, atau Saidatina A’ishah, atau Umar, atau Muawiyah, ataupun nama para ulama’ muktabar seperti Al-Ghazali, Ibnu Taymiyyah, Imam Empat tersebut, sehinggalah ke para ulama’ zaman kini seperti Syeikh Al-Albani, Syeikh Yusuf Al-Qardawi, Syeikh Bin Baaz, Syeikh Daud Fathani, Syeikh Hassan Al-Banna, Syeikh Sayyid Qutb, mahupun alim ulama’ tempatan yang kita kenal seperti Ustaz Mohd Asri, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Kazim Elias, Nuruddin Al-Banjari, Kamaluddin Makki, Habib Al-Jufri, Ustaz Hasrizal, Ustaz Zaharudin, Ustaz Pahrol, serta raaamaaaaii lagi, semuanya adalah ilmuan dan tokoh terkenal yang kita sanjungi dan sayangi, tetapi sama sekali kita tidak kata mereka tidak pernah melakukan kesilapan, dan kita sedia mengakui bahawa mereka itu tidak maksum!

Begitulah juga dengan kita perahu-perahu kecil di tengah lautan yang luas. Bila orang kata “ustaz ni mungkin tersilap”, atau “naqib enta salah ni..” kita rasa tak sedap hati kerana banyak pengisian yang bermanfaat disampaikan oleh ustaz/naqib berkenaan. Dengan perasaan tak sedap hati itulah, kita ego enggan mengakui kesilapan individu tersebut. Disinilah silap kita, apabila kita tidak meletakkan penghargaan kepada ilmu itu di tempat yang sepatutnya. Kita lebih menyayangi “ustaz” dan “naqib” daripada ilmu.

Kesilapan Itu Tanda Kemanusiaan.

Berbuat silap itu, perkara asas dalam kemanusiaan kot. Heeee. Tanda awal seseorang itu manusia, adalah apabila dia berbuat silap. Sebagaimana kesilapan Nabi Adam dan Hawa alaihimassalam di syurga dahulu.

Mustahil, manusia tidak melakukan kesilapan. Tetapi kesilapan lah, yang menjadi pengajaran kepada kita. Dengan cara itu, kita belajar.

Aku tidak pernah tersilap naik bas menuju ke Cardiac Center. Justeru aku tidak tahu, sekiranya aku tersilap naik bas, apa yang harus aku lakukan? Perlukah aku menyeberang jalan dan menunggu bas dari arah berlainan? Atau aku teruskan sahaja dengan bas tersebut sehingga stesen terakhir, bas tersebut berpatah balik? Atau aku boleh sahaja berjalan kaki balik ke perhentian sebelumnya? Atau aku lebih baik menelefon teksi sahaja?

Orang yang tidak pernah membuat kesilapan, tidak akan pernah tahu. Sebagaimana dialog Kiyai Ahmad Dahlan dengan isterinya didalam filem Sang Pencerah.

“Aku sendiri tidak tahu, apakah perkara yang aku lakukan ini, perkara yang benar?”

“Kalau kita tahu, kita tidak akan pernah belajar..”

Aku, banyak melakukan kesilapan dalam hidup ini. Ada banyak diantara kesilapan tersebut dilakukan dalam kejahilan, dan tak kurang juga kesilapanku yang disengajakan.

Kesilapan demi kesilapan dalam memilih langkah hidup, menjadikan aku takut untuk melangkah.

Aku hanya berharap, kesilapan-kesilapan yang aku lakukan, menyedarkan aku akan hakikat bahawa aku adalah manusia biasa, dan senantiasa perlu mendambakan keampunan dari Allah jalla wa a’la. Kesilapan-kesilapan yang aku lakukan, adalah bukti kasih sayang dan rahmat yang Allah janjikan.

Semoga banyak yang aku dapat belajar dari kesilapan kali ini.

Wallahua’lam, wassalam.


Leave a comment

Create a website or blog at WordPress.com